![]() |
||
![]()
|
14 Jamadilakhir 1423/23 Ogos 2002 MUSIBAH
Saudara muslimin yang dirahmati Allah. Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan apa-apa jua perintah dan menjauhi apa-apa jua larangannya, mudah-mudahan kita berbahagia didunia dan bahagia diakhirat. Setiap hamba dimuka bumi ini tidak akan terlepas dari ujian Allah Subhanahu Wataala. Ujian ini datangnya dalam berbagai-bagai bentuk, kadangkala berbentuk musibah seperti kebakaran, banjir, kemarau, kemiskinan, kematian dan berbagai-bagai bencana alam dan kadangkala ada berbentuk nikmat, kesenangan dan kebahagiaan seperti kekayaan, kesihatan, kejayaan, kemakmuran dan sebagainya. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 155: Tafsirannya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”. Ramai yang beranggapan, ujian yang berbentuk musibah adalah ujian yang sebenar-benarnya. Kerana ujian berupa musibah amat berat untuk ditanggung. Dalam menghadapi musibah manusia selalunya tewas melawan hasutan syaitan dan terus menyalahkan takdir Allah Subhanahu Wataala serta menganggap bahawa Allah Subhanahu Wataala itu tidak berlaku adil terhadap mereka. Seorang muslim sepatutnya mengembalikan musibah yang menimpanya itu kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh kesabaran dan redha terhadap takdir ketentuan Alllah Subhanahu Wataala. Dan ia tidak sekali-kali kecewa dan menyesali takdir ketentuan Allah Subhanahu Wataala itu. Muslimin yang dirahmati Allah, Baru-baru ini telah berlaku satu musibah yang menimpa Penduduk dua buah Kampong iaitu Kampong Lorong Sikuna dan Kampong Ujong Kelinik. Musibah tersebut ialah kebakaran yang telah memusnahkan lebih 80 buah rumah, sebuah Sekolah dan Surau. Sudah setentunya peristiwa ini meninggalkan kesan kepada jiwa, disamping kehilangan harta benda yang bernilai seperti dokumen-dokumen penting, peralatan-peralatan dan buku-buku sekolah, keperluan-keperluan asas harian dan sebagainya. Namun demikian setiap musibah yang menimpa manusia ada hikmat yang besar disebaliknya. Disamping sebagai ujian atau amaran Allah Subhanahu Wataala kepada manusia, ia juga berfungsi sebagai ubat bagi merawati penyakit hati. Musibah adalah cabaran yang harus diterima dengan sabar dan rela. Seorang muslim yang bijaksana akan berusaha merubah cabaran tersebut menjadi peluang-peluang kearah meningkatkan kesabaran, keimanan dan ketakwaan. Firman Allah Subhanahu Wataala didalam Surah At-Taghaabun ayat 11 tafsirannya:- “Tidak ada kesusahan atau bala bencana yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar, dan ingatlah Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. Bagi kita yang tidak mengalami musibah tersebut, janganlah pula kita membiarkan saudara-saudara kita yang ditimpa musibah itu menanggung segala kesusahan dan keperitan itu secara bersendirian. Agama kita menganjurkan supaya membina hubungan baik dengan manusia atau masyarakat disamping membina hubungan baik dengan Allah Subhanahu Wataala, terhadap Allah Subhanahu Wataala kita beribadat dan kita patuhi pemerintah-pemerintahnya, dengan masyarakat pula kita laksanakan kewajipan-kewajipan dan hak-hak masyarakat tersebut, antaranya melakukan amal-amal yang bersifat kemasyarakatan seperti bersedekah, bermurah hati, ringan tangan, menghulurkan bantuan atau pertolongan. Perbuatan-perbuatan sedemikin amat ditekankan oleh agama untuk kita kerjakan, bukan hanya menjadi budaya atau tradisi dalam masyarakat bahkan ia adalah tuntutan sebenar disisi agama Islam. Kita perlu menanamkan dalam diri kita sifat-sifat penyayang, prihatin atau simpati, belas kasihan, dan sebagainya. Kerana demikian itu menjadi asas atau pokok kepada pembinaan hidup yang sejahtera, bersatu padu dan bersaudara. Agama Islam memandang berat tentang kehidupan yang aman, kasih mengasihi, justeru itu, anjuran dan galakan bersedekah merupakan latihan jiwa atau rohani agar diri seseorang muslim itu mempunyai perasaan halus dan sentiasa mengucapkan syukur atas nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala. Sidang Jumaat sekalian. Islam menegaskan bahawa kasih mengasihi dan cinta mencintai antara satu sama lain boleh dipertingkatkan melalui sedekah, usaha tersebut akan mengeratkan hubungan persaudaraan dan persahabatan antara golongan kaya dan miskin, pemberian itu sebagai lambang kasih antara si pemberi dan si penerima. Allah Subhanahu Wataala menjanjikan kepada orang-orang yang membelanjakan hartanya untuk keredhaan Allah Subhanahu Wataala akan mendapat ganjaran pahala yang besar, mendapat rahmat Allah, dianugerahkan kemewahan harta dan kesenangan, diberikan kesihatan keafiatan dan ketakwaan. Diberikan taufik untuk ketaatan dan kebenaran memiliki hati yang riang, gembira, tiada keresahan dan kegelisahan Insya-Allah. Dalam hal ini pihak kerajaan telah menempatkan tabung-tabung derma di Masjid-Masjid, Surau-Surau, Bank-Bank dan Gedung-Gedung Perniagaan diseluruh negara dan membuka serta menyediakan pusat-pusat menerima sumbangan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan dengan menyumbangkan derma atau sedekah seangkat-angkat hati berupa wang ringgit dan barang-barang keperluan yang bersesuaian dari seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Bagi meringankan beban dan kesengsaraan yang sedang dialami oleh mereka. Ketahuilah bahawa setiap sumbangan itu samada banyak atau sedikit akan mendapat pahala yang berlipat ganda dari Allah Subhanahu Wataala dan menambahkan keberkatan dalam kehidupan kita dan menghindarkan dari musibah. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqaraah ayat 261- Tafsirannya: “Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji . Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah Maha luas rahmat kurnianya lagi meliputi ilmu pengetahuannya”.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||