Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

7 Jamadilakhir 1423/16 Ogos 2002

RIADAH

 
Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

         Marilah kita meningkatkan rasa takwa kita kepada Allah Subhanahu Wataala, iaitu dengan cara mengerjakan titah perintahnya dan menjauhi apa jua larangannya, maka dengan demikian moga-moga  kita akan tergolong  sebagai hamba Allah Subhanahu Wataala yang takwa.

         Sesungguhnya diantara titah perintah Allah Subhanahu Wataala yang teragong ialah Sembahyang, sebab itulah perintah Sembahyang itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terima daripada Allah Subhanahu Wataala , melalui mikraj  Baginda kelangit, justeru itulah solat  itu terlalu besar kesannya kepada hamba Allah yang sentiasa memeliharanya.  Dan juga  begitu besar kesannya kepada mereka-mereka yang meremehkan Sembahyang sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:-

         Maksudnya: “Barangsiapa meninggalkan solat [Sembahyang] dengan sengaja maka dia kufur terang-terangan.”

         Oleh itu wahai kaum muslimin saya berseru kepada diri saya dan tuan-tuan semuanya peliharalah ibadat Sembahyang dengan sebaik-baiknya, kerjakanlah Sembahyang Fardhu yang lima jangan diabai-abaikan, kerana diakhir-akhir ini umat Islam telah terpengaruh dan terbawa-bawa oleh cara hidup orang-orang yang bukan Islam,  yang mana mereka membuat berbagai-bagai aktiviti yang akhirnya orang-orang Islam juga turut seronok berbuat sebagaimana yang diperbuat oleh mereka.  Kerana itulah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda didalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

 “ Kamu akan mengikuti perilaku orang-orang sebelum kamu sejangkal demi sejangkal dan sehasta demi sehasta, sehingga kalau mereka masuk kelubang biawak kamu pun ikut memasukinya.  Para sahabat lantas bertanya,  siapa yang baginda maksudkan itu Ya, Rasulullah?  Baginda menjawab orang-orang Yahudi dan Nasrani”.

        Diantara aktiviti-aktiviti yang jika  kita tidak berhati-hati akan dapat melalaikan kita daripada menyempurnakan kewajipan kita sebagai orang Islam ialah bersukan misalnya masih kedapatan anak-anak muda Islam dan remaja yang meneruskan permainan sukan mereka seperti bermain bola dipadang permainan, walaupun azan maghrib telah berkumandang.  Perkara ini patutlah diberi perhatian terutama oleh ibu bapa dan penjaga yang berkenaan, supaya akan dapat menegur dan menasihati anak-anak muda dan remaja mereka yang terlalai itu supaya akan berhenti bermain atau bersukan apabila waktu Sembahyang hampir tiba.  Sebagai orang Islam adalah menjadi kewajipan untuk menunaikan tuntutan syara’ dan menyegerakannya misalnya tuntutan sembahyang.

         Islam tidaklah melarang untuk bersukan atau bermain apa jua jenis permainan asalkan tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain malah Islam menggalakkan supaya setiap penganutnya mempunyai kesihatan yang baik dan tubuh badan yang sihat, yang mana tuntutan ini dapat diperolehi dengan cara bersenam, atau bersukan.  Kerana dengan kesihatan yang baik dan tubuh badan yang cergas akan dapat menambahkan ketakwaan seseorang itu melalui perlaksanaan ibadat yang dikerjakannya samada ibadat Sembahyang, berpuasa malah terdapat sejenis ibadat yang mensyaratkan kemampuan [Al-Istita’ah] dari segi kekuatan jasmani untuk menunaikannya iaitu ibadah Haji.  Dari sini jelaslah bahawa yang kita ingin serukan ialah supaya umat Islam tidak akan mengabaikan perintah Allah Subhanahu Wataala hanya kerana kecuaian dan kelalaian seperti bersukan.

 Wahai kaum Muslimin yang diberkati Allah,

         Sesungguhnya sembahyang itu adalah tanda atau bukti kesempurnaan atau rosaknya Iman seseorang itu sebagaimana yang ditekankan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam didalam hadith  baginda yang diriwayatkan oleh An-nasa’e dan At-tarmizi yang bermaksud:-

 “ Yang pertama-tama dikira daripada seorang hamba pada hari kiamat daripada amal-amalnya ialah Sembahyang, apabila sembahyangnya baik beruntunglah dan selamatlah ia dan apabila sembahyangnya rosak maka celakalah dan rugilah ia”. 

         Sekarang marilah kita perhatikan apakah pula kesan sembahyang itu kepada orang-orang yang beriman diantaranya ialah:-

 1].     Allah Subhanahu Wataala menjanjikan kemenangan sebagaimana firmannya didalam Surah Al-Mu’minuun ayat 1 dan 2 tafsirannya:-

           “ Sesungghnya beruntunglah orang-orang beriman iaitu mereka yang khusu’ didalam sembahyang mereka”.

 2].     Orang-orang beriman hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Allah Subhanahu Wataala iaitu seperti firman Allah Subhanahu Wataala didalam Surah Ar-ra’d ayat 28 yang tafsirnya:-

           “Orang-orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Allah, ketahuilah bahawasanya hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram”.

 3].     Sembahyang adalah menjadi benteng dan penjaga daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar sebagaimana tersebut didalam Surah Al-Ankabuut ayat 45 yang tafsirannya:-

           “Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar”.

 4].     Memperolehi pertolongan dan kesabaran daripada Allah Subhanahu Wataala sebagaimana disarankan Allah Subhanahu Wataala didalam Surah Al-Baqarah ayat 153 tafsirannya:- 

          “Hai orang-orang yang beriman, minta tolonglah kamu dengan sabar dan sembahyang, sesunggohnya Allah beserta orang-orang sabar”.

 Kaum Muslimin yang dikasihi,

         Marilah kita menghisab diri kita masing-masing apakah kita telah  termasuk  kedalam golongan orang-orang Al-Muflihun iaitu golongan mereka yang katakan Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firmannya.

 Tafsirannya:

 “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusu’ didalam sembahyangnya”.  Janganlah dibiarkan diri kita berada didalam keadaan yang tidak menentu arah dan terumbang ambing didalam suasana yang tidak tenteram pada hal sembahyang itu adalah suatu amalan yang dapat mententeramkan jiwa.

         Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Thaahaa ayat 124:  Tafsirannya;

 “Dan sesiapa yang berpaling  ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

 

 

 

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           

 

 



|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||