![]() |
||
![]()
|
1Jamadilawal 1423/12 Julai 2002 SEMPENA HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM Muslimin
yang dirahmati Allah, Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan terus menerus mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala apa-apa jua larangannya, mudah-mudahan kita tergolong menjadi hamba-hamba yang benar-benar beriman dan bertakwa. Sesebuah negara tidak akan membangun dan berjaya tanpa diterajui atau diketuai oleh seorang pemimpin. Samalah seperti keadaan sesebuah kumpulan atau pertubuhan yang pastinya ada orang yang mengepalainya sebagai ketua atau pemimpin. Tanpa pemimpin keadaan akan menjadi huruhara, perbelahan, pertengkaran dan perebutan kuasa sering terjadi, akhirnya apa pun jua kumpulan yang ditubuhkan mahupun sebuah negara yang hendak dibangunkan pasti akan menemui kegagalan. Disitu dapat kita lihat betapa peranan seorang ketua atau pemimpin amat penting dan amat diperlukan. Demikianlah juga halnya kepada negara kita. Negara kita tidak akan dapat berdiri seperti sekarang tanpa kehadiran seorang yang memimpinnya. Al-hamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah mengurniakan kepada negara kita seorang pemimpin yang adil, bijaksana serta mengasihi rakyatnya. Pemimpin kita, Sultan yang dikasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat bertanggongjawab terhadap pentadbiran negara, tuntutan agama dan kesejahteraan rakyat baginda. Semenjak Kebawah Duli Yang Maha Mulia menaiki tahta pada 5 Oktober 1967 dan memegang tampok pemerintahan, banyak kemajuan-kemajuan telah dicapai oleh negara kita dimana hasilnya negara kita telah dapat maju dan berjalan seiring dengan negara-negara lain dalam bermacam-macam bidang, samada dalam kemajuan ekonomi, medan pertahanan dan sebagainya. Kita juga harus berbangga kerana dalam tempoh yang singkat iaitu semenjak negara kita merdeka dan bebas dari campor tangan kuasa luar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berjaya membuktikan kemampuan dan keupayaan baginda dalam menerajui negara kita kepuncak kejayaan. Hasilnya rakyat negara ini dapat menikmati kehidupan yang aman makmur dan senang dalam kemewahan. Bahkan berkat dari usaha, kebijaksanaan dan kegigihan, akhirnya baginda berjaya mengeluarkan negara kita dari kepompong kemunduran kepada sesebuah negara yang dikenali, disegani dan berjaya. Ahli Jumaat Sekalian, Ada pun diantara sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Baginda bersifat penyayang dan pemedulian, serta sentiasa peka terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat. Apa yang jelas kita telah dapat sama-sama menikmati kesenangan hidup dibumi yang bertuah ini. Banyak projek-projek kerajaan yang telah, sedang dan akan giat dirancang dan diusahakan samada dalam bidang pendidikan, kesihatan, pertanian, pertahanan, ekonomi, kemudahan-kemudahan awam dan sosial kemasyarakatan. Dan semua ini diselaraskan mengikut ajaran Islam agar negara kita sentiasa berada dibawah Rahmat Allah Subhanahu Wataala dan mendapat keredhaannya jua. Maka selaku rakyat yang bernaung dan berlindung dibawah pemerintahan Baginda, kita haruslah melahirkan ketaatan dan kesetiaan yang tiada berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisa’ ayat 59: Tafsirannya “Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah dan kepada Ulil Amri [orang-orang yang berkuasa] dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisih faham dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah [Al-Quran] dan Sunnah Rasul Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kiamat. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.” Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Barangsiapa taat kepada Ku, bererti ia taat kepada Allah. Barangsiapa menderhakai Aku, berti ia menderhakai Allah. Dan barangsiapa taat kepada pemimpin, bererti ia taat kepada Ku. Dan barangsiapa menderhakai pemimpin bererti ia menderhakai Aku”. Riwayat Al-Bukhari Dan Muslim. Itulah ketentuan yang telah diajarkan kepada kita supaya taat kepada pemimpin. Dimana hasil dari ketaatan itu nanti akan melancarkan apa jua usaha kerajaan yang pastinya dilakukan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara dan rakyatnya jua. Sesungguhnya tugas seorang pemimpin amat berat dan ia tidak akan dapat berjaya tanpa didokong dan disokong oleh rakyat, oleh itu kita harus sentiasa bersikap terbuka dan pro-aktif dalam menerima rancangan-rancangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berkebajikan. Pada 15 Julai ini, genaplah usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke 56 tahun, bersyukurlah kita selaku rakyat baginda kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah melanjutkan usia pemimpin negara yang kita sayangi. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat-kerabat baginda akan sentiasa berada dalam petunjuk Allah Subhanahu Wataala, beroleh rahmat dan keberkatan dan mudah-mudahan rakyat dan negara kita sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wataala. Dan sebagai melahirkan rasa syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala menzahirkan ketaatan kita kepada raja yang dikasihi, marilah kita sama-sama hadir ke Masjid-Masjid, Surau-Surau dan Balai-Balai Ibadat bagi mengikuti acara membaca tahlil dan doa kesyukuran pada petang 3 Jamadilawal 1423 bersamaan 14 Julai 2002 ini. Firman
Allah Subahanahu Wataala dalam Surah Al-A’raf ayat 96 Tafsirannya:
“Dan Tuhan berfirman lagi
sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah kami akan
membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya, dari
langit dan bumi. Tetapi mereka
mendustakan Rasul kami lalu kami timpakan mereka dengan azab siksa
disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||