Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

15 Jamadilawal 1423/26 Julai 2002

SABAR DALAM UJIAN

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

        Marilah kita sentiasa mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dalam setiap masa dan ketika, semoga kita mendapat petunjuk hidayat dari Allah Subhanahu Wataala sebagai orang-orang yang benar-benar beriman dan bertakwa.  Bahkan takwa hendaklah sentiasa dipertingkatkan demi kebahagiaan dan keselamatan kita di dunia dan di akhirat.

       Manusia tidak akan pernah terlepas dari diuji atau dicuba dari Allah Subhanahu Wataala, tidak kira samada dalam hal-hal yang disenangi dan disukai, mahu pun dalam hal-hal yang dibenci dan tidak disukainya.

 Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anbiya’, ayat 35

 Tafsirannya:  Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cobaan dan kepada kamilah kamu semua akan dikembalikan.

        Adapun di antara ujian-ujian yang selalu diuji kepada kita umat manusia ialah ujian sakit iaitu samada penyakit ringan yang mudah diubati ataupun penyakit yang berat dan sukar untuk diubati atau pun penyakit koronik yang boleh membawa maut.  Tidaklah penyakit-penyakit tersebut yang ditimpa ke atas diri kita merupakan satu malapetaka atau untuk menyakitkan kita semata-mata kecuali sebenarnya terdapat banyak kebaikan dan rahmat disebalik kesakitan tersebut.

        Sesungguhnya ujian penyakit itu tidak lain adalah untuk menduga sejauh mana kita mampu bersabar dalam menghadapi kesakitan dan penderitaan.  Lagi pun jika kita sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik tanpa ada sakit, pasti kita akan menjadi semakin lupa diri, lupa bahawa kita tidak akan selama-lamanya hidup dalam kesenangan dan keselesaan sahaja.  Dari kesakitan itulah nanti yang mengajar kita erti kesusahan dan penderitaan bahkan turut mengingatkan  kita kepada kematian.  Dengan kesedaran itu, dapatlah  kita beringat-ingat untuk bersiap sedia dalam menghadapi sakratul maut, berusaha meningkatkan amal ibadat, berusaha memperbaiki diri ke arah kebaikan dan berusaha menjauhi perbuatan-perbuatan yang mungkar dan berdosa.  Hakikatnya manusia akan mudah lupa diri jika sentiasa berada dalam kesenangan.

 Muslimin yang dirahmati Allah.

        Jika kita diuji dengan kesakitan, janganlah kita merasa marah dan resah gelisah.  Tetapi seharusnya kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah menyedarkan kita daripada terus hidup dalam kelalaian duniawi.  Dan bersyukurlah kita di atas penyakit yang menimpa, kerana ia akan menjadi sebab dosa-dosa kita diampunkan walau pun kadang-kadang penyakit itu juga merupakan hukuman di atas suatu dosa yang pernah kita lakukan sebelumnya.

        Dan sesungguhnya jika kita bersifat sabar dalam menghadapi penyakit dan bersabar dalam menanggung penderitaan, maka kita akan diberikan ganjaran pahala iaitu akan dituliskan pelbagai kebaikan kepada diri kita serta akan ditinggikan darjat kita disisi Allah Subhanahu Wataala.

       Selain itu, kesakitan yang kita alami di dunia ini akan menjadi penyelamat kepada diri kita daripada kepanasan api neraka di hari akhirat kelak.  Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika mengunjungi seorang sahabat yang sedang sakit demam: “ Bergembiralah, kerana Allah Azza Wajalla berfirman “ inilah neraka Ku, aku menganjurkan menimpa hamba Ku yang mukmin di dunia, agar dia jauh dari neraka pada hari akhirat.”  Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah dan Al-Hakim.

 Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,

         Dari itu bersyukurlah jika kita diberikan ujian dari Allah Subhanahu Wataala walau pun dalam bentuk kesusahan.  Itu menunjukkan betapa Allah Subhanahu Wataala maha mengasihi hamba-hamba-Nya, diberikan ujian agar kita tidak terus hanyut dalam buaian mimpi-mimpi indah kehidupan di dunia ini, agar kita dapat kembali semula ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wataala, agar kita dapat berpeluang untuk bertaubat sebelum terlambat.

        Sesungguhnya apa pun cobaan yang Allah Subhanahu Wataala berikan kepada kita, walaupun hanya kesakitan yang sedikit, tidak lain bertujuan hanya untuk kebaikan diri kita sendiri.  Kerana itu bersabarlah di atas kesakitan dan penderitaan di dunia samada ke atas diri kita sendiri, anak isteri, kaum kerabat, sahabat handai dan lain-lain.  Ingatlah bahawa kesakitan dan penderitaan di hari kiamat nanti adalah jauh lebih dahsyat  dari dunia.

         Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Asy-Syuura ayat: 30; Tafsirannya:  “Dan apa jua yang menimpa kamu dari suatu kesusahan atau bala bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

 

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

 

 



|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||