![]() |
||
![]()
|
22 Jamadilawal 1423/2 Ogos 2002 SIFAT RASUAH
Muslimin yang dirahmati Allah, Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa, dengan melaksanakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita selamat di dunia mahupun diakhirat kelak. Dalam kita menjalani kehidupan didunia ini, kita perlu bekerja ataupun berusaha untuk memenuhi keperluan dan tuntutan dalam kehidupan seharian seperti makan dan minum kita, tempat tinggal, kenderaan, perbelanjaan anak-anak sekolah dan sebagainya. Ada pun pendapatan yang diperolehi untuk menampong tuntutan-tuntutan tersebut haruslah dari sumber rezeki yang halal, ini amat penting kerana mencari rezeki yang halal merupakan satu kewajipan dan tanggongjawab yang telah ditetapkan dalam agama Islam. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat: 172: Tafsirannya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” Muslimin yang diberkati Allah, Rezeki yang halal boleh diperolehi tidak kira dimana kita bekerja samada secara persendirian, disektor-sektor awam atau swasta. Walau dimana kita bekerja dan apa pun tugas kita, samada berjawatan rendah atau tinggi kita wajib untuk memiliki dua sifat terpenting dalam diri kita iaitu sifat jujur dan amanah. Inilah kunci untuk kita berjaya dalam segala bidang, kerana sifat tersebut mampu mengawal tindak tanduk seseorang individu tersebut supaya akan sentiasa terpimpin kearah kebaikan dan kemuliaan. Sekaligus akan menyingkirkan perasaan atau fikiran yang boleh mendorong kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang kurang baik dan tidak disukai dalam Islam seperti bersikap pemalas, kurang berdisiplin, cuai dalam bekerja, sikap curi tulang dan sebagainya. Selanjutnya akan dapat menahan diri kita dari melakukan perbuatan yang lebih buruk dan ditegah Allah Subhanahu Wataala seperti perbuatan rasuah. Inilah dia diantara masalah besar yang dihadapi oleh kebanyakan negara didalam zaman yang mementingkan material ini. Ini kerana akibat dari amalan rasuah yang tidak terkawal boleh membawa kepada keruntuhan sesebuah negara, malahan ia turut memberi kesan terhadap perpaduan masyarakat dan kestabilan ekonomi dan politik negara. Rasuah ialah suatu pemberian yang diberi kepada seseorang dengan niat untuk mendapat balasan atau ganjaran disebalik pemberian yang diberi. Ianya selalu dikaitkan untuk kepentingan peribadi sendiri, keluarga atau sahabat dalam usaha supaya permohonannya atau apa pun yang dihajatinya akan mendapat kelulusan atau ditunaikan atau dapat dilaksanakan dengan segera. Rasuah adalah perosak bangsa dan negara. Kerana itu kita memerlukan sifar amanah untuk menentangnya. Rasuah tidak akan berlaku jika adanya sifat amanah dalam diri individu tersebut. Sebenarnya pandangan terhadap perbuatan rasuah tidak hanya terbatas kepada pemberian yang berselindung disebalik maksud tertentu atau mengharapkan balasan sahaja, kerana sekiranya rasuah dilihat dalam konteks amanah, ia akan lebih luas dan bermacam-macam bentuknya, termasuklah penyalahgunaan kuasa demi kepentingan sendiri dan sikap pilih kasih. Maka dapat kita simpulkan bahawa rasuah tidak hanya terhad kepada penggunaan wang ringgit dan harta benda sahaja bahkan juga terhadap khidmat atau layanan yang diberi khusus kepada orang yang dapat memberinya manfat kepadanya atau menggunakan kuasa yang ada untuk mendapatkan tender atau tawaran atau bersikap pilih kasih terhadap pemberian jawatan sedangkan ia tahu bahawa ada yang lebih layak atau lebih berhak untuk menerimanya. Bahkan ada pula individu yang cuba untuk berselindung disebalik perkataan “Hadiah” agar perbuatan rasuah yang dilakukan tidak nampak ketara. Biar apa pun namanya yang diberi, rasuah tetap haram dan berdosa bagi sesiapa yang terlibat dengannya. Ahli Jumaat yang diberkati Allah, Gejala rasuah telah bermula sejak zaman berzaman dan ianya berlaku pada zaman jahiliah. Akan tetapi setelah datangnya Islam, rasuah pun diharamkan. Walau bagaimanapun masih terdapat sebilangan manusia yang tetap berdegil dengan larangan Allah Subhanahu Wataala dan terus melakukan kemungkaran ini dengan sesuka hati seoleh-oleh tiada balasan dihari akhirat kelak. Punca kenapa kedegilan masih berlaku ialah jiwa seseorang insan itu yang kosong dari iman dan takwa. Ditambah lagi dengan didikan agama yang kurang mantap maka dengan mudahnya ia tewas kepada tuntutan hawa dan nafsunya. Dan apabila dirinya telah dikawal oleh nafsunya, maka sudah pasti pendiriannya akan rapuh, akhirnya menjadilah ia seorang yang lemah, mudah dikaburi oleh nilai wang ringgit, tamak pada harta benda, bersikap irihati dan dengki serta tidak suka melihat kesenangan orang lain, tidak merasa puas dengan apa yang dimiliki dan akan sentiasa berusaha untuk mendapat lebih dari yang diberi. Inilah antara punca yang menyebabkan seseorang itu melakukan rasuah, hanya kerana ingin memenuhi tuntutan kemewahan hidup dan nafsu. Rasuah sering dikaitkan dan dilakukan oleh orang yang menghadapi masalah kewangan hakikatnya itu bukan alasan yang bijak kerana didapati pada masa kini perbuatan rasuah ada juga dilakukan oleh golongan yang berpendapat sederhana dan tinggi. Sebenarnya rasuah tidak akan dilakukan jika individu tersebut orang yang berpegang kuat pada ajaran agama, taat kepada Allah Subhanahu Wataala dan Rasul Nya. Sentiasa memantapkan diri dengan Iman dan takwa dan mengamalkan cara hidup sebagai seorang muslim yang sebenar. Dari itu marilah kita bekerjasama untuk membenteras amalan rasuah. Rasuah amat berbahaya , ia umpama kuman yang akan merebak dengan meluasnya jika tidak dikawal dan benteras dengan segera. Dimana ia boleh mengakibatkan sesebuah jabatan kerajaan atau organisasi tersebut menjadi kurang mantap, penuh dengan korupsi dan penyelewengan, keharmonian para pekerja akan bertukar menjadi tegang, tiada lagi sikap kerjasama, bantu membantu dan saling percaya mempercayai. Dan apabila rasuah semakin bermaharaja lela, ia akan mengundang kehancuran kepada negara, menjadi punca ekonomi negara yang kurang stabil dan lembab dimana akhirnya menjejaskan pendapatan negara dan mengancam pendapatan ekonomi rakyat. Kerana itu kita jauhilah rasuah, amalkanlah sifat jujur dan amanah, jauhi sifat dengki dan tamak, dekatkanlah diri kepada Allah Subhanahu Wataala dan patuhilah ajaran-ajarannya. Insya-Allah dengan yang demikian kita akan mendapat keredhaan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan dan akhirnya dapatlah kita membina sebuah negara yang kuat, mantap dan makmur. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 188: Tafsirannya: “Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain diantara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya.”
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||