Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

17 Rabiulakhir 1423/28 Jun 2002

 

SIFAT JUJUR DAN  AMANAH AMALAN MULIA

Muslimin yang dirahmati Allah,

           Marilah kita sama-sama mempertingkatkan takwa dan iman kita, dengan berbuat amal saleh dan kebajikan serta meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita mendapat kebahagiaan didunia mahu pun diakhirat.

 Muslimin yang berbahagia,

           Sesungguhnya diantara sifat-sifat terpenting yang harus ada pada setiap orang ialah sifat jujur dan amanah. Sifat inilah yang menentukan samada kita boleh dipercayai atau tidak. Sifat jujur dan amanah juga merupakan modal utama dalam bekerja.  Bekerja dalam apa pun bidang kalau tidak disertai dengan kejujuran pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemajuaan.

           Dalam berniaga, sifat jujur dan amanah amat diperlukan bahkan agama lslam turut mewajibkan supaya kita bersifat jujur dan menjauhi sifat khianat. Jika kita jujur, pasti para pembeli akan percaya kepada mutu barangan yang dijual serta akan berasa selamat dari penipuan.

           Berniaga merupakan salah satu dari usaha kita mencari rezeki yang baik.  Tetapi kadangkala rezeki yang baik dan halal itu boleh tercemar menjadi sebaliknya iaitu jika ada sikap dan perbuatan khianat dilakukan. Antaranya seperti melakukan penipuan iaitu dengan mengurangkan timbangan atau sukatan dari yang sepatutnya menipu dengan sumpah- sumpah palsu, memuji-muji barang dagangan sendiri sedangkan tidak seperti yang diucapkan, memburuk-burukkan barang dagangan orang lain dan sebagainya.

 Ahli Jumaat yang Diberkati Allah,

          Sebagai umat Islam, kita janganlah melakukan tipu daya atau helah ketika berjual beli. Walaupun hasil dari tipu daya tersebut membawa kemewahan kedalam kehidupan ini, kerana ia diperolehi dari jalan yang tidak halal.  Pada Zaman moden ini juga berbagai cara dibuat demi untuk melariskan barang jualan.  Antaranya seperti mempromosikan barang jualan dengan maklumat yang kurang bertepatan atau palsu atau mengadakan jualan murah sedangkan tiada pengurangan harga dibuat atau menjual murah hanya pada barang stok lama atau bahan makanan yang hampir-hampir luput tarikh baik penggunaan.  Ada juga peniaga yang terlalu meninggikan harga jualannya dan akan menurunkan harga jika ada pembeli yang berminat.  Bukankah semua ini penipuan yang akan mengelirukan orang ramai dan hak pengguna?.  Terdapat juga para peniaga yang suka memprodakkan barangan yang tidak sama mutunya, atau menyembunyikan keaiban-keaiban yang ada supaya tidak nampak dan diketahui oleh pembeli.

 Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :   Barangsiapa menjual barangan yang cacat dimana ia tidak menerangkannya, nescaya ia sentiasa didalam murka Allah, dan Malaikat tidak akan henti-henti melaknatnya.” [Riwayat Ibnu-Majah].

 Sebenarnya berlaku jujur dalam berniaga amat menguntongkan, dan hanya orang yang bersifat tamak menganggap ia perbuatan yang merugikan.  Biar pun keuntongan hanya sedikit tetapi jika ia diperolehi dengan jalan yang jujur, ia dapat membawa ketenangan dan ketenteraman jiwa, keluarga dan harta benda.  Sebenarnya itu yang disebut kekayaan yang membawa berkat. 

Muslimin yang diberkati Allah,

 Walaupun kita sibuk dalam berurusan, sibuk dalam menghitong keuntongan, jangan pula kita terlupa terhadap kewajipan zakat perniagaan.  Jika kita telah memenuhi syarat wajib zakat, nisab dan haulnya.  Janganlah kita melengah-lengahkan dari melaksanakannya.   Jangan kita menganggap  bahawa kewajipan zakat sebagai satu bebanan atau punca harta kita berkurangan, itu hanya kata-kata dari orang yang tidak beriman.  Ingatlah bahawa setiap rezeki  dan  kesenangan yang kita perolehi adalah kurnia dari Allah Subahanahu Wataala.  Jangan setelah kita hidup senang, kita lupa daratan, lupa diri, lupa pada kewajipan dan lupa pada tanggongjawab.

Sesungguhnya dalam harta yang kita miliki itu terdapat hak orang lain.  Dengan berzakat Insya-Allah akan dapat menimbulkan perasaan belas kasihan, perasaan untuk suka menolong, suka bersedekah dan menyayangi orang lain.  Dan sekaligus dapat menyingkirkan perasaan megah, ria, sombong, kedekut dan sebagainya.     

Dari itu marilah kita sama-sama beringat terhadap kewajipan, sama-sama saling tegur menegur dan nasihat menasihati demi kesatuan umat Islam.  Kita semua adalah bersaudara, kerana itu janganlah kita menipu saudara kita sendiri.  Berniagalah secara jujur, Insya Allah akan mendapat keuntongan didunia dan akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mutaffifin ayat 1 – 6:  Tafsirannya:       Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan  dan sukatan.  Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan gantang cupak  dari orang lain mereka mengambilnya  dengan cupak dan sebaleknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi tidaklah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan hidup semula sesudah mati?  Pada hari kiamat yang amat besar huru-haranya.  Hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam?.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

 

 



|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||