![]() |
||
![]()
|
24 Rabiulakhir 1423/5 Julai 2002 BERSIFAT BERANI DEMI AGAMA DALAM MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN
Muslimin
yang dirahmati Allah.
Marilah kita bersama-sama
meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penoh
khusyuk, tawaduk dan rasa nikmat dimana perilaku, tindakan, perbuatan
dan perkataan kita boleh mencerminkan hakikat sebenar kepada kehendak takwa
yang ditunaikan. Muslimin
yang dirahmati Allah,
Sesunggohnya agama Islam amat menitik
beratkan supaya umatnya dapat mempunyai hemah yang tinggi dan akhlak yang
mulia. Dengan itu barulah kita
akan dipandang tinggi dan dihormati. Adapun
diantara akhlak yang mulia itu ialah bersifat berani.
Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam, umat Islam telah dikenali sebagai umat yang kuat, umat yang gagah
perkasa, berani serta tidak takut pada peperangan dan kematian. Umat Islam pada ketika itu mampu melawan pihak musuh walaupun
dalam keadaan yang serba kekurangan. Dengan
berbekalkan keberanian yang berdasarkan Iman dan takwa, akhirnya umat Islam
boleh berjaya dan menang menentang musuh.
Sebenarnya konsep bersifat berani amat luas, ia tidak hanya terbatas kepada bersifat
berani dalam medan peperangan sahaja, bahkan dalam pelbagai bentuk
yang lain.
Kita dituntut supaya bersifat berani demi agama, berani menegakkan kebenaran
dan keadilan. Kerana jika kita
tidak bersikap berani, siapakah yang hendak bangkit membela agama kita?
Berjuang mempertahankan kesucian agama dari dicaci dan difitnah,
berjuang menentang sebarang usaha untuk merosakkannya
serta berjuang menentang musuh negara dari menjajah negara kita.
Selain itu, kita juga dituntut supaya bersikap berani menentang
menyelewengan, ketidak adilan dan kezaliman. Muslimin
yang berbahagia,
Masa kini, kita dapat lihat tidak ramai orang yang berani menegur kesalahan
orang lain. Sebenarnya kita
turut bertanggongjawab untuk menegah perbuatan jahat dan munkar dari terus
berlaku. Jangan kita biarkan
kesesatan semakin bermaharaja lela, kerana itu walaupun kita terasa tidak
mampu untuk menegah perbuatan-perbuatan tersebut, kita cuba cari jalan lain
supaya melaporkannya kepada pihak yang berkuasa. Janganlah kita ambil sikap camah mata atau malas tah ku ingau
akan masalah orang lain, kerana jika dibiarkan berterusan boleh menjejaskan
keselamatan negara dan rakyat. Dan
secara tidak langsung kita seoleh-oleh redha dengan perbuatan-perbuatan
tersebut. Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,” Rasa takut atau segan
terhadap manusia janganlah sampai menghalangi kamu dari menyatakan apa yang
sebenarnya jika memang benar kamu melihatnya, menyaksikan atau
mendengarnya”. Riwayat
Ahmad.
Walau bagaimanapun kita dapati ada orang yang bersikap berani pada waktu dan
tempat yang salah dan tidak wajar, seperti berani melakukan kesalahan
jenayah samada yang melanggar undang-undang agama atau negara, ada orang
yang berani melakukan perbuatan rasuah, berani memakan, menjual dan mengedar
dadah, berani dalam melakukan perkara maksiat dan dosa, berani melakukan
perbuatan yang salah dan ditegah dalam Islam, ianya dilakukan tidak lain
hanya untuk memuaskan hawa nafsu dan menuruti kehendak syaitan semata-mata.
Ini adalah kerana sifat berani itu terbahagi kepada dua bahagian
iaitu sifat berani yang dituntut dan sifat berani yang ditegah.
Dari itu sedarlah saudara-saudara sekalian, bahawa terdapat banyak bentuk
sifat berani yang harus kita perhatikan terlebih dahulu sebelum dijadikan
sebagai perhiasan diri. Pilihlah
secara bijak antara sifat berani yang terpuji atau yang tercela, bersifat
beranilah kita dalam berjihad, menentang musuh agama, berani demi keadilan
dan menentang kezaliman serta bersikap berani melawan hawa nafsu.
Janganlah pula kita bersikap berani membuta tuli, tidak mengikut
peraturan atau undang-undang, berani kerana membalas dendam, berani
menentang kebenaran dan keadilan serta janganlah juga kita berani melakukan
kesalahan dan dosa. Dan
sesungguhnya kita manusia mempunyai akal dan fikiran, maka sudah seharusnya
kita bertindak dengan akal tersebut dan bukannya mengikut kehendak hati dan
hawa nafsu semata-mata. Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Lokman ayat 17. Tafsirannya:
Wahai anak kesayangan ku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah
berbuat kebajikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan munkar dan
bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu .
Sesunggohnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat melakukannya.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||