![]() |
||
![]()
|
03 Rabiulakhir 1423/14 Jun 2002 MENGAMBIL
BERAT
Muslimin
yang dirahmati Allah.
Marilah kita sentiasa mempertingkatkan rasa ketakwaan kita kepada Allah
Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa dengan menunaikan segala
suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita berbahagia didunia mahupun di akhirat. Sidang
jemaah yang dihormati sekalian.
Kesenangan dan
keselesaan hidup yang kita nikmati di negara Brunei Darussalam ini patut
kita syukuri kerana ia adalah satu nikmat yang
sangat besar yang
dikurniakan kepada kita oleh Allah Subhanahu Wataala. Nikmat seperti ini
hendaklah kita hargai dan tidak patut dicuaikan, supaya kita akan terus
menikmati kesenangan dan keselesaan hidup ini.
Keselesaan hidup seperti ini jika ditarik oleh Allah Subhanahu
Wataala kita akan susah dan merana, dari itu kita mesti menghargainya dan
menjaganya.
Cara untuk menjaganya ialah dengan menjaga dan mengukuhkan Imam kita kepada
Allah Subhanahu Wataala. Kita
hendaklah sentiasa berusaha dan bekerja keras demi untuk mentaati segala
titah perintah Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa berdoa supaya nikmat
Allah Subhanahu Wataala itu terus dikurniakan kepada kita.
Doa pula hendaklah benar-benar berdoa – bukan sekadar bercakap dan
menadah tangan kelangit sahaja tetapi benar-benar meminta dan munajat kepada
Allah Subhanahu Wataala. Namun begitu tidak semua doa itu dikabulkan kerana berdoa pun ada syarat-syaratnya. Diantara syarat-syaratnya itu ialah memakan makanan yang halal, baik, suci dan seumpamanya. Jangan ada sedikit pun yang masuk kedalam perut kita daripada benda-benda yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wataala.
Setiap
orang Islam wajib memakan makanan yang halal dan perkara ini hendaklah
diambil berat, kerana jika memakan makanan yang tidak halal doa seseorang
itu tidak akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wataala.
Siapakah yang mahu doanya tidak dimakbulkan? Sedangkan Nabi lagi
berdoa, inikan pula kita manusia biasa yang sangat lemah dan setiap doa itu
mengharapkan supaya diterima oleh Allah Subhanahu Wataala.
Imam Muslim ada meriwayatkan dari Abi-Hurairah Radiallahu Anhuma dari
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
maksudnya. “Bahawa Rasulullah Sallallahu Alahi Wasalam ada menerangkan
mengenai seseorang lelaki yang jauh perjalanannya, yang kusut rambutnya lagi
berdebu mukanya menadah kedua tangannya kelangit berdoa, “Ya Tuhanku, Ya
Tuhanku, pada hal makanannya haram dan minumannya haram, dan pakaiannya pun
dibuat dari yang haram, dan mulutnya juga disuapkan dengan yang haram, maka
bagaimanakah akan diperkenankan doanya?.
Di Negara Brunei Darussalam nampaknya tiada masalah untuk mendapatkan
makanan yang halal dimana-mana kita boleh memperolehi dan tersedia dari
makanan ringan kepada makanan yang berat.
Tetapi kita hendaklah meneliti dan memastikan makanan yang hendak
kita beli itu dari sumber mana dan tidak meragukan.
Al-hamdulillah Kementerian Hal Ehwal Ugama telah pun menyediakan
peraturan-peraturan untuk memastikan kehalalan daging-daging yang akan
dipasarkan di Negara ini. Majlis Ugama Islam juga telah banyak mengiktiraf rumah-rumah
penyembelihan didalam dan diluar negara.
Dari itu kita hendaklah sentiasa memastikan daging-daging yang akan
kita beli itu adalah daging-daging yang telah diakui kehalalannya
termasuklah daging-daging yang telah diproses dan yang telah ditinkan.
Walau pun dalam akta daging halal dan aturan-aturannya lebih banyak
menyentoh berkenanan dengan
pengawalan dan pengeluaran daging-daging mentah sahaja, dan akta daging
halal itu kurang sesuai untuk dikenakan kepada bahan-bahan makanan daging
yang berproses dan ditinkan, tetapi orang ramai hendaklah berhati-hati dan
mengambil berat tentang kehalalannya, jangan sampai memakan makanan yang
diragui kehalalannya. Kerana
mungkin makanan dan daging-daging yang telah dibeli itu bukan kita seorang
sahaja yang akan memakannya tetapi mungkin isteri dan anak-anak atau
keluarga dan sebagainya. Jika mereka termakan makanan yang tidak halal disebabkan oleh
kecuaian kita maka kitalah yang akan menanggong dosa mereka –
nahuzubillahi minzalik. Kita mesti ingat bahawa akibat perbuatan seperti ini mungkin kita akan menanggong banyak dosa kerana disebabkan bukan oleh satu kesalahan sahaja tetapi ada beberapa kesalahan yang serentak iaitu pertama membelanjakan wang atau harta kita kepada yang haram, kedua cuai terhadap tanggongjawab kepada Islam, ketiga memakan benda yang haram dan keempat memberi makan kepada keluarga dari benda-benda yang haram.
Ibu bapa
bertanggongjawab ke atas makanan anak-anak dan anak-anak juga
bertanggongjawab ke atas makanan yang akan dimakannya, jadi tanggongjawab
itu hendaklah disempurnakan dengan sebaik-baiknya, makanan yang kita makan
itu akan menjadi darah dan daging kita, jika ia kotor dan najis rahmat Allah
Taala akan jauh dari kita dan
kita akan mudah terjerumus kedalam maksiat dan kemungkaran.
Jika kemungkaran berleluasa menimbulkan pula gejala-gejala yang tidak
sihat dan akan berlaku pula kekacauan dan tiada ketenteraman dan akibatnya
akan merosakkan diri sendiri, keluarga, rumahtangga, masyarakat dan
seterusnya negara. Kita semua harus sedar bahawa musuh-musuh Islam sentiasa peka dan sentiasa mencari jalan supaya iman umat Islam longgar dan lemah. Diantara jalan yang mereka pakai ialah dengan merosakkan fikiran kita melalui pendidikan, media-media dan sebagainya, dan juga melalui makanan yang haram yang tidak tentu asal usulnya. Makanan yang haram dan meragukan ini akan merosakkan akidah dan iman kita kerana makannya itu akan menjadi darah dan daging dan seterusnya meresap keseluruh badan kita. Dari itu kita mestilah mengukuhkan iman kita untuk menjadi benting dan menepis apa sahaja unsur-unsur yang boleh melemahkan kita.
Mungkin
ada yang memandang ringan mengenai makanan yang haram ini.
Melihat sahaja makanan yang sedap terus sahaja dibeli dan dimakan dan
ada pula yang menganggap bahawa memilih makanan yang halal itu adalah
menyusahkan.
Para
peniaga seperti pengusaha-pengusaha restoran, kedai-kedai makan dan
sebagainya juga adalah golongan yang sangat penting memikul tanggongjawab
untuk memastikan benda-benda dan bahan-bahan yang dijual adalah halal. Mereka hendaklah bersifat jujur dan amanah bertanggongjawab
dan beriman. Juallah
benda-benda dan barang-barang yang halal dan baik, jangan menjual yang haram,
kerana jika menjual yang haram tentu akan mendapat wang yang haram juga dan
jika wang itu dibelanjakan akan mendapat barang daripada wang yang haram –
jadi orang itu akan mendapat dosa yang berganda.
Keuntungan adalah matlamat yang mesti dicapai oleh semua peniaga,
tetapi berkat dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala adalah lebih berharga
daripada keuntungan yang didapat daripada sumber yang haram. Dari
itu wahai kaum Muslimin, tanggongjawab kita sebagai orang Islam sekarang
ialah berusaha supaya Islam ini kembali bersinar dan kembali menjadi kuat
yang akan mendorong kepada keamanan dan kesejahteraan sejagat. Caranya ialah dengan mentaati segala titah perintah Allah dan
menjauhi segala larangannya. Azam
kita ialah supaya kita sentiasa diredai Allah dan negara kita akan sentiasa
aman dan sejahtera. Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-nahli ayat 97 yang tafsirannya:
“Barangsiapa yang megerjakan amal saleh, baik lelaki maupun
perempuan dalam keadaan beriman, maka sesunggohnya akan kami berikan
kepadanya kehidupan yang baik dan sesunggohnya akan kami beri balasan kepada
mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||