Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

04 Rabiulawal 1423/17 Mei 2002

BERHATI-HATI DENGAN KUMPULAN BUKAN ISLAM MERACUNI JIWA, PEMIKIRAN UMAT ISLAM

 

Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan suruhan-nya dan meninggalkan segala larangan-nya.  

Datangnya agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan suatu rahmat yang amat besar dari Allah Subahanahu Wataala. Agama yang membawa nur dan hidayat-nya kepada umat manusia supaya kita tidak lagi hidup dalam kejahilan dan kesesatan. Islam adalah agama yang suci lagi murni, di dalamnya terdapat ajaran-ajaran serta hukum-hakam yang sempurna lagi adil yang telah merangkumi segala aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Umat Islam tidak akan pernah tersesat jika mereka sentiasa berpandu kepada ajaran Kitab Suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kesesatan yang berlaku di kalangan sebahagian umat Islam adalah kerana golongan ini ingkar dan tidak menjadikan Kitab Suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullahu Alaihi Wasallam sebagai panduan dan sebaliknya merujuk kepada bahan-bahan lain, merujuk atau menjadi pengikut kepada individu-individu yang mempunyai kepentingan sendiri serta sebahagiannya membuat tafsiran sendiri ajaran dan kandungan Al-Quran serta Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dari itu beruntunglah kepada siapa yang telah dibukakan hatinya untuk menerima rahmat keislaman dan keimanan dalam jiwa.  

Walaupun telah jelas terbukti betapa Islam adalah agama yang benar lagi lurus, namun masih terdapat beberapa golongan umat manusia yang masih ingkar dan kurang senang dengan kedatangan Islam dan mereka inilah musuh-musuh Islam. Mereka tidak henti-henti berusaha untuk menyekat penyebaran agama Islam ke serata dunia sejak zaman-berzaman. Bermacam-macam strategi telah dilakukan oleh mereka namun sentiasa gagal dan ikhtiar memusnahkan umat Islam dan agamanya melalui penjajahan fizikal dan peperangan tidak berjaya, mereka kini berusaha untuk menjajah pemikiran dan kepercayaan kita dalam beragama pula.  

Kalau sebelum ini, mereka lebih giat berusaha mempegaruhi penduduk-penduduk kampung sahaja khasnya yang berada jauh dari pembangunan dan dilanda kemiskinan. Ini kerana mudah bagi mereka untuk menghasut dan memaksa mangsa-mangsa supaya menerima agama yang dibawakan oleh mereka. Dan kejadian ini banyak berlaku di negara-negara Islam yang kurang membangun dan mundur.  

Tapi kini sasaran mereka tidak hanya tertumpu kepada negara mundur dan bergolak sahaja, bahkan turut menyerang negara membangun dan warga kota. Dan negara kita, Brunei Darussalam turut menjadi sasaran musuh-musuh Islam. Beberapa waktu terdekat ini, kita telah dikejutkan dan didedahkan kepada satu muslihat yang digunakan oleh musuh-musuh Islam dalam usaha untuk menggugat akidah umat Islam di negara kita. Terdapat satu  pertubuhan atau kumpulan bukan Islam di luar  negeri telah cuba menyebarluaskan dakwah agama mereka ke negara ini, iaitu dengan mengirim surat-surat dan risalah-risalah yang boleh mengelirukan segelintir masyarakat umat Islam. Kita khuatir perbuatan tersebut akan meracuni jiwa dan pemikiran umat Islam khasnya kepada saudara-saudara baru, golongan belia dan remaja serta mereka yang lemah imannya.  

Alhamdulillah, berkat kesedaran umat Islam betapa bahayanya perbuatan tersebut , pihak kerajaan dan orang ramai telah sama-sama berganding bahu untuk menyekat dan membanteras usaha jahat tersebut dari terus tersebar luas. Kini kita harus lebih peka dan berhati-hati terhadap apa jua cara , muslihat dan strategi yang digunakan oleh musuh-musuh Islam  yang sudah pastinya mendapat sokongan dan dorongan dari Iblis Laknatullah.  

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-An’aam ayat 121 yang tafsirnya: “Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah menghasut kamu, dan jika kamu menurut hasutan mereka untuk menghalalkan yang haram itu, sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.”  

Kita Umat Islam harus tahu bahawa di antara tujuan dan cara mereka untuk menyesatkan kita dari agama Islam ialah mereka akan menimbulkan keraguan di hati kita terhadap keesaan Allah Subhanahu Wataala, meragui kebenaran Kitab Suci Al-Quran, meragui keikhlasan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, meragui kesucian agama Islam dan sebagainya. Mereka juga akan berusaha menghapuskan akidah umat Islam supaya nantinya kita akan bertukar menjadi kumpulan manusia yang beragama Islam hanya pada nama atau zahir sahaja. Mereka juga akan terus berusaha menghapuskan perpaduan umat Islam kerana hanya dengan perpaduan kita menjadi umat yang kuat, tetapi akan menjadi lemah jika berpecah-belah. Bahkan mereka akan terus memburuk-burukkan Islam pada pandangan masyarakat umumnya supaya umat yang belum kenal pada Islam akan terus memandang prejudis herhadap Islam dan beranggapan bahawa Islam adalah agama yang gemar kepada keganasan dan peperangan.  

Dari itu marilah kita bersatu padu untuk menagkis apa jua fitnah dan cubaan yang ditunjukan atas kita. Kita perdalamkanlah ilmu agama Islam ke dalam jiwa, semoga kita tidak akan mudah terpengaruh oleh muslihat licik mereka. Dan bertakwalah kita kepada Allah Subahanahu Wataala memohon pertolongan-nya kerana dia adalah sebaik-baik penolong. Mudah-mudahan kita dan umat Islam seluruhnya akan sentiasa terselamat dari kesesatan dan kebinasaan.  

Firman Allah Subahanahua Wataala dalam Surah Al-An’aam dalam ayat 153 yang tafsirnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang lain dari Islam, kerana jalan-jalan yang lain itu menceraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”

 




|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||