Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

11 Rabiulawal 1423/24 Mei 2002

NABI MUHAMMAD PENYELAMAT JUTAAN UMAT
DARI TERPESONG

 

Marilah kita pertingkatkan ketakwaan kita ke hadrat Allah Subhannahu Wataala, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di dalam hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih.

 Alhamdulillah, kita telah pun berada di bulan yang penuh bersejarah, bulan Rabiulawal, yang mana tiap-tiap tahun umat islam sejagat dengan bangga dan gembira meraikan hari kebesaran mengingatkan akan keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Jelasnya pada 14 abad yang lalu, telah lahir seorang Nabi utusan Allah yang terakhir di dunia ini dengan membawa amanah yang khusus berupa suatu tuntuan yang amat bernilai iaitu suatu ajaran atau tuntutan yang hendak membawa keselamatan hidup dan kehidupan manusia dari kekeliruan dan kepercayaan yang mereka anuti, menuju keimanan tauhid yang sebenar.

Kelahiran Baginda Sallallahu Alahi Wasallam adalah merupakan satu petanda datangnya rahmat dan nikmat Allah Subhanahu Wataala. Di dunia yang gelap kembali menemui cahaya yang terang-benderang, kesyirikan dan kekufuran diganti dengan ketauhidan dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wataala. Lenyapnya keganasan, tegaknya keadilan, masyarakat yang tidak tenang terumbang-ambing hidupnya berubah menjadi masyarakat tenteram penuh kedamaian dan keselamatan.

Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Surah Al-Anbiyaa ayat 107 yang tafsirannya:

“ Dan tidaklah kami utus engkau wahai Muhammad kecuali untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

 Justeru lahirlah Baginda di muka bumi ini telah menempatkan akan kebesarannya di sisi Allah Subhanahu Wataala. Kebesaran Nabi telah diakui oleh Fatimah Assyakafiah yang menyaksikan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam: “Aku hadir dan menyaksikan sendiri kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alahi Wasallam ketika itu aku melihat cahaya terang menyinari seisi rumah tempat Baginda dilahirkan, selain itu aku pun melihat beberapa bintang bersinar turun mendekat hingga aku merasa seolah-olah bintang-bintang itu hendak menjatuhi diriku.” Selain dikhabarkan oleh Fatimah, ada juga yang meriwayatkan akan tanda-tanda luar biasa pada malam kelahiran Baginda seperti bumi bergoncang dilanda gempa hingga berhala di sekitar Kaabah bergelimpangan, beberapa gereja dan biara runtuh serta balairong Istana Kaisar di Parsi retak dan roboh serta padamnya api sembahan kaum Majusi di negeri itu yang menyebabkan mereka sedih dan cemas. Kebesaran Nabi turut diakui oleh ibu susuannya, Halimah binti Zubaid, ketika pulang bersama rombongan membawa Nabi menunggang keldai yang kurus kering. MasyaAllah! Di luar dugaan keldai itu berjalan cepat mendahului keldai lain meninggalkan teman-temannya. Sehingga mereka berkata berkata: “Hai Halimah, pasti ada luar biasa pada keldaimu itu?” Lebih memeranjatkan Halimah ialah waktu kepulangannya telah melihat kambingnya menjadi gemuk dan teteknya dipenuhi air susu sedangkan waktu ia meninggalkan kambing itu ianya di dalam keadaan yang kurus kering kerana kelaparan.

Perjuangan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan ilmu Allah di muka bumi ini penuh dengan peristiwa pahit dan getir menempuh pelbagai ancaman dan halangan, menghadapi bermacam-macam kesengsaraan, penderitaan, penindasan dan sebagainya. Genap usia Baginda 40 tahun, Baginda diutus menjadi Rasul, Baginda terus menyebarkan dakwah, mengajak umatnya ke jalan yang lurus dengan memeluk agama Islam. Akhirnya Baginda berhasil membawa mereka ke jalan yang benar yang diredai Allah Subhanallahu Wataala. Selama 23 tahun lamanya, meskipun di tengah-tengah perjuangan Baginda menghadapi rintangan, tentangan dan bahaya yang mengancam jiwa Baginda. Namun berkat jiwa yang sabar, ketaatan yang teguh, kepercayaan yang mantap bahkan sifat-sifat yang terpuji dimiliki oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam semua rintangan tersebut mampu diatasi dengan baik dan bijaksana. Keperibadian Baginda sebeginilah harus kita contohi sebagai umat Islam. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai akhlak yang mulia sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 yang tafsirannya:

 “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.”

 Adalah wajar kita menyebut dan meraikan tarikh Mauludur Rasul itu, merenung kembali jasa-jasa Baginda yang amat bernilai, pengorbanan Baginda yang sangat besar dan mengenali Baginda secara yang lebih mendalam dengan mempelajari dan mengetahui sifat-sifat dan keperibadian Baginda yang luhur murni. Semua ini adalah tanda kesyukuran dan kasih sayang kita umat Islam kepada pemimpin kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, penyelamat yang menyelamatkan bukan ribuan malahan jutaan penghuni dunia dari jauh terpesong mengikuti fahaman akidah yang rosak lagi sesat.

 Menghidupkan malam-malam Rabiulawal melalui pembacaan dikir-dikir pujian kepada Baginda hendaklah tidak dilihat dari segi zahirnya sahaja yang merupakan sebagai suatu perayaan semata-mata. Bahkan hendaklah kita lihat bahawa dengan melaungkan pujian dan selawat kepada Baginda secara tidak langsung akan mencetuskan rasa kasih sayang yang tidak terhingga kepada Baginda, membersihkan akidah manusia melalui konsep tauhid yang dengannya akan terhapuslah kepercayaan dan pegangan menyekutukan Allah Subhanahu Wataala. Begitu juga memberikan pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat kita terutama sekali generasi muda yang kian berada di ambang godaan dan ancaman akidah songsang lagi menyesatkan.

Kewafatan Baginda di bulan Rabiulawal setelah 23 tahun menjalankan tugas sebagai utusan Allah merupakan sebagai suatu peristiwa sedih dan menyayatkan hati kepada seluruh umat Islam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak meninggalkan apa-apa untuk dipusakai, tidak meninggalkan harta benda, tidak meninggalkan rumah, gedung, kenderaan dan sebagainya. Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam hanya meninggalkan dua pusaka yang amat bernilai iaitu Al-Quran dan Al-Hadis.

 Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hakim dan Malik yang bermaksud:

“Benar-benar aku telah meninggalkan untuk kamu dua pusaka, yang kamu tidak akan sesat sama sekali selama mana kamu berpegang kepadanya, iaitu Al-Quran dan Al-Hadis.”

 Selagi kita berpegang teguh kepada keduanya, selama itulah kita selamat, selamatlah keluarga kita, selamatlah kita dan selamat pulalah manusia dimuka bumi ini seluruhnya.

 Akhirnya dengan apa yang kita perolehi melalui peninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan memperingati Mauludur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam, marilah kita sama-sama mengikut jejak langkah hebat Nabi mengharungi daya tarikan duniawi. Melaksanakan selawat kepada Baginda semoga kita akan tergolong di antara orang yang mendapat syafaat Baginda di akhirat dan akan dimasukkan ke Syurga sesuai janji Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih.

 Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Fat-h ayat 28 yang tafsirannya:

 “Allah yang menyatakan kebenaran itu Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya  ( Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar ( agama Islam ) supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain, dan cukuplah Allah menjadi saksi tentang kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu.”

 


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||