![]() |
||
![]()
|
10 Ramadhan 1423/15 November 2002 Kelebihan Puasa
Muslimin
mukminin yang dirahmati Allah, Marilah
kita sentiasa bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar
takwa, kerana dengan bertakwa sahajalah hidup kita akan selamat dan
berbahagia, iaitu dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan
segala apa-apa jua tegahannya. Muslimin
yang dirahmati Allah, Puasa
adalah satu daripada rukun Islam yang lima.
Ajaran Islam telah meletakkan kedudukan ibadat Puasa ini ditempat
yang tinggi dan ia merupakan pendidikan perseorangan yang dapat mencetus
kesejahteraan di dalam masyarakat. Hasil
dari ibadat Puasa itu akan menimbulkan kasih sayang, bantu membantu sehingga
membawa kebahagiaan dan keharmonian di
dalam masyarakat. Orang yang
benar-benar berpuasa serta menjaga tata-tertib
berpuasa akan lahirlah pada dirinya akhlak serta sifat-sifat yang
terpuji. Ibadat puasa yang
dilaksanakan dengan ikhlas maka balasan pahalanya yang besar akan diterima
daripada Allah Subhanahu Wataala di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada Abu Hurairah
Radiallahu-Anhu: Maksudnya;
"Barang
siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana Iman dan mengharapkan redha
Allah maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". Ahli
Jumaat dirahmati Allah, Ditinjau dari aspek puasa itu sendiri, ia merupakan salah satu ibadat yang berdiri di atas dasar-dasar kesabaran. Kerana ia sememangnya mengandungi segala macam bentuk kesabaran, sabar mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan sabar meninggalkan larangan Allah Subhanahu Wataala, sabar menghadapi penderitaan lapar dan dahaga serta sabar dengan kelemahan jasmani, oleh itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menamakan bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai bulan kesabaran. Puasa
tidak bermakna umat Islam tidak produktif, tidak bertenaga dan lemah anggota,
dimusim inilah umat Islam mesti lebih cergas, lebih berupaya dan lebih rajin
terutamanya dalam melakukan ibadat, melakukan ketaatan, memperbanyakkan
kebaikan, menghulurkan sedekah dan pertolongan, membaca Al-Quran, berterawih,
berwitir, bertahajjud, beristiqfar. Beriktikaf dan berzikir, rebutlah
peluang-peluang yang banyak di bulan Ramadhan ini, kerana apabila tiba bulan
Ramadhan pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta
syaitan-syaitan dibelenggu. Dengan
berpuasa juga dapat menambahkan kesihatan tubuh badan, hal ini dinyatakan
dalam sebuah hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Berjuanglah
di jalan Allah nescaya kamu akan beroleh keuntungan dan berpuasalah nescaya
kamu akan sihat"
(Riwayat Al-Baihaqi). Selain
dari faedah dan ganjaran besar daripada Allah Subhanahu Wataala kerana
berpuasa, kita juga akan dapat mendidik jiwa dan rohani dengan sifat-sifat
terpuji umpamanya sifat sabar, zuhud, pemurah dan simpati kepada fakir
miskin dan orang yang tidak bernasib baik, disamping itu dapat mendidik jiwa
dan rohani supaya sentiasa insaf dan bertimbang rasa sesama manusia,
sentiasa memelihara hawa nafsu dari sifat-sifat keji dan tamak haloba.
Berpuasa itu sudah tentunya harus menanggung beberapa kesukaran
seperti lapar dahaga dan sebagainya. Ini
secara langsung mendidik akhlak dan kelakuan menjadi penyabar dan patuh. Muslimin
yang diberkati Allah, Orang
yang berkehendakkan Puasa itu mendapat penilaian serta keredhaan Allah
Subhanahu Wataala, hendaklah ia memelihara adab dan tata-tertibnya.
Tidak diterima ibadat Puasa itu tanpa tata-tertib.
Di antara tertibnya yang terpenting ialah memelihara lidah supaya
tidak berbicara dusta, mencaci orang, menahan mata dan telinga daripada
melihat dan mendengar sesuatu yang tidak dihalalkan oleh syariat. Begitu juga hendaklah ia memelihara perutnya dari diisi dengan makanan yang haram atau berupa syubhat. Terutama sewaktu berbuka puasa, wajiblah ia berusaha mencari yang halal menjadi makanan berbuka puasanya. Sebab itu setengah ulama salaf mengatakan jika kamu berpuasa, perhatikanlah apa makanan kamu sewaktu berbuka dan tempat siapakah kamu berbuka. Hal ini menganjurkan kita supaya berjaga-jaga dan mengambil berat terhadap makanan untuk berbuka. Orang yang berpuasa itu juga hendaklah menjauhkan diri dari segala urusan yang tidak berfaedah. Dengan demikian barulah sempurna puasa yang dikerjakannya itu. Kita melihat beberapa banyak orang yang berpuasa, berpenat lelah disebabkan lapar dan dahaga, tetapi amat malang ia membiarkan dirinya terjerumus dengan maksiat. Puasa yang demikian hanyalah berlapar sahaja tanpa mendapat balasan pahala dari Allah Subhanahu Wataala. Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga”. (Hadith riwayat ibnu Majah). Oleh
yang demikian marilah kita sama-sama melaksanakan ibadat puasa dengan
ketaatan dan kesabaran serta menjaga adab-adab berpuasa, mudah-mudahan Allah
Subhanahu Wataala kurniakan kita balasan Syurga, amin ya rabbal-alamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali ’Imran ayat 132 – 133,
Tafsirannya: “Dan
taatlah kamu kepada Allah dan Rasul Nya, supaya kamu diberi rahmat, dan
segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat
keampunan dari Tuhan kamu. Dan
mendapat syurga yang bidangnya luas segala langit dan bumi yang disediakan
bagi orang-orang yang bertakwa”.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||