Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

3 Ramadhan 1423/8 November 2002

  BERSAHUR

 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

         Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh menurut apa jua perintah dan menjauhkan diri daripada segala larangannya.

 Saudara-saudara yang berbahagia,
 

          Al-hamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat bertemu dengan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan limpah rahmat dan penuh keberkatannya.  Kita telah berada di bulan Ramadhan, iaitu bulan Mubarak.  Ramadhan bulan agung dan tinggi kedudukannya di sisi Allah Subhanahu Wataala dan Rasulnya, kerana Al-Quran diturunkan pada bulan ini serta terdapatnya Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.  Balasan amal perbuatan diberikan pula berlipat ganda pahalanya dibulan ini.
 

         Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada umat Islam bukanlah bertujuan untuk menyakiti atau mendatangkan mara bahaya atau pun kesusuhan atau menimbulkan penyakit seperti ada sebahagian kecil orang mendakwa demikian kerana menurut hawa nafsu dan keinginan semata-mata yang enggan atau tidak mahu berpuasa.

 

         Kalaulah kita lihat pada zahirnya mengerjakan puasa Ramadhan itu memang sukar, keinginan dan kebiasaan pasti terbatas, tidak boleh makan dan tidak boleh minum, tidak boleh merokok dan berbagai-bagai lagi yang terlarang.  Tetapi disebalik kita menunaikan ibadat puasa Ramadhan itu jikalau kita insaf  bahawa kesukaran itu bertujuan baik demi kepentingan, jiwa manusia itu sendiri , akal dan peribadi dalam menguatkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala.  Untuk membanyakkan pahala yang tidak didapati di bulan-bulan lain, untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala  dan paling penting supaya seseorang itu mudah mencapai darjat Al-Muttaqin, tentulah  dengan keinsafan itu kita akan terus bangun mengharungi cubaan Allah Subhanahu Wataala sampai berjaya.  Pada hakikatnya berpuasa itu adalah salah satu perjuangan hidup sebagai manusia dalam mencapai darjat takwa, tanpa perjuangan yang bersungguh-sungguh dan perancanan  yang teratur dan berkesan tidak akan ada sesuatu cita-cita dapat diraih.

          
        Bulan Ramadhan bulan yang mulia marilah kita sambut dengan kesyukuran dan hati yang lapang, dengan riang dan senang.   Bulan yang banyak mengandungi kelebihan, keberkatan, sebab itu ia amat dirindui dan dikasihi serta ditunggu-tunggu oleh setiap mukmin yang sejati akan kemunculannya.  Berbeza dengan segelintir masyarakat Islam yang tidak mengetahui hakikat dan rahsia ramadhan, mereka menyambut dengan perasaan susah hati kerana menganggap ramadhan itu bulan azab, satu penyiksaan, kepayahan dan kerugian, alangkah menyesal dan ruginya kalau kita tidak mengisi bulan agung dan istimewa ini dengan puasa sebagaimana yang diwajibkan, disamping ibadat-ibadat sunat yang lain mithalnya membaca Al-Quran, bertarawih, Qiamullail, bersedekah dan kebajikan-kebajikan yang lain.

  Muslimin yang berbahagia.
 

          Selain daripada itu di dalam bulan ini, ada perkara sunat yang mempunyai kelebihan apabila dilakukan oleh orang yang berpuasa, iaitu sunat makan sahur serta melambatkannya, amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (Ahlil-kitab).  Hal ini tersebut di dalam sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:-

Maksudnya:  “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa Ahlil-Kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur”.

         Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala  ke atas umat Islam.

          Daripada Anas Radiaallahu-Anhu katanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:  “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatannya”  (Muttafaqun-alaihi).

         Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi sebagaimana tersebut dalam hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Maksudnya:  “Makan sahurlah sekalipun dengan seteguk air”.  (Riwayat Ibnu –Hibban).

         Hadith tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit sahaja sekalipun dengan hanya seteguk air.
 

         Dalam hadith lain kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan salawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredhaan) ke atas orang yang bersahur.” (Riwayat At-Tabrani).
 

         Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambat- lambatkan waktu bersahur itu kerana amalan tersebut  dilakukan oleh para utusan Allah dan para sahabat.
 

         Al-Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:  “Sentiasa umatku di dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya”.
 

         Adapun kesan yang boleh kita nikmati daripada bersahur dan melambat-lambatkan waktu bersahur itu ialah supaya kita dapat menambah kekuatan beribadat, menambahkan tenaga dan bekalan perut kepada orang yang berpuasa untuk berpuasa, menambahkan kesegaran dan kecergasan serta kesihatan.

         Akhirnya marilah kita mengisi bulan yang mulia ini dengan ibadat-ibadat dan segala kebajikan sebanyak-banyaknya.
 

         Firman Allah Subahanu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 187:  “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (Cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar.  Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Magharib)”.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||