Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

20 Rejab 1423/27 September 2002

 

SEMPENA SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM 
DENGAN TEMA  ‘MEMPERKASA KEUPAYAAN BANGSA’

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

         Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.  Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

         Perkhidmatan Awam negara ini adalah merupakan nadi atau jentera penggerak yang utama bukan sahaja bagi program-program pembangunan negara bahkan juga menjadi penggerak dan pelaksana utama segala dasar dan peraturan kerajaan bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat dan negara dan seterusnya bagi mewujudkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan.  Bagi kejayaan dan kesempurnaan pelaksanaan segala usaha-usaha pembangunan negara, maka kita memerlukan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam disamping penglibatan sepenuhnya dari sektor swasta.  Jika perkhidmatan awam negara ini tidak cekap dan berkesan, maka adalah sukar bagi kita untuk memandu negara ini ketahap pembangunan yang lebih tinggi lagi mantap disamping segala program pembangunan negara tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan imej perkhidmatan awam itu sendiri akan turut terjejas bukan sahaja dari dalam tetapi juga dari luar negara.  Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjadikan perkhidmatan awam itu sebagai satu perkhidmatan awam yang unggul, berwibawa dan berkualiti, yang boleh dan mampu membawa negara ini bergerak lebih maju kehadapan.

Ahli Jumaat sekalian.

         Dengan limpah kurnia dan izin Allah Subhanahu Wataala jua, sekali lagi kita dapat menyambut Hari Perkhidmatan Awam kali kesembilan pada tahun 2002 ini dengan tema “Memperkasa Keupayaan Bangsa” Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam disambutan hari ulang tahun Keputeraan baginda yang ke 56 tahun yang diadakan pada 4 Jamadilawal 1423 bersamaan dengan 15 Julai 2002 telah bertitah yang antara lain telah menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan isu perkhidmatan awam yang mana kerajaan baginda telah memperkenalkan banyak strategi dan program serta kaedah yang berupa pembaharuan dan usaha untuk memperbaiki pentadbiran dan pengurusan.  Antaranya termasuklah wawasan perkhidmatan awam abad ke 21, tekad pemadulian orang ramai, manual  prosedur kerja dan rukun akhlak dan etika kerja.  Semua ini adalah untuk membolehkan kita mengwujudkan sebuah perkhidmatan awam yang berwawasan dan mempunyai hala tuju, serta menjadikannya lebih cekap, produktif dan pemedulian lagi boleh dipercayai.

         Semua ini dihasratkan adalah bagi meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan mutu perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam.  Disamping tumpuan diberikan kepada aspek-aspek kualiti dan produktiviti, yang penting sekali bagi mencapai matlamat ini ialah disiplin dan komitmen yang tinggi dikalangan anggota perkhidmatan awam, semangat berpasukan, hormat menghormati, patuh kepada peraturan dan etika kerja perlulah sentiasa dipraktikkan oleh anggota perkhidmatan awam disemua peringkat.

         Usaha dan strategi pengurusan ini juga, dihasratkan bagi menjamin keberkesanan dan ketelusan perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam dalam memberi perkhidmatannya  kepada orang ramai.  Perkhidmatan awam melalui usaha-usaha dan strategi-strategi ini juga diharapkan akan dapat menyumbang ke arah pencapaian matlamat dan dasar pembangunan negara.

         Oleh itu, bagi merialisasikan hasrat yang murni dan berwawasan ini, perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam sangat-sangat memerlukan kita, sebagai pegawai dan kakitangannya, untuk memainkan peranan serta menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih komited , didikasi, praktikal dan proaktif serta sentiasa mempunyai keupayaan dan ketahanan untuk berdaya saing serta kepimpinan diri yang jitu.

         Ke arah itu, adalah amat penting dan mustahak bagi kita selaku anggota perkhidmatan awam melalui kementerian dan jabatan masing-masing untuk memiliki ciri-ciri yang dikehendaki seperti sentiasa bekerjasama, melaksanakan tindakan dengan lebih komited, tekun, jujur dan amanah supaya kita dapat mengharungi dengan jayanya segala bentuk cabaran yang dibawa oleh peredaran masa dan keadaan.  Dengan kita memiliki ciri-ciri ini, akan memudahkan dan melancarkan semua aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha kearah kemajuan perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam secara khusus dan Negara Brunei Darussalam secara awam dengan lebih terancang, tersusun dan bersepadu.

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,

         Di dalam kesibukan kita menumpukan usaha meningkatkan kualiti kerja, kita tidaklah seharusnya lupa untuk berhati-hati dalam tindak tanduk kita sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan supaya tidak terjerumus kepada aktiviti-aktiviti atau tindakan-tindakan yang  menyalahi dasar serta undang-undang negara, peraturan-peraturan yang mengawal perkhidmatan awam negara kita dan hukum-hukum agama Islam.  Dalam hal ini, setiap pegawai dan kakitangan kerajaan hendaklah bersikap iltizam, amanah dan pemedulian dalam tugas dan tanggungjawabnya supaya dapat dilaksanakannya dengan sempurna bukan sahaja untuk kepentingan diri, masyarakat dan negara, malahan lebih utama untuk mencapai keredhan Allah Subhanahu Wataala.  Dengan demikian khidmat yang kita curahkan itu akan menjadi suatu ibadat dan kita akan mendapat pahala daripadanya.

         Marilah kita sama-sama selaku pegawai dan kakitangan kerajaan menerapkan ciri-ciri yang terkandung dalam rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam bagi mewujudkan satu perkhidmatan awam yang cemerlang dan diredhai Allah Subhanahu Wataala.  Selaras dengan maksud tema sambutan pada hari perkhidmatan awam tahun ini.  Dengan kita melaksanakan ciri-ciri yang terkandung  dalam buku rukun akhlak dan etika kerja  perkhidmatan awam ini insya-Allah, kita akan dapat memperkasa dan meningkatkan keupayaan bangsa kita dalam perkhidmatan awam.

          Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat: 105;

Tafsirannya:  Dan katakanlah wahai Muhammad: beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

 

 



|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||