Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

27 Rejab 1423/4 Oktober 2002

 

SEMPENA SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ

 

Muslimin mukminin yang dirahmati Allah,

         Marilah kita berusaha meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan segala ketaatan dan menghindarkan dari kemunkaran dan kemaksiatan.  Mudah-mudahan kita mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat.

         Sebagaimana yang telah menjadi kelaziman seluruh umat Islam, apabila menjelang 27 Rejab setiap tahun mengadakan dan menyambut berbagai-bagai acara sebagai ingatan sejarah agung iaitu Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.  Kita di Negara Brunei Darussalam ini juga tidak ketinggalan dalam menyambut dan meraikannya sebagai ingatan kita kepada peristiwa agung itu.

         Sempena kita memperingati hari dan bulan yang mulia lagi mempunyai kelebihan yang telah dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, hendaklah kita jadikan sambutan dan perayaan kita dalam memperingati peristiwa yang berlaku dalam bulan yang mulia ini untuk memperbaharui ketaatan kita terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala dan bersegera meninggalkan larangan serta membersihkan segala amalan kita dari sifat-sifat yang dikeji dan buruk.  Supaya amalan-amalan kita itu benar-benar bersih seperti yang dikehendaki Allah Subhanahu Wataala.

         Semoga dengan kita mengikuti peristiwa Israk dan Mikraj ini tidak syak lagi rasa keimanan kita akan bertambah, perasaan takut dan takwa semakin menebal dihati kita secara langsung  ia boleh dihubungkan dengan kehidupan kita di dunia ini dan sebagai satu contoh teladan dalam membentuk satu kehidupan yang benar-benar berdasarkan kepada agama Islam.

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,

         Israk dan Mikraj merupakan peristiwa yang amat luar biasa bukan cerita bohong atau dongeng tetapi benar-benar berlaku, ini adalah salah satu mukjizat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.  Peristiwa ini sudah tidak asing lagi kepada orang-orang Islam, dan wajib kita yakin.  Dalil yang menceritakan kejadian itu tercatat dalam Al-Quran Surah Al-Israa’, ayat 1:

         Tafsirannya:  Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya Muhammad pada malam hari dari Masjidil-Haram di Mekah ke Masjdil-Aqsa  di Palestin yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran kami, sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar lagi maha mengetahui”.

         Intisari dari peristiwa besar dan ajaib ini banyak mengandungi rahsia dan hikmat yang amat berguna dalam kehidupan kita, banyak terdapat pengajaran dan iktibar yang wajar kita contohi, kerana Allah Subhanahu Wataala telah memperlihatkan kepada Baginda  Sallallahu Alaihi Wasallam peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan harta benda, tata-susila kehidupan, maruah dan kehormatan, serta taklif atau kewajipan solat dan sebagainya.

         Di antara peristiwa yang telah disaksikan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam itu ialah:-

          1.                  Waktu dalam perjalanan, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
                  
  melihat sekumpulan manusia yang mana keadaan mereka
                    sedang mengetam padi, setelah padi dituai hasilnya maka
                    padi itu tumbuh lagi seperti sedia kala begitulah
                    keadaannya berterusan tanpa putus-putus.  Baginda
                    bertanya kepada malaikat Jibril, Sayidina Jibril 
                    menjawab itulah contohnya ganjaran balasan kepada
                    orang berjihad di jalan Allah Subhanahu Wataala.
                  
Dimana setiap usaha mereka yang berkebajikan akan
                   digandakan oleh Allah Subhanahu Wataala sehingga tujuh
                   ratus kali ganda.
 

        Itulah timbal balek yang berganda-ganda dari perbuatan orang yang suka membelanjakan hartanya di jalan Allah, mengorbankan harta bendanya untuk kebajikan dan kepentingan umum, mewakafkan harta, mewakafkan tanah, mewakafkan kenderaan, membangunkan masjid, membangunkan sekolah, memelihara anak-anak yatim, menolong orang miskin, orang susah dan sebagainya.

 

2.      Selanjutnya Baginda  Sallallahu Alaihi Wasallam  telah menyaksikan satu pemandangan suatu kaum sedang berenang di lautan darah, lantas mereka memasukkan batu ke mulut mereka,   Baginda  Sallallahu Alaihi Wasallam  bertanya kepada malaikat Jibril mengenainya Sayidina Jibril menjawab mereka itu adalah orang yang suka makan riba.

         Darah adalah sangat berfaedah dan bermanfaat, darah mengalir dalam pembuluh nadi menyebabkan organ-organ tubuh akan berfungsi dengan baik tetapi apabila darah itu sudah mengalir keluar ia tidak berguna lagi.  Pemakan riba atau bunga itu digambarkan dengan berenang dalam darah dan di mulutnya berisi batu menunjukkan bahawa perbuatan itu adalah sia-sia dan tiada berguna.

         Pengamal atau pemakan riba berhadapan dengan bencana dan kesengsaraan lantaran itu wahai saudara-saudara, hendaklah kita berwaspada dan mengambil berat tentang riba dalam apa jua urusan muamalah.  Riba adalah barang yang kotor, dikutuk dan tiada mendatangkan keberkatan sedikit pun.

         Selain itu Islam amat melarang keras terhadap apa jua bentuk kezaliman atau penindasan umpamanya memakan harta orang secara batil [tidak halal] seperti merampas, menipu, merompak, mencuri, pecah amanah, mengambil atau mengaut keuntungan yang melampau-lampau.  Supaya cepat kaya dan sebagainya.  Carilah rezeki dengan cara yang lurus, bersih lagi halal, Insya-Allah kita akan beroleh keberkatan.

Ahli Jumaat sekalian.

         Apabila kita perhatikan dari kisah-kisah nyata yang telah digambarkan dalam Israk dan Mikraj  ini iaitu ada yang mengembirakan, ada yang menggelikan atau menjijikkan, ada yang mengerikan dan menggerunkan, sewajarnya akan menimbulkan rasa insaf dan sedar dalam diri kita, insaf akan dosa-dosa dan maksiat yang kita perbuat, kelalaian kita, yakin akan keagungan dan keperkasaan Allah Subhanahu Wataala, akan menambahkan rasa keimanan dan perasaan takut dalam jiwa dan nurani setiap muslim.

         Marilah kita ambil iktibar dari gambaran-gambaran yang tersirat dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai bimbingan, mudah-mudahan kita selamat dari segala bala bencana dan mala petaka di dunia dan sejahtera dari azab neraka.

           Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Israa’ ayat:  60:

Tafsirannya:  Dan ingatlah tatkala kami wahikan kepada Mu wahai Muhammad bahawa sesungguhnya Tuhan mu meliputi akan manusia dan ilmunya dan kekuasaannya.  Dan tiadalah kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah kami perlihatkan kepada mu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga kami jadikan pokok yang dilaknat didalam Al-Quran dan kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau”.

 

 

 

 

 

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

 

 



|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||