![]() |
||
![]()
|
11 Syaaban 1423/18 Oktober 2002 PERDAMAIAN
Muslimin
mukminin yang diberkati Allah, Marilah kita sentiasa bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa, kerana dengan bertakwa sahajalah hidup kita akan selamat dan berbahagia, iaitu dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala apa-apa jua tegahannya. Muslimin
yang berbahagia,
Kita amat bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah
mengurniakan kita dengan nikmat yang melimpah ruah, di antara nikmat-nikmat
itu ialah nikmat Islam. Islam
adalah agama sejahtera, agama keamanan dan kedamaian.
Sesuai dengan namanya ‘ISLAM’ yang bererti selamat,
sejahtera, aman dan damai. Di
atas dasar itulah Islam mengaturkan hubungan antara sesama manusia, bangsa
dan negara dengan diasaskan kepada konsep cinta pada kedamaian dan
kesejahteraan bukannya permusuhan dan kebencian.
Bahkan agama Islam sendiri telah dikembangkan oleh Nabi Junjungan
kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan penuh kesopanan serta
membuat hubungan yang baik lagi mesra dengan semua umat manusia, baik
orang-orang Islam mahupun orang-orang bukan Islam.
Islam menganjurkan kita bersatu dan menjaga keselamatan sesama
manusia, orang Islam dan bukan Islam.
Hakikatnya Islam adalah agama yang penuh dengan nilai-nilai suci, penuh
dengan rahmat dan belas kasihan, maka kerana itulah Islam tidak akan sekali-kali
membenarkan umatnya melakukan keganasan dan kekejaman.
Ini adalah bertujuan supaya keselamatan dan kesejahteraan umat
manusia akan sentiasa terpelihara. Malahan
barangsiapa yang melakukan tindakan yang melampau batas akan dikenakan
hukuman walaupun ianya dilakukan terhadap orang-orang bukan Islam.
Inilah ciri-ciri keistimewaan ajaran Islam yang sentiasa memikirkan
keadaan umatnya supaya dapat hidup dimuka bumi ini dengan damai.
Perkara ini jelas terbukti dari prinsip yang diamalkan dalam Islam
iaitu untuk tidak melakukan pembunuhan ke atas sesiapa jua dengan
sewenang-wenangnya sehinggakan membunuh diri sendiri pun diharamkan.
Islam agama kasih sayang yang amat menitik beratkan keadilan dan kerana
itulah juga ketika peperangan berlaku Islam mengharamkan pembunuhan ke atas
kanak-kanak, wanita, orang-orang tua, orang-orang sakit, orang yang sedang
melakukan ibadat, orang yang tidak ikut berperang serta tawanan perang. Bahkan perbuatan memusnahkan harta benda, tanaman dan
membunuh binatang ternakan juga adalah ditegah.
Inilah bukti betapa Islam tidak membenarkan kezaliman berlaku.
Inilah juga nilai mulia yang tinggi yang diamalkan dalam Islam.
Iaitu dengan mengamalkan sikap sabar, bertimbang rasa, kawal diri,
tidak menganiaya dan bersikap adil maka dengan sedemikian ini akan dapat
mengetepikan seseorang itu dari bersikap ganas, keras hati dan suka berbuat
zalim serta kemusnahan di muka bumi. Disinilah
cahaya dan manisnya aturan
dalam ajaran Islam tersebut. Agama
menyatupadukan seluruh umat. Agama
harmoni yang mencintai keadilan dan keamanan. Ahli
Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya Agama Islam telah menetapkan satu undang-undang untuk memupuk
hubungan yang baik sesama manusia, walaupun berlainan agama.
Iaitu melalui perpaduan, kerana perpaduan amat penting dalam
kehidupan kita dalam sebuah masyarakat, negara dan seterusnya bagi umat
sejagat. Ini kerana hanya
dengan cara tersebut sahajalah yang dapat melahirkan umat yang kuat, saling
berganding bahu serta pemedulian, maka perdamaian tentu saja akan dapat
dicapai dan permusuhan akan dapat dihindarkan.
Dengan perpaduan keindahan persaudaran dapat kita saksikan di dalam sebuah
masyarakat. Begitu juga dengan
perpaduan dapat menjamin kehidupaan yang harmoni dan aman.
Sekaligus mengelakkan berlakunya permusuhan, perpecahan dan tindakan
buruk sesama manusia. Dengan
perpaduan, manusia akan membuat pembangunan masyarakat yang membawa kemajuan
negara. Seterusnya dengan
perpaduan yang lebih global di peringkat antarabangsa akan mencetuskan
hubungan kenegaraan untuk membina tamadun umat.
Perpaduan hanya akan terbentuk dengan jayanya jika semua umat bekerjasama
serta memberi komitmen yang bersungguh-sungguh supaya cita-cita untuk
kemakmuran sejagat dapat dinikmati bersama.
Patisipasinya tidak hanya terbatas di kalangan umat Islam sahaja,
bahkan juga di kalangan umat bukan Islam.
Inilah yang diamalkan dinegara kita di mana perpaduan rakyat dapat
dikecapi walaupun terdapat berbilang bangsa dari pelbagai agama.
Hakikatnya kita boleh bersatupadu tidak kira apa pun agama yang
mereka anuti. Ini kerana konsep
Islam ini sendiri yang menyarankan kita supaya mempunyai hubungan yang baik
dengan cara bertolak ansur, saling hormat menghormati dan saling bantu
membantu sesama kita.
Diharap dengan kesedaran kita terhadap pentingnya ikatan yang kukuh di dalam
sesebuah masyarakat dapat membantu kita untuk membina sebuah negara yang
kuat dan mantap samada dari sudut kerukunan rakyatnya, kestabilan ekonomi,
kekebalan pertahanan bersandarkan kepada semangat perpaduan semua.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hujuraat ayat 13:
Tafsirannya: “Wahai
Umat manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain.
Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih
takwanya diantara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya.
Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya
akan keadaan dan amalan kamu”.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||