Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

18 Syaaban 1423/25 Oktober 2002

BELIA

 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

         Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan terus menerus mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala apa-apa jua larangannya, mudah-mudahan kita tergolong menjadi hamba-hambanya yang benar-benar beriman dan bertakwa.

         Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan Al-Baihaqi daripada ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma
Maksudnya: “Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara, masa engkau hidup sebelum mati, masa engkau sihat sebelum sakit, masa engkau lapang sebelum sibuk, masa engkau muda belia sebelum tua dan masa engkau kaya sebelum miskin.

         Hadith yang baru dibacakan tadi menjelaskan mengenai pentingnya bagi kita umat Islam merebut lima perkara yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu:  Masa hidup, masa sihat, masa lapang, masa muda dan masa kaya.

         Sebelum datang lima perkara yang lain iaitu: masa mati, masa sakit, masa sibuk, masa tua dan masa miskin.

         Apa yang menarik perhatian dalam hadith ini ialah “Masa Muda Belia” ini menunjukkan dan membuktikan betapa tingginya pandangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap kedudukan belia dan ini dapat kita fahamkan bahawa kedudukan belia dalam sejarah kehidupan manusia adalah termasuk suatu perkara yang tidak boleh diabaikan.

         Belia merupakan generasi harapan dalam membangun umat, merekalah yang akan mengambil alih tugas generasi tua untuk memimpin bangsa dan umat pada masa akan datang.  Peranan mereka penting dalam kehidupan masyarakat kerana watak dan buah fikiran mereka amat diperlukan untuk membangun sesebuah negara.  Kemajuan sesebuah negara memerlukan belia yang cergas dan berpendidikan.

         Siapakah dia belia Islam itu?  Belia Islam ialah mereka yang mempunyai citarasa dalam meniti kehidupan yang lurus dan kekal berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak melibatkan diri atau terpengaruh dengan kehidupan anti sosial serta menjauhi diri dari perkara yagn dilarang.

         Belia Islam seharusnya mempunyai akhlak yang mulia untuk menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.  Bersifat siddek yakni benar, bertakwa, adil, bersanggupan menyebarkan dakwah islamiah, fatanah yakni pintar atau bijaksana dan lain-lain sifat mulia yang disebutkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. 

         Di dalam Al-Quran dan sejarah Islam banyak cerita teladan Belia Islam yang harus kita contohi.  Umpamanya keperibadian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.  Allah Subhanahu Wataala sendiri mengakui  pada diri Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam  itu terdapat banyak contoh tauladan yang baik untuk diikuti.  Antara sifat yang terdapat dalam peribadi Baginda ialah amanah, benar. bijaksana, bersopan santun, berbudi bahasa, cerdik, lemah lembut, menjauhi dari perkelahian, suka menolong dan membantu.  Begitu juga dengan pakaian dan rambut baginda sentiasa bersih dan kemas.  Baginda diberi gelaran Al-Amin yang bermaksud yang boleh dipercayai.

         Jelaslah diusia remaja baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bolehlah dijadikan modal kepada seluruh umat Islam malah umat manusia sejagat samada dari sudut akhlak, mu’amalah, mahupun sahsiah.

         Allah Subhanahu Wataala menjadikan modal akhlak, perilaku, perbuatan, perkataan, keperibadian baginda semata-mata agar umatnya mengikut dan meniru cara serta gaya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dikenali sebagai As-sunnah.  

         Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Ahzab ayat 21: Tafsirannya: “ Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu terdapat contoh tauladan yang amat baik.  Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat  serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.”  

         Begitu juga para sahabat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Saiyidina Abu Bakar As-Siddek, Saiyidina Umar Al-Khattab, Saiyidina Othman bin Affan, Saiyidina Ali bin Abi Talib Radiallahu Anhum Ajmain dan ramai lagi semuanya mereka adalah anak belia teladan.  

         Mereka boleh dijadikan contoh belia dalam Islam dan mempunyai keperibadian yang kuat, setia kepada kawan dan beriman  kepada kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mereka mendapat kemuliaan, serta kebanggaan.  

Ahli Jumaat yang diberkati Allah.

         Belia merupakan aset yang amat penting dan berharga kepada sesebuah negara.  Bagi kita belia yang kita idam-idamkan ialah belia yang dapat memperkasa bangsa, mencintai negara dan memertabatkan agama selari dengan falsafah negara Melayu Islam Beraja.  

         Menyedari akan pentingnya belia negara ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah pun melancarkan dasar belia negara.  Dasar ini telah mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Untuk dilaksanakan;  baginda secara khusus mengisytiharkan dasar belia negara ini pada 15 Julai 2002 di Istana Nurul Iman, sempena hari keputeraan Baginda yang ke 56 tahun.  

         Dengan adanya dasar belia negera ini, ianya dapatlah dijadikan sebagai garis pandu semua pihak yang terlibat dalam pembangunan belia.  Dasar belia negara yang berteraskan nilai-nilai dan kepercayaan yang terkandung dalam perlembagaan negara dan falsafah negara Melayu Islam Beraja dan akan dapat membantu serta memperkasa program-program yang menjurus kepada pembinaan imej baru belia iaitu mengwujudkan belia Brunei cemerlang.  Kecemerlangan yang dimaksudkan ialah belia-belia yang beriman, berakhlak tinggi, berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, patriotik, berdaya saing, berdaya maju dan berbudi mulia dan semangat saling bekerjsama dengan gigih.

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,  

         Belia yang cemerlang ialah belia yang memiliki daya tahan yang kuat untuk berdepan dengan segala cabaran dan dugaan.  Beberapa panduan yang boleh diamalkan oleh para belia sebagai benteng yang paling kukuh dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini iaitu:  

-                     Memelihara ibadat sembahyang.

-                     Berdamping dengan Al-Quran.

-                     Memperbanyakkan zikir.

-                     Pandai memilih kawan.

-                     Mendekati Masjid.

-                     Dan Berdoa.

         Kerana itu adalah amat penting bagi belia-belia Islam supaya berusaha pada membentuk keperibadian diri berdasarkan ajaran-ajaran Islam yang sebenar.  Dan adalah perlu supaya mereka mengetahui benar-benar akan ajaran-ajaran Islam dan kesucian Islam dan sanggup pula mempertahankan kesucian itu.

         Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kahfi ayat 13, Maksudnya:  “ Kami ceritakan kisah mereka kepada Mu (Muhammad) dengan sebenarnya.  Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

 

 



|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||