![]() |
||
![]()
|
25 Syaaban 1423/1 November 2002
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala
larangannya, mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Muslimin
mukminin yang dikasihi,
Agama Islam menganjurkan supaya kita membina hubungan baik sesama manusia
atau masyarakat, di samping membina hubungan baik dengan Allah Subhanahu
Wataala, kepada Allah Subhanahu Wataala kita beribadat dan kita mematuhi
suruhan-suruhannya, manakala kepada masyarakat pula kita laksanakan
kewajipan-kewajipan dan hak-hak mereka. Di antara kewajipan dan hak-hak yang perlu kita laksanakan
itu ialah melakukan amal-amal yang bersifat kemasyarakatan seperti
bersedekah, bermurah hati, ringan tangan, menghulurkan bantuan atau
pertolongan. Perbuatan-perbuatan
sedemikian amat ditekankan oleh agama Islam untuk kita kerjakan dan
bukan hanya menjadi budaya atau tradisi dalam masyarakat, bahkan ia adalah
tuntutan sebenar disisi agama Islam. Kita
perlu menanamkan dalam diri kita sifat-sifat penyayang, prihatin atau
simpati, belas kasihan dan sebagainya.
Kerana demikian itu menjadi asas atau pokok kepada pembinaan hidup
yang sejahtera, bersatu padu dan bersaudara.
Agama Islam memandang berat tentang kehidupan yang aman, kasih mengasihi,
justeru itu, anjuran dan galakan bersedekah merupakan latihan jiwa atau
rohani agar diri seseorang muslim itu mempunyai perasaan halus dan
sentiasa mengucapkan syukur atas nikmat-nikmat yang diberikan oleh
Allah Subhanahu Wataala.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 10
Tafsirannya: “Sesungguhnya
orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua
saudara mu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.
Dalam ayat tadi menegaskan setiap orang beriman adalah bersaudara
dengan mukmin yang lain iaitu persaudaraan yang diikat oleh tali akidah
dalam keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala serta rukun Iman yang lain.
Bukan ikatan yang meliputi batas keturunan, pangkat, darjat, bangsa
dan suku bangsa, warna kulit dan kedudukan.
Demikianlah persaudaraan sejagat yang dianjurkan oleh Agama Islam, yang
tidak mengenal batas negeri dan negara, tidak mengenal perbezaan bahasa,
pertuturan dan adat budaya. Semuanya
berpadu dalam kepercayaan dan pegangan, Tuhan hanya satu iaitu Allah
Subhanahu Wataala dan Rasulullah yang terakhir hanya satu iaitu Nabi
Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Kiblat juga satu iaitu Kaabah Allah di
Mekah, Kitab pegangan satu iaitu Al-Quran Al-Karim.
Di atas dasar persaudaraan itu, maka kewajipan seorang saudara terhadap
saudaranya adalah tidak suka dan tidak senang jika melihat saudaranya
ditimpa kemudaratan, malah ia wajib menolak, menolong dan menjaganya.
Seandainya mereka menderita sakit, maka ia turut merasai penderitaan
itu, turut berdukacita dengan apa yang dialaminya.
Sebagaimana yang digambarkan dalam hadith Baginda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam ini:
Yang bermaksud: “Perbandingan
orang Islam dalam hal kemesraan dan kasih sayang di antara mereka bagaikan
sebatang tubuh yang satu, apabila ia mengadu sakit salah satu anggotanya,
turut menderita seluruhnya anggota badan yang lain dengan berjaga malam dan
demam”.
Demikianlah cantik dan indahnya ajaran Islam itu, apabila konsep
persaudaraan seperti yang disarankan itu kita amalkan Insya-Allah kita akan
beroleh bahagia dan sejahtera, perpaduan umat Islam akan wujud, bahkan
kekuatan umat akan terserlah kepada musuh-musuhnya. Ahli
jumaat sekalian.
Islam menegaskan bahawa kasih mengasihi dan cinta mencintai antara satu sama
lain boleh dipertingkatkan melalui sedekah, usaha tersebut akan mengeratkan
hubungan persaudaraan dan persahabatan antara satu golongan dengan golongan
yang lain yang merupakan lambang kasih sayang sesama golongan tersebut.
Patut kita sedar bahawa segala harta yang kita miliki itu adalah milik Allah
Subhanahu Wataala, kita hanya diberi peluang untuk meminjam buat sementara
waktu, jadi kikislah dari dalam diri kita sifat-sifat yang tidak baik
seperti rakus, tamak, kedekut atau bakhil, harta tidak patut dibolot atau
dimonopoli oleh satu golongan sahaja. Kekayaan
atau harta yang melimpah ruah itu wajar disalurkan pada jalan-jalan lurus,
diagih-agihkan kepada orang-orang yang memerlukan, bukan sekadar memenuhi
keperluan dan kepentingan diri sendiri sahaja bagi memuaskan hawa nafsu.
Ada setengah kita menganggap bahawa bermurah hati itu dapat mengurangi
kekayaan dan akan mendatangkan kerugian serta membuat orang menjadi miskin,
anggapan dan pendapat ini adalah salah dan tidak betul.
Itu hanya bisikan syaitan yang menghasut dan menggoda manusia agar
berlaku kikir, bakhil dan takut untuk bersedekah, hakikatnya murah hati
adalah jalan atau pintu kelapangan rezeki yang membawa kepada keberkatan dan
pertambahan harta benda.
Orang yang bermurah hati, orang yang suka membelanjakan harta samada untuk
bersedekah, beramal jariah mahu pun kepentingan-kepentingan umum yang lain,
maka mereka adalah dalam naungan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala,
baik diwaktu senang mahu pun
diwaktu susah. Sebaliknya
kepada yang mengeluarkan hartanya untuk kepentingan peribadi dan bukan untuk
kepentingan umum, mereka tidak diberi pahala kecuali hilang hartanya.
Allah Subhanahu Wataala menjanjikan kepada orang-orang yang membelanjakan
hartanya untuk keredhaan Allah Subhanahu Wataala akan mendapat ganjaran
pahala yang besar, mendapat rahmat Allah, dianugerahkan kemewahan harta dan
kesenangan, diberikan kesihatan keafiatan dan ketakwaan.
Diberikan taufik untuk ketaatan dan kebenaran memiliki hati yang
riang, gembira, tiada keresahan dan kegelisahan, insya-Allah.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hadiid ayat 7:- Tafsirannya:
“Berimanlah
kamu kepada Allah dan Rasulnya dan belanjakanlah pada jalan kebajikan
sebahagian dari harta benda pemberian Allah yang dijadikannya kamu
menguasainya sebagai wakil. Maka
orang-orang yang beriman diantara kamu serta mereka membelanjakan sebahagian
dari harta itu pada jalan Allah. Mereka
tetap beroleh pahala yang besar.
Sabda
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Maksudnya:
“ Sesungguhnya hamba itu apabila dia bersedekah daripada hartanya
yang baik, Allah akan menerimanya. Dia
akan mengambilnya dengan tangan kanannya, dia akan memeliharanya sebagaimana
seseorang kamu memelihara anak kuda atau anak untanya, sesungguhnya seorang
yang bersedekah sesuap makannya dia akan membesar ditangan Allah (atau)
ditapak tangan Allah sehingga sebesar bukit, oleh itu hendaklah kamu
bersedekah”.
Dalam hubungan ini Negara Brunei Darussalam telah menyediakan dan
menempatkan tabung-tabung kemanusiaan Rakyat Palestin di Masjid-Masjid,
Surau-Surau dan Balai-Balai Ibadat serta tidak ketinggalan di semua Bank,
pusat-pusat perniagaan seluruh negara semata-mata untuk memberikan bantuan
kepada mereka yang memerlukan itu dengan menyumbangkan derma atau sedekah
seangkat-angkat hati dari seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.
Dan sebagai satu usaha diatas rasa tanggungjawab dan perikemanusiaan
untuk memberikan bantuan kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan, bagi
meringankan bebanan dan kesengsaraan yang sedang dialami oleh mereka. Ketahuilah bahawa setiap sumbangan itu samada banyak atau
sedikit akan mendapat pahala yang berlipat ganda dari Allah Subhanahu
Wataala dan menambahkan keberkatan dalam kehidupan kita dan menghindarkan
dari musibah.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hadiid ayat 11, Tafsirannya:
“Siapakah
orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang
baik (ikhlas) supaya Allah melihat gandakan balasan? dan selain itu ia akan
beroleh pahala yang besar”.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||