![]() |
||
![]()
|
15 Syawal 1423/20 Disember 2002 Muslimin
yang diberkati Allah, Marilah
kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala
dengan sebenar-benar takwa, dengan melaksanakan segala suruhannya dan
meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan
kita selamat dan berbahagia di dunia dan di akhirat. Muslimin
yang dirahmati Allah,
Iman adalah milik rohani manusia yang tidak ternilai harganya, tinggi
atau rendahnya martabat seseorang manusia di sisi Allah Subhanahu Wataala
adalah ditentukan oleh kadar Iman yang ada pada diri masing-masing.
Sesiapa yang paling kuat dan sempurna imannya, maka dialah yang
paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
Keimanan yang kuat itu amat mahal harganya, ia tidak mungkin
diperolehi begitu sahaja tanpa berhadapan dengan perjuangan yang sukar
kerana biasanya Allah akan menguji manusia dengan berbagai-bagai ujian dan
cubaan hidup, untuk melihat dengan jelas hasil daripada ujian tersebut mutu
iman setiap manusia.
Sesungguhnya dalam hidup ini kita tidak dapat lari atau dipisahkan
daripada beberapa ujian terutama sekali bagi mereka yang sentiasa mengejar
kejayaan dan berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan.
Amat kelirulah sangkaan sesetengah manusia yang mengira bahawa hidup
ini hanya senang dan mudah semata-mata, suka dan bahagia selalu atau
sebaliknya hanya menganggap hidup
ini penuh duka nestapa, padahal sesungguhnya setiap bahagia dan sengsara,
untung dan rugi, sihat dan sakit itu dan segala macam kejadian yang menimpa
seseorang manusia itu adalah seri hidup yang sudah menjadi sunnatullah,
kerana ujian itu adalah sebagai ukuran terhadap usaha dan iman seseorang,
samada ia berjaya atau tidak, maka adalah terletak pada sejauh
mana kemampuannya menghadapi ujian-ujian tersebut.
Proses ini juga berlaku pada iman dan takwa seseorang
kepada Allah Subhanahu Wataala.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Ankabuut ayat 1 hingga 3 :- Tafsirannya:
Alif Lam Mim, apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan
sahaja mengatakan: Kami telah
beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? dan sesungguhnya kami telah menguji
orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang
berdusta. Muslimin
yang diberkati Allah,
Ayat yang baru dibacakan tadi telah memberikan pengertian yang besar
kepada kita semua bahawa kehidupan manusia itu ada hubungan dengan ujian dan
cubaan. Allah Subhanahu Wataala
menjelaskan di dalam ayat ini bahawa seseorang manusia itu adalah tidak
cukup dan tidak memadai dengan hanya membuat pengakuan lisan sahaja, dengan
berkata: Kami beriman
kepada Allah sedangkan mereka belum diuji oleh Allah Subhanahu
Wataala.
Ujian seperti ini pun telah Allah Subhanahu Wataala timpakan kepada
umat yang terdahulu daripada kita, iaitu umat yang telah dipimpin oleh para
Rasul dan Ambia, sebelum daripada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Maka hasil daripada ujian itu Allah Subhanahu Wataala telah dapat
mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepadanya dan siapakah pula
yang mendustakannya. Haruslah
diketahui bahawa ujian yang diberikan kepada kita bukan hanya dalam bentuk
kesusahan atau dalam bentuk kesakitan sahaja, malah juga dalam bentuk
kemewahan, kekayaan dan juga dalam bentuk kedudukan dan pangkat yang tinggi.
Ujian yang merupakan kesusahan dan kesakitan adalah merupakan ujian
yang ringan sahaja, kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk
menguji kesabaran dan kerelaan kita menerima qada dan qadar Allah
Subhanahu Wataala dan apabila telah ternyata kesabaran kita dan kita rela
menerima qada dan qadar Allah Subhanahu Wataala itu, maka Allah Subhanahu
Wataala akan mengurniakan pahala dan seterusnya menghapuskan dosa-dosa atau
mempertingkatkan darjat kita sehingga ujian itu menjadi nikmat dan kurniaan
yang besar dari Allah kepada hamba Nya. Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud; Setiap orang
Islam yang ditimpa bencana samada yang terkena duri atau lebih berat
daripada itu, maka itu adalah semata-mata ujian, kerana Allah Subhanahu
Wataala akan hapuskan perbuatan kejahatan dan menggugurkan dosa-dosanya
sebagaimana pokok kayu menggugurkan daun-daunnya.
- Riwayat
Bukhari dan Muslim. Muslimin
yang dirahmati Allah,
Adapun ujian Allah Subhanahu Wataala melalui nikmat kesenangan dan
kekayaan serta pangkat kebesaran pula adalah lebih berat daripada ujian
kesusahan dan kesakitan kerana berapa banyak umat Islam didunia ini yang
gagal dalam ujian tersebut. Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud, Sesungguhnya
bagi umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umat Ku adalah harta kekayaan.
Dari
hadith itu jelas kepada kita bahawa ujian terbesar kepada umat Nabi Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam adalah ujian berupa harta benda dan kekayaan.
Dengan harta benda dan kekayaanlah yang menyebabkan sebahagian di
antara kita yang tergelincir daripada prinsip dan ajaran Islam serta tidak
dapat mempertahankan diri sebagai muslim yang bermaruah tinggi dan maruah
mulia.
Oleh yang demikian marilah kita sama-sama berfikir dan mengkaji
perjalanan hidup kita untuk menuju kepada corak kehidupan yang lebih
sempurna dan bersedia untuk menerima ujian-ujian Allah semata-mata untuk
mempertingkatkan keimanan kita sebagai seorang hamba Allah yang ikhlas
terhadap segala perbuatan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan demi
kekuatan hidup kita di dunia dan di akhirat. Firman
Allah Subhanahu Wataala surah Al-Alaq ayat 6 hingga 8: Tafsirannya; Ketahuilah sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup, sesungguhnya hanya kepada TuhanMu lah tempat kembali Mu.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||