![]() |
||
![]()
|
22 Syawal 1423/27 Disember 2002 MEMBERSIHKAN JIWA
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala, takwa dalam erti kata menjalankan segala perintah dan suruhannya, serta meninggalkan segala apa yang dilarangnya, semoga kita mendapat rahmat dari Allah Subhanahu Wataala didunia dan juga diakhirat. Muslimin yang berbahagia, Sebagai hamba Allah, kita hendaklah memastikan bahawa keadaan kehidupan seharian kita adalah sentiasa berada didalam pengawasan Allah Subhanahu Wataala. Dengan demikian, maka akan lahirlah dalam diri kita bahawa segala lintasan hati, gerakan lidah dan kelakuan perbuatan kita menuju kearah keredhaan Allah dan keampunannya. Tiada yang ditakuti dalam kehidupan ini melainkan Allah Subhanahu Wataala sahaja. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang makan makanan yang baik dan beramal mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta menyelamatkan manusia dari perkara-perkara yang tidak diingati oleh mereka nescaya dia akan memasuki syurga”. Allah Subhanahu Wataala dan Rasul Nya telah menjelaskan bahawa pada umumnya terdapat beberapa faktor penting yang boleh membersihkan jiwa dan boleh memepertingkatkan seseorang itu ketaraf yang tinggi dan mulia disisi Allah Subhanahu Wataala dan manusia iaitu:- Pertama: Mempastikan hubungannya dengan Allah Subhanahu Wataala sentiasa didalam keadaan baik dan terpelihara, sesungguhnya bagi mereka yang memutuskan hubungan dengan Allah, maka mereka akan ditimpa kehinaan, kerugian dan hidup didalam keadaan keluh kesah. Kedua: Mempastikan segala barang yang masuk kedalam tubuh badan mereka itu bersih dan halal iaitu samada makanan, minuman dan lain-lainnya. Yang dimaksudkan dengan makan makanan yang baik itu ialah mempastikan bahawa zat barang makanan tersebut itu adalah halal dan tidak memudaratkan, juga mempastikan bahawa sumber pendapatan dan cara mendapatkannya adalah dari cara yang halal dan tidak haram. Dari itu jelaslah kepada kita bahawa setiap muslim, mestilah berusaha dan berhati-hati agar kita tidak terlibat didalam kegiatan-kegiatan haram seperti rasuah, penipuan, putar belit, curi, penyelewengan dan sebagainya. Firman Allah Subhanahu Wataala didalam surat An-Nisaa’ayat 29: Tafsirnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama Mu dengan jalan bathil (salah), kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka diantara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri, sesungguhnya Allah adalah maha penyayang kepada Mu”. Ketiga: Berusaha mengikut dan mengamalkan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam didalam kita mengharungi kehidupan. Didalam keadaan kehidupan kita yang amat mencabar ini, maka hendaklah kita sebagai seorang muslim sentiasa mempastikan bahawa kehidupan dan cara hidup kita mengikut dan berpegang teguh kepada Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kerana dengan cara ini sahaja kita boleh selamat didunia dan diakhirat. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Maksudnya:- “Barangsiapa yang berpegang dengan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam masuklah ia kedalam Syurga”. Riwayat Ad-Daruqutni. Umat Islam sekali-kali tidaklah boleh membelakangi atau meninggalkan atau menentang hukum-hukum hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam samada dengan alasan atau pun sebaliknya. Oleh itu barangsiapa yang menolak atau tidak mempercayai dan tidak memperakui hadith (Sunnah) Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai perundangan Islam bererti mereka tidak beriman kepada Allah dan Rasul Nya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Fat-h, ayat 13 Tafsirnya: “Dan barangsiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul Nya maka sesungguhnya kami menyediakan untuk orang-orang kafir neraka yang bernyala-nyala”. Keempat: Mempastikan segala hubungan sesama manusia dan makhluk lain didalam keadaan yang baik dan terpelihara. Iaitu semua umat Islam hendaklah mengelakkan diri dari melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan perpecahan sesama Islam dan sebaliknya mereka mestilah sekata, seiring dan sejalan dalam segenap usaha untuk memelihara dan membangunkan umat. Muslimin yang dirahmati Allah, Manusia mempunyai sifat-sifat semula jadi yang berbagai rupa dan berbagai ragam dan dari sifat-sifat yang berlainan itu, maka lahirlah keinginan yang bermacam-macam dan tindak tanduk dalam hidupnya yang berbagai-bagai ragam dan corak. Maka sekiranya tindak tanduk manusia itu tidak dibentuk dan dikawal dengan sebaik-baiknya mengikut kehendak dan ajaran Allah Subhanahu Wataala dan Rasul Nya, maka akan jadilah manusia itu seperti kapas yang ditiup angin tanpa haluan dan tujuan. Disamping itu ia akan menghadapi berbagai-bagai masalah hidup yang sukar dicari jalan penyelesian. Manusia yang berpaling ingkar dari ajaran Allah Subhanahu Wataala, maka ia akan mengalami kehidupan yang sempit didalam dunia, resah gelisah dan tidak tenteram serta jiwanya akan menderita. Dan diakhirat pula ia akan dihimpunkan bersama-sama orang-orang yang sesat didalam keadaan buta. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Thaahaa’ ayat 124: Tafsirnya: “Dan siapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||