syawal_1.htm![]() |
||
![]()
|
29 Syawal 1423/3 Januari 2003 BERJIMAT CERMAT
Marilah
kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala
dengan sebenar-benar takwa. Kita
laksanakan segala titah perintahnya dan menjauhi segala larangannya dan
tegahannya. Hanya dengan bertakwa sahajalah yang dapat menjamin akhir hayat
kita sebagai seorang muslim yang diredhai Allah Subhanahu Wataala. Islam
sangat memandang berat terhadap soal berjimat cermat kerana ia menjadi asas
bagi kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara. Oleh itu, Islam mengharapkan setiap penganutnya supaya
berjimat cermat dalam segala bidang kehidupan dan keadaan. Berjimat cermat dalam belanja seharian, berjimat cermat dalam
membeli pakaian, berjimat cermat dalam menggunakan api elektrik dan air,
berjimat cermat ketika menggunakan kemudahan-kemudahan awam dan sebagainya. Kaum
Muslimin sekalian, Islam
melarang umatnya membazir kerana ia merupakan perbuatan keji dari pekerjaan
syaitan. Sesungguhnya syaitan
amat suka kepada orang yang boros dan membazir.
Pepatah melayu ada mengatakan “Beringat sebelum kena, berjimat
sebelum habis”. Syed
Qutb rahimahullahu-Taala Tafsirnya (Fi Dzilalil- Quran) menjelaskan bahawa
Ibnu Mashud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja
kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah
Subhanahu Wataala). Ini
bermakna walaupun sedikit
sekali yang kita belanjakan, jika bukan kepada tempatnya yang wajar, maka ia
tetap dikira sebagai membazir. Tidaklah
semestinya banyak atau sedikit itu semata-mata menjadi ukuran kepada
perkiraan membazir atau tidak membazir dalam sesuatu perbelanjaan, tetapi
keutamaan yang diambil kira ialah tempat
dan dimana ia dibelanjakan. Oleh
yang demikian maka konsep langkah berjimat cermat dan tidak membazir yang
sebenarnya kepada orang Islam itu ialah mengawal perbelanjaan supaya tidak
dikeluarkannya kepada perkara-perkara yang tidak diizinkan oleh syara’. Kalau ini tidak dijaga dan dicegahnya percayalah pembaziran
ini akan terus berlaku, dan langkah ke arah jimat cermat yang diharapkan itu
tidak akan memberikan apa-apa erti lagi. Ahli jumaat
sekalian, Budaya
berbelanja mewah semakin menjadi-jadi sebahagian daripada kalangan kita hari
ini. Ia menjadi satu budaya
yang mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung gaya hidup masyarakat.
Ia bukan sahaja menyerang golongan yang berpendapatan tinggi tetapi
juga kepada golongan yang berpendapatan rendah sehingga berbelanja secara
berlebih-lebihan di luar kemampuan mereka, semata-mata untuk meniru gaya
hidup mewah yang dianggap sebagai suatu kemestian dan lambang kebanggaan.
Mereka sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mengadakan
acara-acara tertentu secara besar-besaran dengan melakukan pembaziran wang,
lalu mereka lupa sehingga perbelanjaannya menanggung hutang yang banyak dan
berada di luar batasan normal. Oleh
yang demikian ukuran perbelanjaan dalam Islam ialah kesederhanaan kerana
kesederhanaan itulah panduan yang membataskan antara keperluan hakiki dan
pembaziran dan di antara kemurahan hati dan kebakhilan. Sebagaimana
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Furqaan ayat 67:- Tafsirnya:
“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka
tidak berlebihan, dan tidak pula bakhil (kedekut), dan adalah pembelanjaan
itu di tengah-tengah antara yang demikian”. Kaum
muslimin yang berbahagia, Sesungguhnya
berlebih-lebihan dalam pembaziran itu ada banyak perkaranya dan banyak pula
caranya. Bukanlah semata-mata
terhadap wang dan harta sahaja. Lebih
dari itu pembaziran dalam penggunaan masa dan umur kita, menggunakan bahan
dan alat tenaga dan sebagainya, juga merupakan pembaziran yang perlu diambil
perhatian Menggunakan sesuatu melebihi batas keperluan seharian kita adalah membazir. Lebih menggunakan air sahaja sehingga ketahap yang sia-sia dan tidak menghargai serta tidak menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan sebagainya, semua bentuk ini dijauhi kerana ia amat merugikan begitu juga dalam permakanan. Memasak makanan yang berlebihan dan tidak habis dimakan sehinggakan terbuang begitu sahaja. Semua ini adalah dari tunjuk ajar syaitan yang memang menghasut kita sehingga membazir, yang mana tidak seharusnya menjadi kelakuan muslim sejati. Akhirnya,
dengan kedatangan tahun 2003 masehi yang baharu kita lalui ini marilah kita
merancang dan berazam untuk berjimat cermat semoga Allah Subhanahu Wataala
memberkati kehidupan kita.
Harta yang kita miliki sebenarnya hak Allah Subhanahu Wataala yang
dipinjamkan ke atas kita, dan kita hanyalah sebagai “Pengurus”
yang pastinya akan ditanya dari mana harta yang kita perolehi dan kemanakah
kita membelanjakan harta tersebut. Janganlah
kita menganggap harta yang dimiliki itu sebagai milik mutlak kita dan kerana
itu kita berbelanja sesuka hati, apatah lagi membelanjakan harta tersebut
dalam perkara-perkara maksiat dan kemungkaran. Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam
surah Al-Israa” ayat 26 – 27, Tafsirnya:
“Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga Mu yang dekat, orang
miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing.
Dan janganlah engkau membelanjakan harta Mu dengan boros dan melampau.
Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan dan syaitan
itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan Nya”.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||