syawal_1.htm![]() |
||
![]()
|
8 Syawal 1423/13 Disember 2002 HATI Saudara muslimin yang dirahmati Allah, Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya semoga kita tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang soleh dan dikasihi. Saudara muslimin yang berbahagia, Kebersihan amatlah dituntut dalam Islam. Kebersihan itu juga bukan sahaja berbentuk zahir bahkan meliputi kebersihan batin. Kebersihan batin itu ialah membersihkan jiwa dari kesan-kesan dosa dan perbuatan-perbuatan maksiat iaitu dengan cara bertaubat dan membersihkan hati dari akhlak-akhlak yang tercela seperti hasad dengki, tipu daya, berperasaan dendam, takbur, riya’, ‘ujub, syirik dan seumpamanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim :- Maksudnya : Kesucian hati daripada sifat keji itu adalah setengah daripada iman. Untuk membersihkan hati kita perlulah menjauhi segala penyakit-penyakit hati. Berdasarkan hadis itu tadi Al-Imam Al-Ghazali berkata : “bahawa iman yang sempurna itu adalah menyucikan hati daripada sifat-sifat keji dan menanamkan dalam hati segala sifat-sifat yang terpuji”. Diantara penyakit-penyakit hati yang keji itu ialah berperasaan hasad dengki, sifat riya’, ‘ujub, takbur, terlalu banyak cakap, terlalu banyak makan, pemarah, bakhil dan kasihkan dunia. Perlu kita ingat, musuh dalam diri manusia bukan hanya terdiri daripada kuman-kuman yang menyebabkan diri kita dijangkiti penyakit. Tetapi adalah musuh-musuh yang tidak nampak, tidak boleh dilihat oleh mata kita dan tidak dapat dilakukan dengan kajian saintifik untuk mengesannya. Allah Subhanahu Wataala telah menegaskan hal ini dalam Al-Quran Al-Karim untuk memperingatkan manusia tentang musuh dalam diri manusia yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Yusuf ayat 53 :- Tafsirnya : Kerana sesungguhnya nafsu itu terlalu menyuruh kepada kejahatan. Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Jika hati sudah dikuasai, sudah ditawan maka manusia tidak lagi ikut perintah Allah Subhanahu Wataala dan rasulNya tetapi akan mengikut apa sahaja kehendak nafsu syaitan. Nafsu syaitan mahu mencorakkan hati-hati manusia dengan sifat-sifat jahat, sifat-sifat mazmumah. Bila segala sifat mazmumah sudah bertapak pada hati manusia maka syaitan akan memperalatkan nafsu melakukan apa sahaja yang disukainya. Maka akan timbullah segala penyakit-penyakit hati. Untuk itu kita mestilah mujahadah diri kita, kita kuatkan iman kita, kita lawan serangan nafsu dan kehendak syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk menderhakai Allah Subhanahu Wataala. Kecekapan nafsu, persediaannya, kesungguhannya, kejahatan dan tipu daya itu berpuluh-puluh kali ganda lengkapnya dari peperangan senjata. Nafsu tidak tidur atau lena untuk membuatkan kita sentiasa lalai dan leka. Kelebihan orang yang takut kepada Allah Subhanahu Wataala Insya Allah, Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan petunjuk hidayah kepadanya iaitu akan mendapat pimpinan dan bimbingan daripada Allah Subhanahu Wataala sehingga ia mendapat kemudahan dalam melakukan amal ibadat. Bersifat takut kepada Allah Subhanahu Wataala ini juga menjadikan seseorang itu akan sentiasa mentaati Allah dan akan memperolehi rahmat daripadanya. Apabila kita nilai, kita hitung segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada para hambaNya pasti kita sebagai hambaNya tidak akan ternilai dan tidak terhitung akan kebesaran dan keagunganNya. Betapa banyak nikmat-nikmat yang Allah limpahkan kepada hamba-hambaNya. Untuk kita bersihkan batin kita dengan mensyukuri segala nikmat Allah Subhanahu Wataala berikan itu. Kita hindari segala kemungkaran dan dosa. Inilah kebersihan hakiki yang bakal membawa para pelakunya keuntungan di dunia dan di akhirat. Perlu kita jaga kebersihan zahir dan batin ini, jika zahir sahaja yang bersih namun penyakit hati masih bersarang dalam diri, maka belumlah sempurna kebersihan itu, mudah-mudahan segala usaha untuk membersihkan zahir dan batin itu akan mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wataala dan mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala akan menjauhkan dan menghindarkan segala hasutan nafsu dan syaitan daripada hamba-hambaNya yang benar-benar beriman. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 222, Tafsirnya : Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri.
|
|
|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam
Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid
| Maklumbalas ||
|
||