syawal_1.htm

Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktor Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman web masjid-masjid
Teks khutbah
Maklum balas

KHUTBAH SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI SYAWAL 1423

Khutbah Hari Raya Aidilfitri Yang Pertama

        Segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, di atas segala nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada kita semua, dengan nikmat-nikmat itu kita sekali lagi dapat menyambut dan meraikan serta membesarkan kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang mubarak, yang amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia selepas kejayaan mengharungi sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Kini kita berada di bulan Syawal, bulan kemenangan selepas melalui ujian dan cubaan yang begitu sukar. Maka amat beruntunglah mereka yang berjaya melepasi ujian tersebut dengan penuh pengharapan yang tinggi dalam misi mencari keredhaan Allah Subhanahu Wataala. Semuanya ini adalah untuk mempertingkatkan ketakwaan kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menegaskan dalam Al-Quran bahawa difardhukan puasa itu adalah untuk meningkatkan ketakwaan kita.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 :-

Tafsirnya :

       “Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa”.

      Puasa adalah satu proses pemulihan atau Tarbiyah kepada diri setiap Muslim, juga berperanan untuk mengembalikan keperibadian Muslim yang mungkin tercemar oleh dosa yang dilakukannya pada bulan-bulan sebelumnya. Bagi insan biasa tiada seorang pun dapat lari daripada kesilapan dan dosa kerana tidak dikurniakan sifat maksum seperti rasul-rasul. Maka dengan rahmat Allah Subhanahu Wataala, umat Islam dikurniakan Ramadhan yang menjadi medan mengembalikan kekuatan, memulihkan keperibadian dan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya. Jelaslah ibadat puasa itu adalah pemangkin keimanan dan ketakwaan.

         Hari raya pula adalah kemuncak kepada ibadat puasa yang menjadi pembersih zahir dan batin. Hari kemenangan bagi mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan, hari ibadat dan juga merupakan satu syiar. Dalam ibadat puasa dan Aidilfitri ini tersimpan banyak rahsia dan hikmat bagi mereka yang menghayati dan merasakannya.

 Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

         Ada dua perkara utama untuk dipenuhi oleh umat Islam dalam menyambut hari raya ini :-

 Pertama :- Untuk memulihkan hubungan dan mempertingkatkan tanggungjawab seseorang kepada Allah Subhanahu Wataala.

 Kedua :- Untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan seseorang dengan masyarakat.

         Dengan kita melaungkan takbir pada malam hari raya, dan kita memulakan hari raya kita dengan mendirikan sembahyang sunat hari raya, maka kita dapat memulihkan hubungan kita kepada Allah Subhanahu Wataala. Bila kita bermaafan, ziarah menziarahi dan bersilaturrahim, maka kita dapat memperbaiki hubungan kita dengan masyarakat.

         Begitulah indahnya hari raya orang-orang Islam, mereka meraikan dan menyambut hari raya itu dengan berkonsepkan ibadat, sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala iaitu hablun minallahi wa hablun minannas, hari untuk mempereratkan serta memperkukuhkan hubungan di antara makhluk dengan khaliq dan di antara makhluk dengan makhluk.

 Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

         Ajaran-ajaran agama Islam yang tinggi dan luhur itu sentiasa menyuruh penganut-penganutnya kepada kasih sayang, tolong menolong, tidak mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Islam tidak menjadikan umat Islam suatu umat yang melampau, bahkan menjadikan mereka berfikiran waras dan sentiasa bersifat sederhana dalam segala tindak tanduk kehidupan, mereka sentiasa ingat Allah Subhanahu Wataala, mereka mengatur kehidupan dengan penuh perhatian akan sebab dan akibat yang akan mereka dapati khususnya yang akan mereka temui di dalam alam yang kekal abadi nanti.

         Itulah dia agama Islam, Islam yang bererti selamat, sejahtera, aman dan damai. Konsep hari raya itu sendiri menunjukkan Islam itu bersatu iaitu bersatu antara hubungan makhluk dengan makhluk, orang Islam atau bukan Islam, ini bertujuan supaya keselamatan dan kesejahteraan umat manusia akan sentiasa terpelihara. Di sinilah cahaya dan manisnya aturan dalam ajaran Islam yang mencintai keadilan dan keamanan. Sekaligus mengelakkan berlakunya permusuhan, perpecahan dan tindakan buruk sesama manusia.

         Sejak akhir-akhir ini wujud pula golongan yang mengaitkan keganasan dengan Islam dan mengukuhkan dakwaan mereka bahawa ada surah tertentu dalam Al-Quran yang berkisar mengenai dengan peperangan. Ini adalah dakwaan yang salah. Kerana ajaran Islam itu sentiasa menyeru kepada kebajikan dan kesempurnaan hidup.

 Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

        Antara bukti menunjukkan agama Islam itu agama rahmat, keamanan dan kedamaian ialah : dengan kita mengimbas kembali sejarah perjuangan baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan kalimah Allah di bumi Mekah dan Madinah Munawwarah. Peristiwa berkenaan berlaku pada bulan Ramadhan tahun 8 hijrah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berjaya memasuki kota Mekah bersama-sama dengan sepuluh ribu orang Islam yang dibawa baginda dari Madinah. Setelah baginda dan umat Islam berjaya mengalahkan orang-orang Quraisy Mekah. Dan orang-orang Quraisy Mekah itu pula menjadi tawanan kepada orang-orang Islam.

         Baginda memasuki Mekah bagi mengukuhkan lagi ajaran agama Islam dan dakwah Islamiah, lapan tahun sebelum itu baginda keluar dari kota Mekah, berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan orang-orang Islam dalam keadaan melarikan diri dari seksaan orang-orang Quraisy Mekah, dan untuk menyelamatkan agama Islam yang mereka anuti.

         Orang-orang Quraisy menentang Rasulullah dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh baginda selama tigabelas tahun ketika baginda berada di Mekah. Tentangan orang-orang Quraisy itu adalah dalam berbagai-bagai rupa, termasuklah baginda dilempar dan dilumuri dengan najis ketika baginda bersembahyang, baginda dan kerabat baginda dipulaukan selama tiga tahun oleh masyarakat Quraisy. Pengikut-pengikut baginda, khasnya yang terdiri daripada golongan hamba sahaya diseksa dengan tidak berperikemanusiaan, sehingga orang-orang Quraisy hendak menamatkan riwayat hidup baginda ketika baginda hendak berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka sediakan empat puluh orang belia-belia Quraisy, mereka siap sedia dengan pedang terhunus untuk membunuh Rasulullah dengan sekali tetak beramai-ramai.

         Ketika baginda berhijrah, kaum Quraisy menawarkan hadiah yang besar bagi siapa yang berjaya menangkap baginda dan membawanya kembali ke kota Mekah. Sesudah baginda berhijrah pula, mereka tidak putus-putusnya mengganggu gugat Madinah Munawwarah yang menjadi pusat perkembangan agama Islam, kerja-kerja permusuhan mereka terhadap Islam itu berjalan selama lapan tahun tidak henti-hentinya. Kini baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mereka hendak tamatkan riwayat hidupnya itu pada lapan tahun yang silam kembali ke kota Mekah.

         Setentunya  orang-orang Quraisy yang telah menjadi tawanan kepada orang Islam itu mempunyai berbagai-bagai andaian dan berbagai-bagai pertanyaan. Apakah langkah atau balasan yang akan diambil oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap mereka setelah baginda dan orang-orang Islam menerima cercaan dan berbagai seksaan daripada orang Quraisy Mekah sewaktu dipermulaan dakwah Islamiah. Alangkah indahnya dan terkejutnya kaum Quraisy Mekah yang menjadi tawanan itu apabila baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Maksudnya : Pergilah kamu, kerana kamu sekalian adalah bebas.”

        Cuba kita perhatikan tidak ada rasa dendam daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak ada niat untuk membalas kesakitan dan kepedihan, penderitaan, sungguhpun dulunya cercaan dan penghinaan dilemparkan kepada baginda, penderitaan dan seksa ditanggung oleh pengikut-pengikut baginda yang hanya sedikit bilangan dan sebahagian besarnya pula adalah terdiri daripada golongan yang daif dan hamba sahaya.

         Kalimah “Antumuttulaqaa” yang bermaksud : kamu sekalian adalah bebas. Yang keluar dari mulut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu merupakan suatu gambaran yang tinggi terhadap nilai kemanusiaannya yang dijunjung oleh baginda dan yang dianjurkan oleh agama Islam.

         Maka tergambar kepada kita, tidak ada dendam dan tidak ada usaha untuk membalas dendam. Yang ada hanyalah cinta damai, kasih sayang sesama manusia, mendokong nilai kemanusiaan sejagat. Rasulullah membawa panji-panji perdamaian dan keamanan kepada penduduk-penduduk kota Mekah yang memusuhi baginda selama kira-kira dua puluh satu tahun. Maka kita dapat mengambil kesimpulan bahawasanya agama Islam bukanlah agama balas dendam, bukanlah agama keganasan, sesuailah dengan firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Anbiyaa’ ayat 107 :-

 Yang tafsirnya :

        Dan kami tidaklah mengutus engkau wahai Muhammad kecuali untuk memberi rahmat kepada sekalian alam”.

         Inilah contoh bahawasanya ajaran Islam itu membawa rahmat, rahmat keamanan dan rahmat kedamaian.

         Sifat mulia Islam inilah yang patut menjadi teras kepada keperibadian kita supaya kita dihormati. Dengan yang demikian dapatlah kita menunjukkan kepada orang-orang bukan Islam mengenai kebaikan dan keharmonian agama Islam yang sentiasa menjadi pegangan orang Islam.

 Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah  Al-Baqarah, ayat 208-209:

 Tafsirnya :

         Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya dengan mematuhi segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan : sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. Maka kalau kamu tergelincir dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu, sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Khutbah Hari Raya Aidilfitri Yang Kedua

 

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

Saudara-saudara muslimin yang berbahagia,

          Allah Subhanahu Wataala telah menciptakan manusia sebagai makhluk yang sangat mulia daripada segala makhluk yang lain.

          Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Israa’    Ayat 70 :-

 Tafsirnya :-

           Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik serta kami telah memberi kelebihan kepada mereka dengan kelebihan-kelebihan atas kebanyakan makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan.

           Allah Subhanahu Wataala juga menganugerahkan manusia dengan akal fikiran, dengan akal, manusia berupaya membezakan antara yang baik dan yang jahat, antara yang hak dengan yang bathil, antara yang bermanfaat dengan yang mudharat.

 Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

 Saudara muslimin yang diberkati Allah,

           Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala akan pencapaian-pencapaian yang kita nikmati ketika ini, umpamanya kepesatan pembangunan material, pembangunan ekonomi, kecanggihan teknologi dan berbagai-bagai kemajuan lagi. Dalam kita menikmati pencapaian-pencapaian tersebut, berbagai krisis akhlak dan moral telah melanda sebahagian masyarakat kita hari ini.

          Melihat kepada perkembangan masa dan zaman sekarang, kedudukan atau martabat kemuliaan manusia itu telah tergugat, identiti umat Islam kebelakangan ini telah tercemar kerana semakin ramai manusia terjebak ke lembah maksiat dan dosa, melanggar hak-hak asasi manusia, mencabul kehormatan, banyak perkara-perkara atau kegiatan yang dilakukan bersalahan dengan hukum syara’ dan kehendak agama. Meluasnya gejala-gejala sosial, krisis-krisis akhlak dan keruntuhan moral bukan sahaja berlaku kepada para belia remaja bahkan juga kepada golongan dewasa. Akibatnya kita menjadi resah gelisah dan kehidupan kita menjadi muram dan dalam ketakutan.

           Banyak perkara yang dipinggirkan demi mengejar kemajuan dunia, masyarakat hari ini semakin matang dan global dengan segala maklumat terkini tetapi keruntuhan akhlak dan krisis moral terus menerus berlaku, maruah dan kemuliaan turut tergadai demi kemajuan. Kes-kes jenayah, kes-kes amok, pembunuhan, pembuangan anak-anak damit di tong-tong sampah atau di longkang-longkang, manusia memandang perkara yang buruk sebagai kebaikan, sebaliknya kebaikan dipandang kejahatan. Kes-kes penyalahgunaan dadah, perzinaan, rogol, pergaulan bebas, pendedahan aurat, rompak, curi, perkara-perkara tersebut sudah menjadi seperti biasa, menjadi budaya dizaman moden, sudah tidak dianggap merbahaya, demikian juga budaya berpoya-poya telah mulai menular dan mempengaruhi golongan muda-mudi.

           Merujuk kepada perkara-perkara yang disebutkan tadi, maka marilah kita selaku umat Islam yang beriman kepada Allah Subhanahu Wataala, mempertahankan nilai-nilai murni ajaran Islam, mengamalkan dan menghayati perintah Allah Subhanahu Wataala dan rasulnya serta sentiasa memperkemas peribadi dengan keimanan dan ketakwaan. Setiap amalan manusia yang didasarkan pertimbangan akal, iman serta takwa akan menjamin seorang insan mematuhi perintah Allah Subhanahu Wataala. Akal yang terdidik dengan iman dan takwa semestinya akan menjadikan seseorang insan itu tunduk dan patuh kepada Allah Subhanahu Wataala. Sementara akal yang dikawal oleh hawa nafsu pula akan membelakangkan agama.

         

 

 

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       

 

 



|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||