Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Stratigi
---------------------
 Struktur
  Organisasi

---------------------
 Piagam
  Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
  Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
  Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

12 Zulhijjah1423/14 Februari 2003

AMANAH


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama bertakwa kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan mengerjakan segala apa jua suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Sesungguhnya Islam amat menitikberatkan peranan akhlak yang mulia dalam pembentukan kehidupan manusia, tidak kira samada akhlak seseorang muslim tersebut terhadap Allah Subhanahu Wataala ataupun terhadap sesama manusia itu sendiri, bahkan termasuklah juga terhadap haiwan serta mahkluk  yang lain.  Adapun sifat yang mendapat kedudukan yang tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah.

Islam amat menganjurkan umatnya agar menghiasi diri dengan sifat  amanah dan apa yang paling menarik ialah sifat tersebut juga dianggap sebagai titik atau garis pemisah kepada tahap keimanan dan agama seseorang insan.  Ini bersesuaian sebagaimana hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam:  Maksudnya:  “Tiada iman bagi orang yang tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya.” (Riwayat al-Imam Ahmad)

Sifat amanah mempunyai pengertian yang amat luas dan mendalam kerana ia bukan sekadar membawa makna bersikap jujur dan benar dalam apa-apa jua urusan dan tanggungjawab yang berkaitan dengan manusia dan kehidupan seperti bersifat amanah dalam menepati janji, menjaga atau menunaikan pesanan, suruhan atau wasiat samada ianya berkaitan dengan hak penjagaan atau pengurusan terhadap harta benda, wang ringgit, binatang ternakan, sawah ladang, mahupun manusia itu sendiri seperti memelihara kebajikan anak yatim, orang-orang tua bahkan anak serta isteri  pun adalah amanah  yang mesti kita laksanakannya dengan sempurna.

Persoalan amanah merangkumi setiap aspek kehidupan dan yang paling penting ialah persoalan kenegaraan.  Termasuk juga rangkaian amanah itu ialah pentadbiran rumah tangga, mukim dan kampong dan lain-lain lagi.

Oleh itu setiap mereka yang memegang apa-apa jua tugas atau tanggungjawab hendaklah menunaikan apa yang telah diamanahkan dan jangan sekali-kali mengkhianatinya sepertimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal,  ayat 27: 

Tafsirnya:  “Wahai orang-orang yang beriman ! janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya”.

Dalam hal ini kita lihat contoh amanah yang wajib dipikul oleh seseorang pemimpin. Kita perlu memahami bahawa pemimpin itu bukan hanya terbatas kepada pemerintah atau ketua negara sahaja tetapi juga merangkumi kepada pemimpin atau ketua sesebuah jabatan, organisasi, pertubuhan, kumpulan atau ketua kampong dan sebagainya.  Amanah atau tanggungjawab yang terpaksa dilaksanakannya ialah supaya sentiasa bersikap jujur, adil, bijaksana serta tidak bersikap pilih kasih ketika menjalankan tugas terhadap pekerjaan atau orang di bawah kuasanya.  Manakala jika kita sebagai orang yang dipimpin pula mestilah melaksanakan apa-apa tugas yang diberi dan di arah dengan senang hati dan ikhlas serta melakukannya dengan sebaiknya.

Setiap orang yang menerima tugas dan tanggungjawab pula hendaklah mempunyai sifat-sifat yang terpuji seperti jujur, amanah dan bijaksana.  Sifat-sifat tersebut boleh menghidupkan kesedaran dan sikap sentiasa mentaaati undang-undang serta boleh diberi kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan sesuatu tugas atau kewajipan walau bagaimana sulit dan rahsianya sekalipun.

        Begitu juga amanah kita sebagai seorang pegawai atau kakitangan kerajaan atau sektor swasta, wahai kaum muslimin marilah kita tanya pada diri kita apakah selama ini kita amanah pada kerja yang diberi, amanah pada kerajaan sebagai majikan kita, amanah pada menggunakan harta benda kerajaan seperti penggunaan alat-alat pejabat, penggunaan masa, penggunaan barang-barang keperluan pejabat iaitu elektrik, kertas-kertas mesin-mesin, pengangkutan- pengangkutan kerajaan dan sebagainya.  Kesemu ini merupakan amanah dari kerajaan dan telah menjadi kewajipan kita untuk memelihara serta mempergunakannya pada jalan yang betul.   Janganlah kita selewengkan semua amanah dan kemudahan serta mensia-siakannya pada jalan yang salah.

Sifat amanah jika telah tertanam subur di dalam individu itu, insya-Allah tidak akan timbul masalah rasuah, penyelewengan, curi masa, atau pun pelaksanaan kerja yang kurang kualiti.  Dibuat indah tak indah secara leka dan cuai.  Maka jelaslah bahawa sifat amanah itu diibaratkan sebagai anak kunci kejayaan kepada sesebuah organisasi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Begitu juga menyerahkan tanggungjawab kepada seorang tanpa keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan umat Islam.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sering memberi amaran mengenai kemusnahan manusia yang menjadi tanda akan berlakunya kiamat ialah apabila amanah tidak diserahkan kepada yang berkelayakan.  Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat  Al-Imam Al-Bukhari bermaksud:

Daripada Abu Hurairah dia berkata:  “Di dalam satu majlis ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berbicara dengan orang ramai datang seorang arab badwi  lalu bertanya:  “Bilakah hari Kiamat? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meneruskan ucapannya.  Ada yang berkata:  Baginda mendengar pertanyaan tetapi tidak suka apa yang ditanyakan.”  Manakala yang lain pula berkata:  “Bahkan baginda tidak mendengar.”  Apabila selesai berucap baginda bersabda:  “Di manakah orang yang bertanya tadi?  Jawab badwi itu:  “Saya di sini wahai Rasulullah.”  Lalu baginda bersabda:  “Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah hari kiamat.”  Badwi itu lantas bertanya lagi:  “Bagaimanakah menghilangkan amanah itu?  Baginda bersabda:  “Apabila diserahkan urusan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kiamat.”

Oleh itu sifat amanah itu sangat penting dan berperanan besar dalam mengatur kehidupan manusia ke arah yang lebih sempurna, teratur serta terhindar dari kerosakan-kerosakan akibat dari sikap tidak boleh dipercayai, maka sewajarnyalah kita didik diri kita serta keluarga kita untuk mengamalkan sifat amanah dalam perjalanan hidup kita.  Sifat amanah dapat memantapkan lagi hubungan mesra antara keluarga, kawan, jiran, teman sekerja dan organisasi seterusnya akan membuahkan rasa kasih sayang, hormat menghormati, saling percaya mempercayai serta akan sentiasa merasa selamat dari perbuatan khianat dan dengki.

 

 


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||