Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Stratigi
---------------------
 Struktur
  Organisasi

---------------------
 Piagam
  Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
  Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
  Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

26 Zulhijjah1423/28 Februari 2003

HIJRAH

 

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama bertakwa kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan mengerjakan segala apa jua suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Al-hamdulillah, tidak lama lagi kita akan melangkah masuk ke dalam tahun baru hijriah.  Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah ramhatnya kita diberi peluang nikmat umur yang panjang, diberi kesihatan dan kita masih dapat merasakan kebahagiaan di dalam meniti hari kehidupan di dunia ini.

Namun sebagai umat Islam janganlah kita lalai dan leka dalam kehidupan di dunia semakin tahun berganti usia kita juga semakin bertambah dan semakin dekatlah kita kepada ajal.  Dari itu kita sudah seharusnya semakin matang dan bijak dalam mengisi dan memanfaatkan usia kita dalam kehidupan ini.  Apa pun yang kita lakukan haruslah bertambah lebih baik dari sebelumnya.

Sesungguhnya hijrah dapat menguji sejauh mana tahap keimanan dan pengorbanan seseorang individu tersebut terhadap agamanya.  Ini kerana hijrah bukan dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya tetapi memerlukan sifat sabar, sanggup berjihad dan menerima apa jua rintangan dan cubaan yang melanda serta sanggup berkorban apa sahaja, jiwa harta mahu pun keluarga.

Inilah dia nilai-nilai keimanan dan pengorbanan yang tinggi yang dimiliki dan diperlihatkan oleh orang-orang Islam pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai bukti akan kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap agama Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala.  Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.

Hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindahnya dari satu tempat atau negeri ke tempat yang lain, tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindahnya dari sifat atau perbuatan yang kurang atau tidak baik kepada baik.

Hijrah tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan atau disandarkan kepada iman dan jihad, tidak kira samada hijrah pada makna sebenar iaitu berpindah atau pun hijrah hati dan jiwa dari keburukan kepada kebaikan.  Malahan dalam Al-Quran  sendiri banyak menggandingkan antara kalimah hijrah dengan iman dan jihad.  Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah ayat 218:

Tafsirnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.  Dan ingatlah Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.”

          Dari sini jelas kepada kita bahawa dalam setiap perjuangan terdapat tiga unsur yang saling kait mengait dan memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad.  Tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah Subhanahu Wataala serta semangat jihad untuk berjuang dan berkorban apa sahaja.  Pasti tidak dapat melakukan hijrah sebagaimana yang dilakukan pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetapi kita masih berpeluang untuk melakukan hijrah secara peribadi iaitu hijrah hati.  Melangkah ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemungkaran.  Dan dari orang yang tidak bermutu, menjadi kepada orang yang bermutu, dari segi akidahnya, akhlaknya dan prestasinya.

          Hijrah hati, hijrah yang tidak memerlukan perpindahan dari bentuk fizikal dan kebendaan.  Cuma ia memerlukan kemahuan, keazaman, kesungguhan dalam melaksanakan dan yang paling penting ialah keikhlasan hati.  Sebagai kurnia kepada berjayanya niat tersebut.  Walaupun hijrah hati tidak memerlukan kepada pengorbanan fizikal dan harta benda, tetapi ianya sukar untuk disempurnakan.

Ahli jumaat yang berbahagia,

          Hati punca tercetus atau bermulanya segala amalan atau perbuatan, samada baik atau buruk, berpahala atau berdosa.  Hati dicipta Allah Subhanahu Wataala sebagai pelengkap paling utama di dalam tubuh manusia.  Hati menjadi tempat jatuhnya pandangan dan nilai Allah Subhanahu Wataala  terhadap hambanya.  Pada hati juga berlakunya amalan niat.  Niat yang tulus itulah yang akan dinilai pahalanya oleh Allah Subhanahu Wataala.

          Al-Imam al-Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya.  Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini, sesuai dengan maksud hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam:  Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging.  Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota.  Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati.”  Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

          Berhubung dengan hati yang perlu dibersihkan, dididik, digilap dan dijaga ini bukanlah seketul darah sahaja lebih jauh dari itu, iaitu hati bathin dan rohaniah seseorang yang dilambangkan oleh seketul darah tadi.  Jika kita meneliti peranan hati di dalam pencapaian dan peningkatan rohani seseorang berdasarkan Al-Quran dan As-sunnah ternyata ianya adalah penting malahan menjadi asas kepada keimanan dan keislaman.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Qaaf ayat 37:

Tafsirnya:  “Sesungguhnya keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sedar pada masa membacanya.”

          Apa yang penting untuk kita sedar bahawa dengan hijrahnya hati atau jiwa kita kearah sifat yang mulia seperti sabar, jujur, amanah, pemaaf, suka bersedekah dan seumpamanya serta menjauhi segala perbuatan yang mungkar, mampu membentuk kita ke arah kesempurnaan hidup yang suci bersih dari sikap dan perbuatan yang buruk dalam mempamerkan sikap, akhlak dan peribadi yang mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.  Jelas bahawa hati memainkan peranan penting di dalam konsep kerohanian, ini boleh digilap, dibentuk, dididik dan merupakan unsur terpenting dalam nilai seorang di sisi Allah Subhanahu Wataala.

          Akhirnya marilah kita jadikan tahun ini sebagai titik tolak peningkatan amal kebaikan dan kita tanamkanlah niat yang ikhlas dalam menjalani kehidupan ini dan berpegang teguhlah pada tuntunan Allah Subhanahu Wataala agar kita merasakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat 20:  Tafsirnya:  Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja dan mereka itu orang-orang yang berjaya.”


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||