Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Stratigi
---------------------
 Struktur
  Organisasi

---------------------
 Piagam
  Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
  Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
  Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

5 Zulhijjah1423/7 Februari 2003

FADHILAT KORBAN


Saudara-saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala  dengan melaksanakan segala apa jua suruhannya dan menjauhi segala apa jua larangannya mudah-mudahan dengan keikhlasan hati kita ditambah lagi dengan keimanan yang kukuh akan dapat menjamin kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,

        Kita telah melangkah ke bulan terakhir dalam takwim hijrah iaitu bulan Zulhijjah di mana pada bulan ini Allah Subhanahu Wataala  telah mengurnia kan kepada kita suatu hari kebesaran Islam iaitu hari raya korban (Aidil Adha).  Dalam kegembiraan kita menanti kemunculan hari raya Adha, suatu amalan yang juga dituntut untuk dilakukan oleh mereka yang mampu pada hari raya dan hari-hari tasyrik ialah melakukan ibadat korban.

        Ibadat korban bermaksud menyembelih binatang dari unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke sepuluh, ke sebelas, kedua belas atau ketiga belas Zulhijjah.  Islam mensyariatkan ibadat korban itu sebagai salah satu ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala, di samping mengekalkan ingatan kita akan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail Alaihimassalam sebagai suatu ujian dari Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hambanya yang taat.

        Terdapat banyak hadith yang menyebut akan keutamaan ibadat korban ini di antaranya dari Aisyah Radiallahu Anha bahawasanya Rasulullulah Sallallhu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:  Tiada ada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dari menumpahkan darah.  Bahawasanya ia (korban itu) datang pada hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya dan bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.”  -  Hadith riwayat Al-Imam At-Termizi.

        Melalui hadith ini jelas kepada kita bahawa ibadat korban adalah merupakan suatu ibadat atau amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dan yang setentunya mendapat kemuliaan di sisi Allah Subhanahu Wataala di hari kiamat kelak.  Justeru melakukan ibadat korban itu akan menambah lagi amalan kebajikan yang kita lakukan di samping ianya sebagai penebus dosa-dosa kita sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud “Wahai Fatimah berdirilah di sisi korban Mu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagi Mu atas dosa-dosa Mu yang telah lalu.”  Hadith riwayat Al-Imam Al-Bazzar dan Al-Imam Ibnu Hibban dipetik dari kitab Sabilul Muhtadin.  Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:  Perbesarkanlah kamu akan korban, kerana ianya di atas Sirathal Mustaqim nanti sebagai tunggangan Mu.”

Begitulah besarnya ganjaran yang diberikan kepada orang yang melakukan korban Allah Subhanahu Wataala menjanjikan kebaikan kepada orang yang melakukannya dan Allah Subhanahu Wataala menjadikan binatang sembelihannya itu sebagai tunggangannya untuk meniti As-sirath di akhirat kelak.  Walau pun pada zahirnya ianya cuma merupakan pengorbanan seekor binatang sembelihan namun jika kita kaji dengan teliti, ianya merupakan suatu ujian  Allah Subhanahu Wataala dalam melatih kita agar sentiasa bersedia untuk berkorban jiwa dan tenaga demi untuk menegakkan agama Allah Subhanahu Wataala di muka bumi ini.  Selain itu juga ianya merupakan ujian adakah kita mensyukuri nikmat kemewahan yang telah dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita.  Kita harus sedar untuk mencapai suatu cita-cita memerlukan pengorbanan.  Betapa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika hayat Baginda dan juga para sahabat sanggup mengorbankan harta, menggadai nyawa semata-mata untuk mendaulatkan agama, inikan pula suatu amalan yang cuma untuk mengorbankan sekubit harta demi untuk mensyukuri nikmat yang telah diterima.

Ingatlah wahai kaum muslimin sekalian, setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amal yang ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala  seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari  dengan sifat ria, takabbur, membangga diri dan menunjuk-nunjuk  akan kemampuan  maka akan tertutuplah rahmat Allah Subhanahu Wataala, dan nescaya sia-sialah amal yang dilakukan.

Saudara muslimin sekalian,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam amat menyukai akan amalan berkorban sehinggakan baginda sentiasa menyarankan sahabat-sahabat melakukan ibadat korban pada setiap kedatangan hari raya Adha.  Justeru amalan korban itu bukan sahaja mempunyai fadhilat-fadhilatnya yang terlalu besar bahkan dilihat dari sudut kerohanian juga ianya akan dapat mengikis sifat bahkil untuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sekaligus dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi kegembiraan dan kesenangan dalam hati orang yang menerima terutama kepada golongan fakir dan miskin bagi sama-sama merasakan keriangan hari raya.  Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-hajj ayat 36;  Tafsirnya:        “ Makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.  Demikianlah kami telah menundukkan unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.”

        Alhamdulillah, kita di Negara Brunei Darussalam ini ramai yang peka akan kepentingan ibadat korban.  Setiap kali kedatangan hari raya  Adha, amalan korban diadakan di mana-mana seperti di masjid- masjid, di sektor-sektor awam dan swasta dan tidak ketinggalan juga ada yang mengadakannya di rumah-rumah persendirian.  Melalui amalan ibadat korban ini jelas terbukti dapat mengujudkan suasana kerja sama serta saling bantu membantu di antara semua pihak sama ada di pihak yang melakukan korban mahu pun pihak yang menerima.  Namun amalan yang berkebajikan ini janganlah dicemari dengan unsur-unsur negatif, umpamanya berebut- rebut ketika menerima daging agihan, bersikap tamak dengan mengambil hak orang lain sehingga menimbulkan ketidak puasan di kalangan penerima dan orang yang lebih layak untuk menerima sebahagian yang ditentukan oleh syara’ dan boleh menyebabkan terjadinya pertelingkahan.

Manakala di pihak yang ditugaskan untuk mengurus penyembelihan, hendaklah menjalankan tugasnya dengan penuh amanah.  Jagalah kepercayaan yang diberikan dan jadikanlah apa yang diamanahkan itu sebagai satu tanggungjawab dan kewajipan yang akan diperhitungkan di hari kemudian kelak.

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga setiap amal kebajikan yang kita lakukan termasuklah amalan korban kita akan diterima dan mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah Subhanahu Wataala jua.  Amin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hajj ayat 37; Tafsirnya:  “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan dari  kamulah yang dapat menjamin.  Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahnya kepada kamu.  Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” 


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||