Misi
Matlamat
Peranan
Strategi
Struktur Organisasi
Piagam Pelanggan
Laman Web Masjid-Masjid
Teks Khutbah
Maklum balas

 

07 Zulkaedah 1423/10 Januari 2003

 IBADAT HAJI


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sentiasa bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan menjalankan segala perintahnya serta meninggalkan segala apa-apa jua larangannya. Dengan kita bertakwa akan mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana yang demikian itu merupakan bekalan yang baik untuk kehidupan kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Muslimin yang berbahagia,
Kini musim haji telah tiba dan seluruh umat Islam yang berkemampuan dan cukup syarat akan menunaikan ibadat haji. Kita di Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan bersama-sama saudara-saudara Islam kita di negara-negara lain akan menunaikan ibadat fardhu haji rukun Islam yang kelima. Berbagai-bagai persediaan telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu seperti mengadakan kursus-kursus ulangkaji ibadat Haji dan Umrah sebagai bekalan para jemaah kita yang akan menunaikan Ibadat Haji tersebut. Di pihak keluarga bakal jemaah haji pula juga tidak ketinggalan meraikan keluarga-keluarga yang akan menunaikan fardhu haji. Berbagai-bagai perkara telah dilakukan bagi meraikan dan memeriahkan suasana pemergian bakal-bakal jemaah haji itu. Ada sebahagian mengadakan majlis doa selamat, sebahagian yang lain pula sibuk mengatur dan merancang apa-apa yang perlu dibawa oleh keluarga-keluarga ke tanah suci, manakala di pihak pengurusan haji pula, beberapa persediaan telah dibuat untuk pemergian bakal-bakal jemaah haji ke tanah suci.

Ibadat haji merangkumi seluruh ibadat sembahyang, puasa dan zakat. Lantaran itu ianya diletakkan ditempat yang terakhir di dalam kewajipan-kewajipan yang wajib ditunaikan oleh seorang Islam.  Dengan erti kata yang lain, sebelum seseorang itu melaksanakan ibadat haji tersebut, maka sudah semestinyalah ibadat sembahyang, puasa dan zakatnya telah dapat disempurnakannya dengan baik seperti mana yang dikehendaki oleh hukum syara’.

Oleh kerana itu jika harta atau wang yang dikumpulkan kerana hendak menunaikan ibadat haji itu cukup nisab dan haulnya, maka adalah wajib terlebih dahulu dikeluarkan zakatnya kerana setiap harta yang hendak digunakan bagi menunaikan ibadat haji, mestilah ianya merupakan harta yang suci dan halal, bukan yang terdapat didalamnya hak orang lain ataupun syubhat atau harta diperolehi secara tidak halal.

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,
Pemergian jemaah haji negara kita ke tanah suci Mekah telahpun tiba dan para jemaah serta setiap yang datang ke tanah suci tersebut adalah merupakan Dhuyufur-Rahman (Tetamu Allah) dan sesungguhnya tidak ada keistimewaan yang paling besar bagi seseorang Islam selain dari dapat diterima menjadi Tetamu Allah. Jika kita perhatikan dari segi kemampuan dan keupayaan, maka begitu banyak orang Islam yang mempunyai kemampuan dan keupayaan, tetapi masih belum mendapat rahmat untuk menjadi Tetamu Allah.  Kerana itu beruntunglah sesiapa jua yang dirahmati Allah yang dibukakan hatinya untuk berkunjung ke rumah Allah yang menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia dan yang lebih beruntung bagi setiap yang menjadi Tetamu Allah itu ialah sesiapa yang diterima ibadat hajinya oleh Allah Subhanahu Wataala sebagai haji yang mabrur kerana haji yang mabrur itu balasannya tidak lain ialah syurga.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :- 

Maksudnya :
Haji yang mabrur itu tidak ada balasan yang lain baginya selain daripada syurga.

Dikesempatan ini sukacita kita menganjurkan supaya kita sentiasa berusaha untuk menjadi hambanya yang dikasihi, mematuhi perintahnya dan menjauhi larangannya.  Oleh itu janganlah ibadat haji kita cacat oleh percakapan atau perbuatan yang sia-sia dan tidak berfaedah atau menyakiti sesiapa.  Kerana itu kita harus mempunyai pertahanan diri yang kuat dan diantaranya ialah untuk menanamkan sifat sabar dalam diri kita, sabar dari perasaan marah, sabar dari berbuat kerosakan, sabar di atas kesusahan yang bakal ditempuh dan sabar dalam menerima ujian dari Allah Subhanahu Wataala.  Dan janganlah juga ibadat kita rosak kerana melakukan perkara-perkara mungkar atau bid’ah serta kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Oleh itu bagi setiap orang Islam yang ingin mengerjakan ibadat haji mestilah mengetahui tentang cara-cara mengerjakan nya, di samping menjaga dan memelihara adab dan tata-tertib sebagai Tetamu Allah.  Begitu juga menjaga segala pantang larang di dalam ehram, hendaklah menghindarkan diri dari melakukan atau terikut-ikut dengan perkara bid’ah yang bertentangan dengan kepercayaan dan ajaran Islam. Umpamanya membawa bersama wang ketika bertawaf, mengutip kerak nasi, mengutip batu untuk dibawa balik ke Negara Brunei dan sebagainya yang bertujuan agar akan memperolehi berkat dan kebaikan dan sebagainya yang berlawanan dengan kepercayaan dan ajaran-ajaran Islam terutama dalam adab dan peraturan mengerjakan ibadat haji.  Apalah gunanya jika ibadat haji yang mempunyai ganjaran dan kelebihan yang begitu besar seperti ganjaran orang berjihat di jalan Allah Subhanahu Wataala itu rosak dan binasa disebabkan perkara-perkara bid’ah dan khurafat yang kita bawa yang sebenarnya tidak terdapat dalam amalan mengerjakan ibadat haji sehingga haji kita tidak diterima oleh Allah Subhanahu Wataala sedangkan kita telah kerugian tenaga, wang ringgit dan sebagainya.

Oleh yang demikian syugialah para bakal jemaah haji akan dapat mengambil perhatian yang berat mengenai perkara ini dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah dan khurafat tersebut mudah-mudahan dengan kita menjauhi segala perkara bid'ah dan khurafat itu, ibadat haji kita akan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali 'Imran, ayat 97 :-

Tafsirnya :
Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke baitullah, barangsiapa mengingkari kewajipan haji maka sesungguhnya Allah maha kaya tidak memerlukan sesuatu dari semesta alam.

                                                   


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||