FITNAH
Kaum muslimin yang diberkati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar
takwa, hanya dengan bertakwa sahajalah hidup kita akan selamat di dunia
dan di akhirat.
Muslimin
yang berbahagia,
Lidah adalah di antara salah satu anggota yang penting pada diri manusia
dan sangat merbahaya jika tidak pandai menjaga dan mengawalnya, kerana
lidah boleh melakukan perkara-perkara yang tidak baik, dan akan
membahayakan diri sendiri dan juga orang lain, di antaranya ialah
perbuatan memfitnah seperti membuat tuduhan liar atau cerita palsu yang
sengaja diada-adakan tanpa menghiraukan akibat- akibat yang akan berlaku
samada memburukkan atau menyebabkan bencana terhadap seseorang sehingga
orang yang tidak bersalah hidup derita dan merana.
Orang
mukmin tidak sepatutnya melakukan perbuatan memfitnah yang jelas dan
terang dilarang oleh Allah Subhanahu Wataala. Angkara fitnah nyata
menimbulkan banyak permusuhan, perbalahan, pergaduhan dan perceraian. Suami isteri yang hidup rukun damai menjadi hidup porak peranda,
orang yang disayangi akan dibenci, orang yang bekerja akan hilang
pekerjaannya dan perhubungan menjadi renggang.
Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam menjelaskan di dalam hadith baginda bahawa
orang yang suka menyebarkan fitnah akan diseksa di dalam kubur.
Sebagaimana sebuah hadith :-
Maksudnya
:
Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma beliau menceritakan
bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melalui dua kubur
kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya
mereka berdua sedang diazab, dan mereka tidak diazab disebabkan oleh dosa
yang besar pada pandangan mereka, padahal ianya adalah dosa besar.
Ada pun salah seorang dari keduanya diazab, dia tidak melawaskan
kencingnya dan yang seorang lagi diazab disebabkan dia menyebarkan fitnah.
(Riwayat Al-Imam Ibnu-Majah).
Di
hari pembalasan pula, orang yang memfitnah akan dimasukkan ke
dalam neraka. Ini
disebutkan dalam sebuah hadith :-
Maksudnya
:
Dari Huzaifah Radiallahu Anhu, aku mendengar Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba).
(Riwayat Al-Imam Muslim).
Ini
jelas menunjukkan bahawa memfitnah itu perbuatan yang tercela dan hukumnya
adalah haram. Walau
bagaimanapun masih terdapat di antara orang Islam yang melakukannya.
Sidang
Jumaat sekalian,
Di zaman ini manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan,
tetapi juga melalui kecanggihan teknologi
maklumat seperti internet yang mampu menyebarkan apa jua maklumat dengan
sekelip mata tanpa dapat dibendung-bendung. Laman-laman web yang
disediakan untuk kemudahan dan pengetahuan telah disalahgunakan dan
dijadikan tempat menabur fitnah dan membuat tuduhan. Harus diketahui bahawa jika tuduhan yang dibuat itu adalah palsu,
ia akan menjadi fitnah yang sungguh berbahaya.
Jika pun ia betul, ia merupakan umpatan atau kajian melalui teknik
canggih yang tidak kurang bahayanya. Perkara seumpama ini boleh menggugat keharmonian bermasyarakat dan
bernegara. Bayangkanlah jika kita sendiri atau orang yang kita kasihi
menjadi bahan tuduhan, tentulah kita akan gelisah dan tidak senang dan
tenteram menghadapinya akibat tuduhan yang tidak berasas.
Dalam
hal ini kita tidak boleh menyalahkan kemajuan dan kecanggihan teknologi
maklumat yang ada pada hari ini, tetapi kitalah yang dipertanggungjawabkan,
kerana manusia telah dibekalkan dengan akal fikiran untuk menilai mana
yang baik dan mana yang buruk. Di
akhirat kelak, kita tidak akan dapat lari dari segala tuntutan, terutama
bagaimana kita menggunakan anggota kita. Bagitulah juga kita akan dituntut bagaimana kita menggunakan segala
kemudahan teknologi seperti komputer dan sebagainya.
Selain
internet, media cetak seperti surat khabar, majalah, risalah dan termasuk
juga surat layang digunakan dalam menyebarkan berita dan maklumat yang
tidak berasas. Bagi yang mudah percaya akan menerima berita seumpama ini
tanpa usul periksa. Lalu
tersebarlah cerita yang ditokok tambah atau yang belum tentu kesahihannya
sehingga mencetus berbagai fitnah yang merugikan dan menyusahkan banyak
pihak.
Wahai
kaum muslimin,
Ingatlah setiap perkataan yang diluahkan akan dipertanggungjawabkan di
akhirat kelak. Oleh yang
demikian, jauhilah perbuatan memfitnah dan menyebarkan berita yang tidak
berasas dengan apa cara sekali pun. Jika
kita merasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, buatlah dengan cara
yang betul seperti merujukkan perkara tersebut kepada pihak-pihak yang
berkenaan. Inilah salah satu
cara yang mendatangkan keuntungan kepada kita kerana kita dapat berbuat
baik dan berhemah, dan menguntungkan orang lain kerana maruahnya terjaga
serta menguntungkan negara kerana negara akan aman dan stabil.
Wahai
kaum muslimin,
Marilah kita sama-sama beringat supaya jangan mudah terpedaya dan
terpengaruh serta menerima bulat-bulat berita yang sampai kepada kita,
akan tetapi selidikilah terlebih dahulu sebelum mempercayainya.
Ketahuilah bahawa kekukuhan dan kekuatan umat dan masyarakat adalah
dengan jalan bersatu padu dan mengelakkan perpecahan, permusuhan dan
perbalahan sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali
‘Imran, ayat 103 :-
Tafsirnya
:
Dan berpegang teguhlah kamu
sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu
bercerai-berai.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam surat Al-Hujuraat ayat 6 :-
Tafsirnya
:
Wahai orang-orang yang beriman jika
datang kepada kamu seorang pasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah
untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum
dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu
mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.