Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

17 Jamadilakhir 1424/15 Ogos 2003

SABAR


Muslimin yang diberkati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa dengan menunaikan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, kerana dengan bertakwa kita akan mendapat lindungan dan ‘Inayah Allah Subhanahu Wataala.

Muslimin yang berbahagia,
Sudah menjadi lumrah alam, kita hidup di dunia ini tidak terlepas daripada cobaan dan dugaan yang merupakan ujian daripada Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas dilihat apabila seseorang itu ditimpa musibah seperti kesakitan, kecelakaan, kehilangan orang yang disayangi, kemusnahan harta benda dan bermacam-macam lagi musibah. Perkara ini jelas digambarkan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah, ayat 155 hingga 156 :-

Tafsirnya :  
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

Sebagai orang Islam yang beriman kita hendaklah bersabar apabila ditimpa oleh musibah. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang memerintahkan kita supaya bersifat sabar dan juga penjelasan terhadap ganjaran yang akan diterima di akhirat kelak oleh orang-orang yang bersabar.  Di antaranya Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali ‘Imran, ayat 200 :-

Tafsirnya : 
Wahai orang-orang yang beriman! bersabarlah kamu menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh.  Di medan perjuangan dan bersedialah dengan ketakwaan pertahanan daerah-daerah sempadan serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.

Kaum muslimin yang berbahagia,
Perkataan sabar sering disebut-sebut dan menjadi permainan mulut. Boleh dikatakan setiap lapisan masyarakat menggunakannya tetapi adakah kita mengetahui makna sabar itu yang sebenarnya? Sabar merupakan akhlak yang mulia yang diajarkan oleh Al-Quran yang semestinya dimiliki oleh setiap orang Islam. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  bersabda :-

Maksudnya : 
Sabar itu adalah cahaya yang gilang gemilang.”  (Riwayat Al-Imam Muslim).

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Tidak dinafikan bahawa sabar itu adalah satu sifat yang bukan mudah untuk dipraktikkan khususnya apa kala kita menghadapi musibah yang melibatkan kematian, kehilangan harta benda dan segala yang diingini dan disayangi.  Maka di dalam menghadapi kesukaran untuk bersabar. Allah Subhanahu Wataala telah mengajarkan dalam Al-Quran beberapa perkara yang boleh membantu kita supaya berlaku sabar iaitu dengan menjadikan apa-apa yang berlaku di dunia ini sebagai iktibar dan pengajaran. Wahai kaum muslimin ingatlah bahawa dunia ini bukanlah syurga tetapi adalah tempat yang penuh dengan ujian dan tempat bagi menyediakan bekal untuk menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak.

Antara lain pengajaran yang diajarkan oleh Al-Quran kepada kita yang boleh membantu kita untuk bersabar ialah dengan mengenal diri sendiri iaitu diri kita ini adalah milik Allah Subhanahu Wataala. Segala nikmat yang ada di dunia ini adalah merupakan pinjaman daripada Allah Subhanahu Wataala yang pada bila-bila masa boleh ditarik kembali apabila dikehendakinya.

Sidang Jumaat yang mulia,
Orang yang bersifat sabar tidak akan rugi tetapi akan mendapat keuntungan daripada Allah Subhanahu Wataala, oleh itu yakinlah bahawa Allah Subhanahu Wataala akan memberi balasan kebaikan dan kemenangan dikemudian nanti. Di samping itu kita jangan lupa untuk memohon pertolongan dan perlindungan kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sabar, kerana Allah Subhanahu Wataala yang menurunkan ujian itu dan dia juga yang mengangkatnya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-A’raaf, ayat 128 :-

Tafsirnya :
Musa berkata kepada kaumnya :  mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah :  sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah :  Dipusakakannya kepada siapa yang dikehendakinya dari hamba-hambanya. Dan kesudahan baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

Ketahuilah wahai kaum muslimin, bahawa ujian-ujian Allah Subhanahu Wataala yang ditujukan kepada orang mukmin itu yang disertai dengan sifat sabar adalah satu petanda kemantapan iman bagi orang mukmin sejati, di mana ujian tersebut akan mendidik keyakinan mereka bagi meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala, oleh yang demikian didiklah dan asuhlah diri kita dengan sifat-sifat sabar.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ar ‘Rad, ayat 22 :-

Tafsirnya : 
Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik, mereka itu semuanya disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||