Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

24 Jamadilakhir 1424/22 Ogos 2003

MEMELIHARA ADAB-ADAB 
KETIKA BERADA DI MASJID

 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Salah satu tanda ujudnya umat Islam di suatu tempat di muka bumi ini ialah dengan adanya masjid kerana masjid adalah tempat pertemuan dan merupakan salah satu tanda perpaduan umat Islam dan tempat mereka mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wataala. Dan di situlah juga ujudnya orang-orang yang bertakwa dan bersaudara.  Sebagaimana Firman Allah Subahanahu Wataala dalam surah At-Taubah, ayat 18 :-

Tafsirnya : 
Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah Subhanahu Wataala dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, dengan adanya sifat-sifat yang tersebut maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk
.

Masjid tidaklah dapat disamakan dengan tempat-tempat lain seperti rumah-rumah persendirian, gedung-gedung perniagaan atau pasar kerana masjid adalah rumah Allah Subhanahu Wataala dan menjadi tempat orang Islam melakukan ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala. Di samping itu ianya juga menjadi lambang ketakwaan agama Islam dan kekukuhan iman umatnya. Masjid juga adalah tempat kebajikan yang penuh dengan rahmat dan berkat.  Memandangkan masjid itu tempat yang mulia, maka sewajarnyalah kita memelihara kemuliaannya dengan sebaik-baiknya dengan tidak melakukan sebarang pencemaran atau kekotoran di dalamnya. Sebagaimana kita dilarang masuk ke masjid dalam keadaan kita berbau busuk samada daripada bau pakaian atau pun mulut, perkara ini ada dijelaskan di dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Maksudnya :-

Dari Jabir telah berkata :  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melarang dari memakan bawang.  Kemudian kami berhajat untuk memakan bawang tersebut lalu kami pun memakannya. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  bersabda : barangsiapa yang memakan dari pohon ini, maka janganlah mendekati masjid kami, sesungguhnya para malaikat akan merasa terganggu (kerana baunya) sebagaimana manusia terganggu daripada bau tersebut.

Oleh yang demikian, kita hendaklah menjaga kebersihan diri sebelum pergi ke masjid kerana para malaikat akan terganggu sebagaimana kita manusia juga terganggu jika terdapat bau busuk dan kotoran.

Ahli Jumaat sekalian,
Setiap umat Islam hendaklah mengagongkan rumah Allah Subhanahu Wataala kerana dengan berbuat demikian mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Subhanahu Wataala. Orang yang beriman hendaklah mengagongkan rumah Allah Subhanahu Wataala kerana mengagungkannya bermakna ia mengagungkan Allah Subhanahu Wataala.

Jelas kepada kita bahawa orang-orang yang berkunjung ke masjid itu adalah merupakan tetamu-tetamu Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa mendapat rahmat, penghormatan dan kemuliaan Allah Subhanahu Wataala lebih-lebih lagi apabila melakukan iktikaf dalam masjid.

Wahai kaum muslimin, kita sebagai umat Islam yang menjadi tetamu Allah Subhanahu Wataala yang mahukan kesempurnaan dalam beribadat, maka kita hendaklah menjaga sopan santun, sentiasa bertatatertib, dan memelihara adab-adab ketika berada di masjid, seperti sentiasa berdiam diri iaitu tidak membuat bising, tidak bercakap-cakap, tidak membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan keduniaan, tidak melakukan sesuatu yang tidak baik yang boleh mengotorkan kesucian dan merosakkan kehormatan masjid.

Ahli Jumaat sekalian,
Perkara memelihara sopan santun dan tatatertib ini ditimbulkan adalah sebagai satu langkah bagi mengatasi masalah-masalah yang telah dihadapi oleh masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam ini seperti kejadian membuat bising dan berteriak-teriak, bergurau semasa sembahyang, bercakap semasa khutbah, berlari-lari dan berkejar-kejar di dalam masjid dan sebagainya.

Perkara yang demikian adalah jelas dilarang oleh Agama Islam dan tidak sepatutnya dibiarkan berterusan kerana perbuatan ini boleh menjejaskan perasaan khusu’ orang yang mengerjakan ibadat seperti sembahyang, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Agama Islam memang memerintahkan para ibu bapa untuk melatih anak-anak mereka untuk mengerjakan sembahyang dan ibadat yang lain termasuk berjinak-jinak dengan masjid.  Maka bagi menjamin kesempurnaan ibadat para jemaah, ibu bapa mempunyai peranan untuk mengawasi tindak tanduk anak-anak mereka supaya tidak berbuat bising atau sebarang kelakuan yang boleh mencemarkan kehormatan rumah Allah Subhanahu Wataala ini. Usaha ibu bapa atau penjaga membawa anak-anak mereka beribadat di masjid adalah suatu perkara yang terpuji kerana perbuatan tersebut adalah lebih baik dari membawa mereka ke tempat-tempat yang boleh melalaikan mereka dan lupa kepada perintah Allah Subhanahu Wataala.

Akhirnya marilah kita sama-sama memelihara kemuliaan dan kehormatan masjid dari segala gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan keselesaan beribadat.  Mudah-mudahan kita mendapat limpah rahmat dan taufik dari Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Jin, ayat 18 :-

Tafsirnya :
Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk beribadat kepada Allah semata-mata, maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||