Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

03 Jamadilakhir 1424/01 Ogos 2003

JUDI


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Saudara muslimin yang berbahagia,
Allah Subhanahu Wataala menciptakan manusia untuk beribadat kepadanya dan mengurniakan nikmatnya untuk kita gunakan di jalan yang diredhainya. Manusia diberi akal fikiran supaya tidak tunduk kepada hawa nafsu. Dianugerah kan pancaindera untuk mencari rezeki di muka bumi ini. Islam memerintahkan kita berusaha mengikuti landasan yang benar. Menjauhi perkara-perkara haram, seperti melakukan kekerasan, penindasan, penipuan, rasuah, riba’, judi dan bermacam-macam lagi kemungkaran.

Di dalam media massa, kita sering dipaparkan kes-kes perjudian yang perlu kita ambil perhatian dan dijadikan iktibar daripadanya, kerana perkara ini telah dijelaskan di dalam Al-Quran surah Al-Maaidah, ayat 90 :-

Tafsirnya : 
Wahai orang-orang yang beriman bahawasanya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya moga-moga kamu berjaya.

Firman Allah Subhanahu Wataala itu menjelaskan bahawa arak, judi, berhala dan bertenung nasib semuanya perbuatan kotor dan keji yang tidak mendatangkan kebaikan bahkan akan mengotorkan roh dan jasad, memburukkan perangai dan budi pekerti.

Begitu juga hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya : 
Barangsiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah telah mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah babi.
(Riwayat Al-Imam Muslim).

Ahli Jumaat sekalian,
Ada pun yang dimaksudkan dengan judi itu ialah tiap-tiap perkara yang ada di dalamnya beradu nasib atau pertaruhan baik sedikit atau banyak, kecil atau besar. Walaupun judi diberi nama yang bermacam-macam, berbagai-bagai rupa dan cara seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam semuanya itu adalah haram dan dosa besar.

Walaupun agama Islam telah awal-awal lagi mengharamkan judi, tapi masih ada di kalangan orang Islam yang melibatkan diri dengan judi.  Seperti membeli tiket-tiket loteri semata-mata untuk mendapatkan harta atau wang yang banyak dengan mudah, ingin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.   Mereka terpikat dengan hadiah atau tawaran yang tinggi, dengan hanya wang seringgit akan menjadi beribu-ribu ringgit. Gejala seumpama ini menyebabkan ada orang berjumpa bomoh, pergi ke kubur-kubur, pokok-pokok besar dan pungsu kerana memohon nombor yang kononnya membawa tuah kepadanya dan ada juga orang yang mendapatkan nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, mendapatkan nombor dari mimpi dan sebagainya, kerana menganggap membawa tuah dan membawa keuntungan begitulah menganggap keadaannya jika sudah menjadi kaki loteri, kaki tikam ekor, mereka sanggup melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan agama demi untuk mencapai hasratnya.

Wahai kaum muslimin,
Allah Subhanahu Wataala menerangkan bahawa judi adalah suatu daripada perbuatan syaitan, merupakan maksiat dan dosa.  Perbuatan yang menjerumuskan diri kepada sifat tamak, rakus yang boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, perceraian suami isteri, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumahtangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah Subhanahu Wataala.

Judi adalah punca kepada dendam, permusuhan, pergaduhan dan membawa kepada bunuh diri. Tabiat pemain judi itu, jika ia kalah pada kali yang pertama, ia akan merasa tidak puas hati dan ingin mencuba dan terus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan sehingga menjadikannya hamba judi. Apabila beroleh kemenangan pula, ianya akan terus bertambah tamak dan gemar berjudi sehingga menjadikan judi sebagai darah dagingnya. Soal kalah dan rugi tidak dipedulikan, yang penting main judi, sanggup bergadai dan berhutang walau pun dapur rumah tidak berasap.

Umat Islam sekalian,
Amalan judi itu amat jijik, kerja maksiat, dan dosa besar bahkan dianggap najis dan perbuatan syaitan yang boleh membawa kepada permusuhan. Dan menghalang daripada ingatkan Allah Subhanahu Wataala. Wang judi itu bukan hanya haram dimakan tetapi juga haram digunakan untuk segala-gala hal seperti membeli pakaian, membina rumah dan sebagainya.  Ingatlah saudara-saudara sekalian bahawa harta-harta dan wang yang diperolehi daripada jalan judi – apa pun bentuk dan cara - tidak akan berkekalan dan tidak berkat. Wang judi tidak menjadikan kita seorang hartawan atau jutawan, tetapi sebaliknya menjadikan kita seorang yang suka berdusta, pemarah, tidak amanah, mudah berhutang, tetapi tidak mahu membayarnya dan bermacam-macam lagi sifat yang tercela.

Yang anehnya sungguh pun telah diketahui akan bahaya- bahaya dan keburukan-keburukan judi itu, tetapi ia masih digemari dan berleluasa, ada di antaranya menjadikannya pekerjaan tetap dan sumber mata pencarian.

Kaum muslimin, marilah kita memelihara diri kita dari terpedaya dengan godaan syaitan dan tidak melibatkan diri dengan perjudian, mudah-mudahan kehidupan kita mendapat berkat dan diredhai Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surat Al-Maa-idah, ayat 91:-

Tafsirnya : 
Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang, oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||