Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

11 Jamadilawal 1424/11 Julai 2003

RAJA ATAU KEPALA NEGARA ADALAH TERMASUK SABAGAI ULUL-AMRI

SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA 
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, 
SULTAN  DAN  YANG DI-PERTUAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita mendekatkan diri kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi apa-apa jua larangannya, mudah-mudahan kita beroleh rahmat, amin.

Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana sekali lagi kita dapat meraikan hari ulangtahun keputeraan Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-57 tahun pada 15 Julai ini.

Hari tersebut adalah hari yang ditunggu-tunggu kedatangannya oleh semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini dengan penuh perasaan gembira. Ini menunjukkan betapa eratnya hubungan raja dan rakyat di negara ini di mana raja mendapat sokongan dari rakyat dan rakyat pula mendapat limpah dan nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala di atas ketaatan kepada raja yang dikasihi.

Hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya :  
Dari 'Auf bin Malik, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:  Sebaik-baik pemimpin kamu ialah orang
yang kamu kasihi dan pemimpin itu pula mengasihi kamu, kamu mendoakan mereka itu dan mereka pula  mendoakan kamu.

Kaum muslimin sekalian,
Selaku rakyat dan penduduk di negara ini, kita amat beruntung kerana mempunyai pemimpin yang bijaksana lagi berwibawa. Semenjak baginda menaiki takhta, Negara Brunei Darussalam telah mengalami perubahan, seiring dengan era kemajuan dan era kemodenan sejagat, namun demikian, negara tetap menjunjung dan mempertahankan kedaulatan agama Islam, penghayatan ajaran-ajaran Islam tetap menjadi landasan pentadbiran negara dan menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Sepanjang sejarah pemerintahan beraja negara kita, sejak beberapa kurun yang lalu, ternyata rakyat dapat hidup dengan aman dan bahagia dan bersatu padu di bawah pemerintahan raja yang datang silih berganti. Dalam konteks negara kita, perpaduan dapat dikukuhkan dan diujudkan melalui sistem pemerintahan beraja, di mana raja merupakan tunggak utama, dan berkuasa penuh, malah juga menjadi ketua agama yang berkewajipan untuk memelihara kesucian agama Islam di negara ini.

Ahli Jumaat sekalian,
Kita patut bersyukur dan berbangga kerana mempunyai seorang raja yang bijaksana dan berwibawa yang mampu membawa ke arah kecemerlangan dan kemakmuran negara. Inilah nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita dengan mengurniakan seorang raja yang soleh dan taat beragama, yang bukan sahaja akan memancarkan rahmat, kebahagiaan dan keberkatan, tetapi juga akan menjadi satu jaminan bahawa negara kita akan selamat dari sebarang anasir buruk dan pengaruh yang negatif.

Kita selaku rakyat yang berlindung di bawah pemerintahan baginda dan selaku penduduk yang bernaung di bumi Negara Brunei Darussalam ini, hendaklah melahirkan ketaatan dan kesetiaan yang tiada berbelah bahagi kepada pemimpin raja kita, sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa’ ayat 59 :-

Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu  kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah dan kepada Ulul-Amri (orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu).

Raja atau kepala negara adalah termasuk sebagai Ulul-Amri, perintah ketua wajib dipatuhi, dan dilaksanakan selagi bukan perintah ke arah dosa dan maksiat.

Sebagaimana hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya
:  
Dari Abdillah, dari Rasulullah Sallallahu  Alaihi Wasallam sungguhnya baginda bersabda : Seorang muslim itu wajib taat dan mendengar perintah ketua atau pemimpin samada rela atau tidak, selagi ia tidak menyuruh berbuat maksiat.

Ketaatan kepada raja bererti mendukung dan menyokong segala usaha-usaha pembangunan yang dirancang untuk faedah dan kebajikan bersama. Taat kepada undang- undang negara semata-mata untuk kehidupan bermasyarakat dan bernegara dalam keadaan aman damai dan harmoni, sehingga dengan keadaan seperti ini kita akan dapat melaksanakan perintah-perintah Allah Subhanahu Wataala dengan lebih sempurna.

Selaku rakyat yang beragama Islam, marilah kita hadir beramai-ramai pada petang hari Isnin 14 Julai ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara, untuk sembahyang Maghrib dan Isya’ berjemaah serta membaca tahlil sempena majlis kesyukuran ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita pohonkan kepada Allah Subhanahu Wataala supaya raja kita sentiasa dilindungi dan dirahmati serta dapat memimpin rakyat dengan adil menurut petunjuk Allah Subhanahu Wataala, dan semoga rakyat akan terus menikmati kesejahteraan kerukunan dan keberkatan sepanjang hayat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa’ ayat 59 :-

Tafsirnya : 

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah dan kepada Ulul-Amri (orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu) kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulnya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.  Yang demikian adalah lebih baik bagimu dan lebih elok pula kesudahannya.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||