Saudara muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita
kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa, dengan kita
laksanakan segala titah perintahnya dan menjauhi segala larangan dan
tegahannya.
Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Satu hal yang tidak dapat
dinafikan oleh kita ialah kerjasama, tolong-menolong dan
bantu-membantu dalam kebaikan dan ketakwaan adalah merupakan ajaran
Islam yang sangat-sangat dituntut untuk kita laksanakan. Perkara
tolong-menolong dan bantu-membantu dalam kebaikan dan ketakwaan itu
dianjurkan oleh agama Islam tidak mengira bangsa, paras rupa, warna
kulit atau budaya dan ianya bersandarkan kepada kalimah yang suci La
laha Illallahu Muhammadur-Rasulullah. Ikatan agamalah yang menjalin
hubungan mesra ukhuwah Islam ini. Sifat tolong-menolong dan
bantu-membantu ini boleh menimbulkan perasaan hormat-menghormati
kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi maka akan terbinalah kehidupan
yang aman damai, sejahtera dan harmoni serta padu di kalangan umat
Islam.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hujuraat,
ayat 10 :-
Tafsirnya :
Bahawasanya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di
antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu. Dan bertakwalah kepada
Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Agama Islam menegaskan bahawa setiap orang yang beriman
itu adalah bersaudara dengan mukmin yang lain. Persaudaraan yang
diikat oleh tali akidah dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala
serta rukun iman yang lain bukanlah ikatan yang meliputi batas
keturunan, pangkat, darjat, bangsa, warna kulit dan kedudukan.
Demikianlah persaudaraan sejagat yang tidak mengenal
batas negeri dan negara. Tidak mengenal perbezaan bahasa, pertuturan
dan adat budaya. Semuanya berpadu dalam kepercayaan dan pegangan,
Tuhan yang maha esa iaitu Allah Subhanahu Wataala. Rasul Allah
terakhir iaitu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kiblat hanya
satu iaitu Kaabatullah di Mekah, kitab pegangan hanya satu iaitu Al-Quran
Al-Karim.
Di atas dasar persaudaraan itu, maka kewajipan
seseorang saudara terhadap saudaranya yang lain adalah tidak suka dan
senang jika melihat saudaranya itu ditimpa kemudaratan, malah ia wajib
menolak dan segala kemudaratan itu. Seandainya mereka menderita sakit.
Maka ia turut merasai penderitaan itu, turut berdukacita dengan apa
yang dialami mereka.
Perkara tersebut jelas digambarkan dalam maksud hadith
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :-
Perbandingan orang Islam dalam hal kemesraan dan kasih
sayang di antara mereka bagaikan sebatang tubuh yang satu, apabila
mengadu sakit salah satu anggota, turut menderita seluruh anggota
badan yang lain dengan berjaga malam dan demam. (Riwayat Al-Imam
Al-Bukhari).
Ahli Jumaat sekalian,
Kita telah mendengar dan menyaksikan sendiri
melalui media masa mengenai dengan keadaan umat Islam di Kemboja.
Mereka sangat memerlukan bantuan dan pertolongan. Keadaan dan
kehidupan mereka adalah dalam serba kekurangan seperti kekurangan
mushaf, kitab-kitab agama, guru-guru, imam dan lain-lain. Keadaan
seumpama itu mereka alami antara lain disebabkan oleh penghapusan
besar-besaran terhadap orang Islam di negara tersebut semasa
pemerintahan Khmer Rouge. Kekejaman, penyeksaan dan pembunuhan
beramai-ramai telah dilakukan oleh pihak komunis terhadap umat Islam.
Di samping umat Islam Kemboja itu hidup dalam
serba kekurangan, kekurangan dari segi ekonomi, pendidikan, bangunan
sekolah, masjid-masjid dan lain-lain umat Islam Kemboja juga
menghadapi masalah pencemaran akidah yang sangat serius.
Berbagai-bagai pengaruh telah menyusup masuk di kalangan umat Islam
disana. Selama pemerintahan komunis, agama Islam seolah-olah telah
lenyap di Kemboja kerana kegiatan umat Islam adalah sangat terhad.
Setentunya kita tidak mahu saudara Islam kita
hidup menderita dalam keadaan sedemikian. Kita wajib membantu mereka
mempertahankan kedaulatan agama dan martabat umat Islam. Selaku umat
Islam yang mempunyai ikatan persaudaraan yang bersandarkan keimanan
dan keagamaan maka kita hendaklah peka dengan apa yang dialami oleh
saudara Islam kita di Kemboja. Walaupun berlainan negara, kita patut
menghulurkan bantuan dan pertolongan untuk membangunkan semula umat
Islam di Kemboja itu.
Atas dasar tanggungjawab dan belas kasihan kita
terhadap mereka, maka marilah kita menghulurkan derma atau sedekah,
walaupun kecil atau sedikit sumbangan itu lebih bermakna dan besar
ganjarannya di sisi Allah Subhanahu Wataala.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hadid
ayat 7 :-
Tafsirnya :
Berimanlah
kamu kepada Allah dan Rasulnya, dan belanjakanlah pada jalan
kebajikan sebahagian dari harta benda pemberian Allah yang
dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang
beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan sabahagian dari
harta itu pada jalan Allah, mereka tetap beroleh pahala yang besar.
Ahli Jumaat yang diberkati Allah,
Dalam hubungan ini Negara Brunei Darussalam
telah menubuhkan satu jawatankuasa bantuan kepada penduduk Islam
Kemboja yang antara lain bertujuan sebagai satu usaha di atas rasa
tanggungjawab dan peri kemanusiaan untuk memberi bantuan dan
pertolongan kepada penduduk-penduduk Islam Kemboja yang sangat
memerlukan iaitu dengan mengumpulkan derma atau sedekah
seangkat-angkat hati dan sumbangan pakaian yang bersesuaian dari
seluruh rakyat dan penduduk negara ini. Semata-mata bagi meringankan
beban kehidupan yang sedang dialami oleh penduduk Islam Kemboja. Di
samping itu Negara Brunei Darussalam juga telah dan akan menghulurkan
bantuan seperti Al-Quran dan kitab-kitab agama bagi membantu
meningkatkan pengetahuan agama Islam mereka.
Bertepatan dengan itu juga Urusetia Bantuan Derma Penduduk Islam Kemboja telah menempatkan tabung-tabung di
masjid-masjid, surau-surau, balai ibadat dan tempat-tempat lain yang
bersesuaian di seluruh negara semata-mata bagi memberi bantuan kepada
mereka.
Marilah kita hulurkan sedekah atau apa jua
bentuk pertolongan samada banyak atau sedikit agar kita mendapat
naungan dan rahmat Allah Subhanahu Wataala serta menyelamatkan diri
dan negara kita dari ditimpa apa juga kecelakaan.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hadid
ayat 11:-
Tafsirnya :
Siapakah orang
yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik
(ikhlas) supaya Allah melihat gandakan balasannya? Dan selain itu ia
akan beroleh pahala yang besar.