Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

28 Rabiulawal 1424/30 Mei 2003

SEMPENA ULANGTAHUN ANGKATAN BERSENJATA DI RAJA BRUNEI

 

Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa serta meningkatkan keimanan kita dengan melakukan segala suruhannya dan meninggal kan segala apa-apa jua larangannya.

Muslimin yang berbahagia,
Tarikh 31 Mei adalah tarikh yang bersejarah dan menjadi ristaan bagi Negara Brunei Darussalam dan generasi yang akan datang, tarikh tersebut adalah hari ulangtahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Tugas Angkatan Bersenjata adalah satu tugas yang murni yang berkewajipan untuk mempertahankan negara daripada segala pencerobohan musuh dan sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.  Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam mempunyai pasukan angkatan bersenjata yang berkemampuan menjadi benteng utama kepada pertahanan negara. Dan kita sebagai rakyat dan penduduk negara ini patut bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala dan berbangga kerana setakat ini angkatan bersenjata kita telah memberi sumbangan yang tidak ternilai harganya kepada keamanan dan juga kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.

Tugas mempertahankan kedaulatan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah Subhanahu Wataala, seandainya kita gugur dalam menjalankan tugas insya-Allah kita akan mendapat pahala dari Allah Subhanahu Wataala.  

Ini bertepatan dengan hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud dari Mu’az Radiallahu-Anhu dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :-

Maksudnya :
Barangsiapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar masa orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barangsiapa yang bermohon kepada Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia mati atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya balasan syahid. Dan barangsiapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika luka, warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan wangi kasturi”.
 
(Riwayat Al-Imam Abu Daud dan At-Taermizi).

Dan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi :- 

Maksudnya :
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya di dalam syurga itu ada seratus darjah, yang disediakan Allah Subhanahu Wataala bagi orang yang berjihad pada jalan Allah.  Di antara satu darjah dengan darjah yang lain seperti di antara langit dan bumi. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,
Sesungguhnya kejayaan dalam medan pertempuran atau pun dalam mempertahankan negara, tidak hanya terletak ramainya bilangan tentera serta kelengkapan peralatan yang canggih sahaja. Tetapi perlu juga kepada kekuatan dalaman iaitu kekuatan mental, jiwa dan rohani. Inilah sikap yang patut ada pada diri seseorang perajurit, dengan adanya semangat yang kuat, kental dan berani, tidak takut pada kekalahan dan kematian, tidak gentar menghadapi musuh dan tidak mudah putus asa, pasti dapat menjadikan mereka tentera yang berkualiti dan berdisiplin. Kekuatan hakiki tentera Islam itu bukanlah terletak dari segi keramaian tentera atau kecanggihan peralatan perangnya sahaja tetapi bersumber dari kekuatan Imam dan ikhlas berjuang kerana Allah Subhanahu Wataala semata-mata dan ketaatan kepada ketua.

Jika kita imbas kembali perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam mempertahankan agama Islam, banyak perkara yang dapat kita jadikan iktibar dan contoh dalam kita menjalankan tugas sebagai anggota angkatan bersenjata. Antaranya seperti dalam peperangan Badar, angkatan tentera Islam yang bilangannya  lebih kecil yang hanya seramai tiga ratus tiga belas orang, dibandingkan dengan bilangan tentera musyrikin mekah yang seramai seribu orang, tetapi dengan keimanan yang kuat, keikhlasan dalam berjihad, dan banyak berdoa kepada Allah Subhanhau Wataala, dan sentiasa berzikir dan bersatu hati dalam mempertahankan agama dan negara. Akhirnya tentera Islam dapat mengalahkan tentera musyrikin  di dalam peperangan Badar tersebut. Walau pun tentera musyrikin lebih ramai bilangannya disertai dengan kelengkapan yang mencukupi.

Wahai kaum muslimin, ingatlah bahawa apa yang penting juga ialah peranan dan kebijaksanaan ketua dalam mengatur strategi  peperangan, di samping mendapat bantuan daripada Allah Subhanahu Wataala inilah contoh atau formula yang sangat-sangat diperlukan untuk ditanamkan ke dalam setiap jiwa anggota  angkatan bersenjata Negara Brunei Darussalam bagi menjaga dan memastikan keimanan negara, kesentosaan dan kestabilan hidup rakyatnya sentiasa terjamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali 'Imran, ayat 160 :- 

Tafsirnya :
Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada siapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Allah tidak memberikan pertolongan kepada kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah menetapkan yang demikian? Dan ingatlah pada Allah jualah  hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Oleh itu, dalam kita memperingati hari ulang tahun Angkatan Bersenjata ini, para anggota tentera sekalian wajiblah mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wataala, berwaspada dan sentiasa mengharap keredhaan Allah Subhanahu Wataala. Dengan niat yang suci, bekerja dengan jujur dan sentiasa mengikut ajaran agama Islam, maka sudah pasti perkhidmatan tersebut akan mendapat lindungan, keredhaan, pertolongan  dengan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wataala dan seterusnya agama, bangsa dan negara akan selamat dan terpelihara.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfal, ayat 45 :-

Tafsirnya : 
Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan suatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatlah dengan Allah berdoa banyak-banyak, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||