SEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SALLALLAHU
ALAIHI WASALLAM
Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
bersungguh-sungguh serta mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan
segala apa jua larangannya. Mudah-mudahan
kita beroleh rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala jua.
Muslimin
yang berbahagia,
Alhamdulillah, kita sekarang sudah berada di dalam bulan Rabiulawal,
bulan di mana nabi besar junjungan kita Saiyidina Muhammad Sallallahu
Alaihi Wasallam diputerakan. Berbagai-bagai
acara keagamaan telah disusun seperti mengadakan majlis-majlis dikir
maulud di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat,
ceramah-ceramah agama dan sebagainya. Semata-mata untuk memperingati hari kelahiran baginda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam dan sebagai tanda kesyukuran dan kasih umat Islam di
negara ini terhadap pemimpin agong yang menjadi manusia pilihan Allah
Subhanahu Wataala.
Kelahiran baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, pemimpin agong
umat sejagat yang tiada taranya di muka bumi ini telah membawa rahmat
kepada alam semesta. Kerana
baginda, dunia yang gelap bercahaya terang
benderang, kesyirikan dan kekufuran bertukar menjadi ketauhidan dan
ketaatan kepada Allah Subhanahu Wataala.
Lenyapnya keganasan dan kekejaman, tegaknya keadilan dan seterusnya
wujud suasana aman sejahtera serta hidup dalam berkasih-sayang. Kelahiran baginda benar-benar telah membawa perubahan dalam
berbagai-bagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat dari Allah Subhanahu Wataala mengutus
junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ke muka bumi ini
sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anbiyaa’, ayat
107 :-
Tafsirnya :
Dan tiada kami mengutus engkau wahai Muhammad melainkan untuk
menjadi rahmat bagi seluruh alam.
Ahli
Jumaat yang dirahmati Allah,
Perjuangan baginda dalam menyebarkan Dakwah Islamiah penuh dengan
peristiwa pahit dan getir. Baginda
Sallallahu Alaihi Wasallam menempuh berbagai ancaman dan halangan,
menghadapi bermacam-macam kesengsaraan, penderitaan, penindasan dan
sebagainya. Namun baginda
tetap tabah, tidak putus asa dalam menjalankan perintah Allah Subhanahu
Wataala yang disertai dengan keazaman, kesabaran dan ketabahan yang
akhirnya berjaya menegakkan kebenaran. Betapa besar pengorbanan baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh-musuh Islam.
Sebagai
umat Islam yang cinta dan kasih terhadap junjungan besar Nabi kita
Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, maka sepatutnya kita mengenang jasa
baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengadakan
acara-acara keagamaan. Acara-acara
yang diadakan itu bukanlah hanya dilihat pada zahirnya sahaja, tetapi
hendaklah dihayati ajaran yang terkandung di dalamnya.
Inilah tekad kita sebagai umat Islam dalam mengharungi dan
mengukuhkan lagi ingatan dan kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam yang telah banyak menabur jasa bakti bukan
sahaja khusus kepada umat Islam tetapi juga tamadun dan peradaban manusia
seluruhnya.
Saudara
muslimin yang diberkati Allah,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah manusia pilihan, manusia
istimewa, maka sudah setentunyalah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dilengkapkan oleh Allah Subhanahu Wataala dengan sifat-sifat
keutamaan dan budi pekerti yang tinggi dan mulia, dengan ketabahan hati,
peribadi yang luhur dengan jiwa yang besar dan hati yang suci bersih. Justeru kerana sahsiah
peribadi yang unggul inilah terletaknya baginda di dalam melaksanakan
tugas yang diamanahkan kepada baginda, iaitu
menegakkan agama Islam, keperibadian baginda itu telah dicatatkan
dalam Al-Quran sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Ahzab,
ayat 21:-
Tafsirnya
:
Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang
yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik pada hari
akhirat dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.
Kehidupan baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam itu mengandungi
pengajaran dan contoh teladan yang baik, jika diikuti akan menjamin
kehidupan yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh baginda Sallallahu Alaihi
Wasallam dalam ketaatan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala adalah
amat banyak yang merangkumi seluruh lapangan kehidupan manusia, ini dapat
dilihat dalam bidang ibadat, siasah pentadbiran, kemasyarakatan dan
pergaulan, akhlak dan peribadi, baginda juga sebagai pemimpin agama,
negara, pemimpin rumahtangga, sebagai suami, bapa, pendidik, pendakwah,
pejuang dan sebagainya.
Kejayaan
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang amat ketara sekali ialah
apabila baginda berjaya merubah jiwa manusia secara total.
Daripada sifat kebathilan kepada kebenaran, daripada sifat
kebinatangan yang wujud dalam hati manusia telah dipadamkan oleh cahaya
kebenaran, hasilnya lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah Subhanahu
Wataala, cinta kepada kebaikan dan cinta kepada akhirat. Contohnya Saiyidina Umar bin Al-Khattab Radiallahu-Anhu yang pada
mulanya seorang yang kuat memusuhi Islam telah menjadi seorang yang mulia
dan dihormati, begitulah halnya Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang
tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyiksaan musuh-musuh Islam
demi menegakkan agama Islam.
Dalam
contoh yang lain, sebelum baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dilantik
menjadi pesuruh Allah, baginda telah memperlihatkan kepimpinan baginda. Perkara ini dapat kita saksikan dalam satu peristiwa
di mana masyarakat arab dilanda kekecohan yang hampir membawa
kepada pertumpahan darah, bila mana ketua kaum masing-masing menuntut
untuk meletakkan hajar aswad ditempatnya yang asal selepas proses baik
pulih kaabah selesai dijalankan dengan kebijaksanaan baginda, baginda
telah dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi tanpa meninggalkan
kesan, malahan diterima oleh semua pihak dengan senang hati.
Di
dalam menunaikan amanah pula, Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam telah dipertanggungjawabkan mengurus
perniagaan milik Saiyidatina Khadijah Radiallahu-Anha, di mana Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam telah menunaikan amanah tersebut dengan baik
dan sempurna sehingga meyakinkan dan tidak menimbulkan keraguan kepada
Saiyidatina Khadijah Radiallahu-Anha.
Dengan sifat amanah yang baginda miliki itulah yang menyebabkan
baginda digelar “Al-Amin”.
Ahli
Jumaat sekalian,
Ingatlah wahai kaum muslimin, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak
meninggalkan apa-apa untuk dipusakai, tiada meninggalkan harta, tiada
rumah, gedung, kenderaan dan sebagainya. Tetapi hanya meninggalkan dua pusaka yang amat berharga iaitu Al-Quran
dan Al-Hadith.
Sebagaimana
sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith riwayat Al-Imam
Al-Hakim :-
Maksudnya
:
"Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua
perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selamanya kamu berpegang
kepada keduanya kitab Allah dan Sunnah Nabi.
Maka
marilah kita sama-sama sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wataala dan
jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan membanyakkan bersalawat
kepada baginda mudah-mudahan kita semua mendapat syafaat baginda di
akhirat kelak, Insya-Allah.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Ahzab, ayat 56 :-
Tafsirnya
:
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatnya bersalawat ke atas
Nabi, Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu ke atas Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.