Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

27 Rabiulakhir 1424/27 Jun 2003

NIKMAT SIHAT DAN MASA LAPANG


Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-
Maksudnya :
 
Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya dengannya ialah waktu sehat dan masa lapang.
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Nikmat adalah satu anugerah oleh Allah Subhanahu Wataala kepada makhluknya, umpamanya seseorang yang miskin telah diberi rezeki yang dapat memperbaiki kehidupannya daripada susah kepada senang atau seorang yang jahil yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala ilmu pengetahuan yang akhirnya membolehkan ia mendapat pekerjaan atau hati yang sentiasa resah, khuatir, bertukar menjadi hati yang tenang, tenteram, aman dan damai atau suami yang mempunyai seorang isteri yang taat setia, dan penuh kejujuran atau isteri yang mempunyai suami yang bertanggungjawab dan sentiasa memberikan kasih sayang atau ibu bapa yang mendapat zuriat yang memberi kegembiraan, kejayaan dan kebahagian keluarga. Ini adalah antara contoh-contoh nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hambanya, kerana nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hambanya di dunia ini amat banyak tiada terhitung oleh kita. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nahl, ayat 18 :-

Tafsirnya :  
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkannya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,
Dalam kita mengecapi nikmat yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala, apa yang perlu ke atas kita ialah, mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan seperti nikmat badan sihat, nikmat rezeki, nikmat umur dan sebagainya.

Bersyukur ialah dalam erti kata kita mengerjakan segala suruhan Allah Subhanahu Wataala dan meninggalkan segala larangannya. Melakukan ibadat dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala, bukan untuk yang lain daripadanya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nahl ayat 114 :-

Tafsirnya :

Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata.

Tetapi wahai kaum muslimin apa yang menjadi tabiat manusia dewasa ini ialah selalu lalai dan lupa mengingati Allah Subhanahu Wataala. Lupa bahawa Allah Subhanhau Wataala yang memberikannya nikmat dan kesenangan, kemewahan, kekayaan, zuriat dan keturunan, malah lebih buruk lagi ada yang bersikap sombong, megah diri dan mengingkari Allah Subhanahu Wataala. Melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, kekayaan yang diperolehi digunakan untuk berpoya-poya  dan seronok-seronok, anak-anak yang dikurniakan diabaikan dan dibiarkan mengikut urusan kehidupan yang kurang baik dan terpesong dari ajaran agama Islam, tidak dilatih bersembahyang dibiarkan mendedahkan aurat mereka, makan minum tidak mengira samada ianya daripada halal atau pun yang haram.

Ahli Jumaat sekalian,
Dua nikmat yang ramai manusia terpedaya olehnya ialah nikmat sihat dan masa lapang. Nikmat sihat iaitu sihat tubuh badan daripada sebarang penyakit, daripada sebarang jangkitan dan sebagainya. Masa inilah manusia selalu lalai mengingati Allah Subhanahu Wataala, tinggal sembahyang, tinggal puasa dan macam-macam lagi, tetapi akan sedar dan mula insaf apabila badan sudah lemah dan tidak berdaya lagi akibat sakit dan terkena penyakit, masa inilah baru ingat tikar sembahyang, ingat beramal ibadat, ingat hendak bersedekah dan sebagainya.

Pada ketika inilah timbul penyesalan demi penyesalan yang mana selama ini nikmat Allah Subhanahu Wataala dipersia-siakan, tidak digunakan sebaik-baiknya untuk menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala. Waktu sihat adalah waktu yang paling baik  memperbanyakkan amal ibadat dan lain-lain perkara yang berkebajikan.

Sebagaimana hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :- Maksudnya : 
Daripada Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :  Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati
. (Riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Zaman muda dan masa sihat adalah dua keadaan yang paling baik untuk kita mengerjakan amal ibadat dan amal kebajikan yang lain, kerana apabila seseorang  telah meningkat usia dan tua atau ditimpa sakit, lemah dan sebagainya. Pada ketika itu baru hendak beramal ibadat, setentunya akan menghadapi bermacam-macam masalah dan sukarlah baginya menunaikan amal ibadat sepenuhnya.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menggunakan nikmat sihat yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala dengan kita mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang berfaedah, berkebajikan, beramal ibadat, berguna dan bermanfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Ashr, ayat 1 - 4 :-

Tafsirnya :
 
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula perpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Kaum muslimin sekalian,
Dunia ini adalah tempat kita menyediakan bekalan untuk akhirat. Oleh itu kita perlu sedar bahawa tubuh badan yang sihat dan akal fikiran yang waras adalah sebesar-besar nikmat anugerah Allah Subhanahu Wataala, yang sewajarnya digunakan dengan sebaik-baiknya demi  dunia dan di akhirat.

Begitu juga waktu lapang adalah merupakan satu peluang untuk kita melakukan perkara-perkara yang berfaedah, bukan untuk dihabiskan pada jalan yang salah dan dilarang oleh agama Islam.

Apa yang penting bagi kita ialah bersyukur atau berterima kasih kepada Allah Subhanahu Wataala terhadap nikmat-nikmat yang diberikannya dengan kita mempergunakan nikmat-nikmat tersebut untuk tujuan-tujuan kebaikan dan kebajikan, beramal ibadat serta menjauhkan diri dari larangan-larangan Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ibrahim, ayat 7 :-
Tafsirnya :
Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu :  “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amat pedih”.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||