Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

12 Ramadhan 1424/07 November 2003

NUZUL AL-QURAN

Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,
Ramadhan adalah bulan yang mulia, bulan yang banyak keberkatan di dalamnya. Amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadhan akan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda. Di bulan ini juga telah berlaku berbagai-bagai peristiwa penting dalam sejarah Islam, antaranya turunnya kitab suci Al-Quran yang juga dikenali sebagai Nuzul Al-Quran.

Al-Quran adalah mukjizat agung junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, yang diturunkan Allah Subhanahu Wataala ke muka bumi ini.  Al-Quran adalah pemimpin ke jalan kebenaran dan kesempurnaan dan pelita hidup kepada manusia baik di dunia mahu pun di akhirat.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Kitab suci Al-Quran diturunkan adalah membawa rahmat kepada sekalian umat Islam, menerangi segala aspek kehidupan, menjadi sumber ilmu yang lengkap yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Kehebatannya mencakupi segala bidang baik dari segi keimanan, ibadat, kemasyarakatan dan juga masalah keduniaan. Kerana inilah juga Al-Quran menjadi petunjuk kepada kita umat Islam yang menjadi pemandu ke arah kesempurnaan hidup.

Al-Quran kitab suci yang agung mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya yang tidak boleh ditandingi oleh kitab-kitab lain. Al-Quran juga memiliki keindahan dan kehalusan bahasa yang sangat mengkagumkan, di mana setiap ayatnya mempunyai pengertian yang sangat mendalam. Oleh itu Al-Quran adalah wahyu yang kekal dan sentiasa terpelihara, ini dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hijr ayat 9 :-

Tafsirnya :
Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Begitulah kehebatan Al-Quran, tidak seperti kitab-kitab sebelumnya yang ada di antaranya telah hilang dan isi kandungannya telah diselewengkan. Bahkan tidak kurang juga yang ditokok tambah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Wahai kaum muslimin,
Apa yang perlu bagi kita umat Islam ialah untuk mempraktikkan apa-apa yang terkandung di dalam Al-Quran iaitu mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan larangannya. Jika perkara itu dilakukan, maka setentunya akan menjadikan kekuatan kepada umat Islam. Memandangkan perkara melaksanakan ajaran Al-Quran ini merupakan tunjang kepada kekuatan umat Islam, maka musuh-musuh Islam berusaha melumpuhkan umat Islam dengan mempertikaikan dan mengelirukan fahaman umat Islam terhadap Al-Quran. Bahkan musuh Islam itu berusaha dan mencuba untuk mengadakan ayat mengikut fahaman mereka yang mereka rasakan boleh menandingi ayat Al-Quran, malangnya hasrat mereka tidak tercapai untuk mengadakan perkara tersebut yang sebanding dengan Al-Quran kerana tidak ada satu makhluk pun di dunia ini yang mampu berbuat demikian.  Perkara ini jelas dinyatakan menerusi firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’ ayat 88 :-

Tafsirnya :
Katakanlah wahai Muhammad:  sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walau pun mereka bantu-membantu sesama sendiri
.

Di antara kelebihan kitab suci Al-Quran itu ialah ia merupakan penawar kepada segala penyakit, ia juga dapat menghindarkan seseorang daripada kesesatan dan kejahilan, memberi keyakinan dan petunjuk terhadap keraguan dan kegelisahan, menjadi pembimbing ke arah iktikad dan kepercayaan yang betul dan menggelakkan berlakunya kesesatan. Oleh itu memanglah benar sebagaimana di dalam Al-Quran yang mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah ubat kepada segala penyakit baik zahir mahupun batin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’, ayat 82 :-
  

Tafsirnya :
Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Sidang Jumaat sekalian,
Sebagaimana yang telah kita maklumi bahawa Al-Quran itu adalah sebuah kitab suci yang mulia, menjadi pedoman dan panduan kepada umat Islam yang sepatutnya kita hormati dan kita muliakan, di antara cara untuk kita menghormati dan muliakan kitab suci Al-Quran itu ialah dengan memperbanyakkan membacanya kerana dengan cara demikian, kehidupan kita akan sentiasa dilimpahi dengan rahmat dan keberkatan dan ganjaran pahala. Rahmat, keberkatan dan pahala itu bukan saja diperolehi oleh pembaca, bahkan juga akan dinikmati oleh mereka yang benar-benar mendengar dan menghayati bacaan ayat-ayat Al-Quran tersebut.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-A’raaf ayat 204 :- 

Tafsirnya :
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya, supaya kamu beroleh rahmat.

Wahai kaum muslimin,
Perlulah kita ambil perhatian dan ingatan bahawa membaca Al-Quran juga mempunyai peraturan-peraturan yang tertentu yang wajib diikuti antaranya ialah membacanya dengan betul serta bertajuid dan tidak membaca sambil lewa. Bacalah dengan khusu’ dan tawaduk, Insya-Allah kita akan dapat merasakan ketenangan, keinsafan serta menimbulkan rasa cinta terhadap Allah Subhanahu Wataala.

Oleh itu, lazimkanlah diri kita untuk membaca Al-Quran pada setiap masa. Di samping itu, didiklah anak kita sedari kecil supaya mencintai Al-Quran. Ajarlah mereka membaca Al-Quran, mematuhi ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya, mudah-mudahan dengan cara demikian Insya-Allah kita dan anak-anak kita akan menjadi orang yang taat mengikut perintah Allah Subhanahu Wataala, mempunyai akhlak dan peribadi yang mulia mengikut petunjuk Al-Quran.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sempena kita berada di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita mengambil kesempatan untuk menambah serta melipat gandakan usaha kita untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala dengan memperbanyakkan sembahyang sunat, melakukan solat tarawih dan witir, berzikir, berdoa dan membaca ayat suci Al-Quran, dan melakukannya dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala. Kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala semoga ibadat yang kita lakukan akan mendapat ganjaran pahala, rahmat dan kebahagiaan yang berkekalan.  Amin Ya Rabbal-'Aalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 :-

Tafsirnya :
Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk, dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||