MENJELANG
SYAWAL
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu
Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala
suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi
insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin
yang berbahagia,
Kita telah pun memasuki hari-hari terakhir bulan Ramadhan. Kini kedatangan
1 Syawal semakin dirasakan. Setentunya kita selaku umat Islam merasa
gembira dengan kedatangannya, tetapi kita merasa kesedihan untuk
meninggalkan Ramadhan yang penuh rahmat dan keberkatan ini. Tidak dapat
dinafikan sebahagian besar di antara kita telah pun membuat
persiapan-persiapan untuk menyambut kedatangan ‘Aidilfitri’ yang mulia,
antaranya keperluan-keperluan rumah, pakaian, makanan dan minuman.
Semua ini adalah semata-mata untuk meraikan hari raya agar sentiasa
dalam suasana kegembiraan.
Sememangnya
agama Islam tidak menghalang kita dari membuat segala macam persiapan
asalkan ianya tidak bertentangan dengan lunas-lunas ajaran agama Islam.
Apa yang penting diamalkan ialah sifat kesederhanaan dan tidak
berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran yang bertentangan
dengan latihan rohani yang telah kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan.
Kerana sifat pembaziran itu adalah perbuatan syaitan sebagaimana firman
Allah Subhanahu Wataala :-
Tafsirnya
:
Dan janganlah kamu membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.
Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan,
sedang syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada tuhanNya’.
(Surah Al-Israa :
26 dan 27).
Ahli
Jumaat sekalian,
Dalam kesibukan kita membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan
Syawal, perlulah juga kita ingat agar jangan sampai kita terlupa kewajipan
yang perlu kita laksanakan iaitu membayar zakat khususnya ‘Zakat Fitrah’.
Kewajipan ‘Zakat Fitrah’ itu adalah merupakan pelengkap ibadat
puasa kita dan juga sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang
berlaku dalam kita mengerjakan ibadat puasa. Bahkan juga sebagai
penghubung yang boleh menghapuskan jurang perbezaan di antara si kaya
dengan si miskin. Selain daripada kewajipan zakat fitrah kita juga
diwajibkan untuk mengeluarkan zakat harta kekayaan iaitu yang dihasilkan
melalui perniagaan, penternakan dan lain-lain lagi yang diwajibkan
mengikut hukum syara’, kerana dari harta-harta yang terkumpul itu
dikhuatiri terdapat hak golongan-golongan yang dinyatakan dalam Al-Quran
sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Taubat, ayat 60
:-
Tafsirnya
:
Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, dan
orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang muallaf yang
dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya,
dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah
dan orang-orang musafir yang keputusan dalam perjalanan. Ketetapan hukum
yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datang dari Allah, dan
ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Dalam kemeriahan kita menyambut ketibaan hari raya, kita juga jangan lupa
kepada mereka yang telah pun meninggalkan kita iaitu meninggal dunia.
Kelaziman yang kita lakukan di negara kita ialah menziarahi kubur,
lebih-lebih lagi ketika berada di bulan Ramadhan. Kenapakah kita dianjur
menziarahi kubur? Antara lain ialah supaya kita sentiasa ingat kepada mati
dan sentiasa insaf dan sedar agar tidak terlalai daripada mengingati Allah
Subhanahu Wataala dan hanya mengejar kesenangan dan kemewahan hidup di
dunia.
Perlu
diingat dalam kita menziarahi kubur itu, kita hendaklah mematuhi adab-adab
yang telah digariskan oleh agama Islam, antaranya ialah sebelum ke kubur,
kita hendaklah berwudhu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
Apabila sampai di tanah perkuburan, kita disunatkan memberi salam kepada
ahli kubur, yang berbunyi : “Assalamualaikum Ya Ahlal-Kubur’
ataupun “Assalamualaikum Ya Ahlad-Diyar” dan setelah itu sunat
bagi kita membacakan kepada ahli kubur seperti surah Al-Fatihah, surah
Yaasin dan bertahlil dan sebagainya dan doakanlah semoga roh-roh mereka
agar dicucuri rahmat dan mendapat pengampunan dari Allah Subhanahu Wataala.
Dan semasa berada di tanah perkuburan kita dilarang membuat kekotoran,
sebaliknya kita hendaklah menjaga kebersihan kawasan perkuburan.
Wahai
kaum muslimin,
Semasa kita masih lagi berada di bulan Ramadhan ini, marilah kita
sama-sama berusaha mempertingkatkan ibadat kita kepada Allah Subhanahu
Wataala dengan mematuhi segala adab dan peraturan dalam kita mengerjakan
ibadat tersebut agar kita dapat merasa betapa kenikmatan berpuasa dan
berhari raya itu.
Janganlah
disia-siakan masa yang hanya tinggal sedikit ini dan janganlah beranggapan
bahawa kita masih berpeluang melakukannya di bulan Ramadhan akan datang
kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan menemui kita.
Sebagaimana
firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-A’raaf, ayat 34 :
Tafsirnya
:
Apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta
dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta
didahulukan.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa, ayat 78
:-
Tafsirnya
:
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal).
Sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.