Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

01 Rejab 1424/29 Ogos 2003

TANGGUNGJAWAB IBU BAPA 
TERHADAP ANAK

 
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa, dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan dengan jalan ini kita akan selamat di dunia dan di akhirat.

Agama Islam amat menitikberatkan hubungan baik antara ibu bapa dan anak-anak.  Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang banyak yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wataala. Di antara tanggungjawab ibu bapa itu ialah mendidik anak-anak kerana merekalah yang akan mencorakkan keperibadian anak-anak mereka.  Jika elok dan sempurna didikan yang diberikan, maka eloklah juga anak-anak itu nanti dan begitulah juga sebaliknya. Sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya :
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu berkata :  Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :  Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah suci, maka ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

Anak merupakan amanah dari Allah Subhanahu Wataala yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa. Justeru itu segala yang bersangkut paut dengan kehidupan anak-anak, baik akidahnya, perangainya atau sahsiahnya, pendidikannya, kesejahteraannya dan keperluan hidup mereka wajib diberi perhatian dan ditunaikan dengan sebaik-baiknya. Jika ibu bapa cuai dan indah tak indah terhadap amanah dan tanggungjawab tersebut, maka ibu bapa tersebut akan tergolong daripada ibu bapa yang tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wataala.

Kita mengakui bahawa amanah tersebut amat berat dan besar apatah dalam kehidupan sekarang ini yang penuh dengan cabaran dan pengaruh-pengaruh yang tidak sejajar dengan Islam. Bagi menghadapi semua ini maka ibu bapa hendaklah memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka jika mahu anak mereka berjaya dan selamat di dunia dan di akhirat. Pendidikan yang diberikan bukanlah hanya tertumpu kepada pendidikan duniawi sahaja tetapi hendaklah mengutamakan pendidikan ukhrawi iaitu pendidikan agama. Ini kerana pendidikan agama merupakan asas kepada pembentukan akhlak yang mulia.  Dalam Al-Quran terdapat nasihat-nasihat sebagaimana kisah Lukman Al-Hakim dalam mendidik anak-anaknya di antaranya dalam kewajipan menyembah Allah Subhanahu Wataala dan tidak melakukan syirik.   Seperti ayat 13 dalam surah Lukman :-

Tafsirnya :
Dan ingatlah tatkala Lukman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya “wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Dari ayat tersebut jelas kepada kita bahawa Lukman Al-Hakim terlebih dahulu menerapkan nilai-nilai tauhid ke dalam jiwa anaknya, kerana ia merupakan asas akidah Islam yang amat penting yang semestinya kita berpegang kepada akidah yang betul dan diredhai Allah Subhanahu Wataala.  Dengan pendidikan tauhid juga kita dapat membersihkan jiwa kita dari mengikuti hawa nafsu dan sentiasa beristiqamah terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala dan seterusnya dapat menguatkan keimanan kita dalam menempuh cabaran hidup di dunia ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Nasihat Lukman Al-Hakim lagi ialah kewajipan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa. Kerana ibu bapa merupakan orang yang berjasa kepada kita, memelihara kesejahteraan kita. Oleh yang demikian adalah wajar bagi anak-anak taat kepada mereka dan tidak menderhakainya sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’, ayat 23 :-

Tafsirnya :
Dan Tuhanmu  telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekali pun perkataan ah dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun.

Seterusnya Lukman Al-Hakim mengingatkan anaknya bahawa segala perbuatan baik atau jahat akan mendapat balasan daripada Allah Subhanahu Wataaala sebagaimana telah dijelaskan dalam surah Lukman, ayat 16 :-

Tafsirnya :
Lukman menasihati anaknya dengan berkata : Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara yang baik atau yang buruk, sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah untuk dihakimi dan dibalasnya, kerana sesungguhnya Allah maha halus pengetahuannya lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi.

Dalam mendidik anak-anak berbuat baik, hendaklah ditekankan supaya dilakukan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala tanpa dicemari dengan tujuan untuk keduniaan atau untuk menunjuk-nunjuk, untuk mendapat pujian, ganjaran dan sebagainya. Kerana dengan jalan demikian sahaja amalan kita tidak akan menjadi sia-sia dan akan mendapat pahala dari Allah Subhanahu Wataala.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Nasihat Lukman Al-Hakim kepada anaknya yang berikut ialah mengenai kewajipan mendirikan sembahyang kerana dalam sembahyang terhimpun segala-segalanya seperti akidah, syariat dan akhlak.  Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al ‘Ankabuut, ayat 45 :-

Tafsirnya :
Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Lukman al-Hakim jiga menasihati supaya jangan bersifat sombong dan membangga diri kerana ia adalah sifat yang keji. Tiada apa yang perlu disombongkan dan dibanggakan dalam kehidupan ini kerana kehidupan di dunia ini tidak akan kekal abadi. Ada pun di antara tanda-tanda sifat sombong itu ialah apabila merasa bangga dengan kelebihan diri, tidak mengindahkan nasihat dan membantah teguran orang lain walau pun dirinya bersalah, sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala tidak menyukai orang yang bersifat sombong sebagaimana firmannya dalam surah Luqman, ayat 18 :-

Tafsirnya :
Dan janganlah engkau memalingkan mukamu kerana memandang rendah kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan lagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.

Ahli Jumaat sekalian,
Pendidikan yang terbaik dan sempurna terhadap anak-anak merupakan tanggungjawab ibu bapa yang tidak boleh diabaikan. Dan Ibu bapa hendaklah sedar bahawa diri mereka adalah contoh tauladan kepada anak-anak mereka yang mendatangkan kesan yang mendalam.  Jika buruk kelakuan ibu bapa, maka buruklah kelakuan anak.  Setelah kita berazam melakukan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wataala maka berserah dan bertawakkallah kita kepadanya,  Mudah-mudahan kita menjadi orang yang mengikut petunjuk.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Tahriim, ayat 6 :-

Tafsirnya :
Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||