Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

15 Rejab 1424/12 September 2003

HUBUNGAN BAIK DENGAN JIRAN TETANGGA


Kaum muslimin yang diberkati Allah,

Marilah kita tanamkan sifat takwa kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan dengan jalan ini kita akan selamat di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-hambanya supaya taat dan mematuhi ajaran kitab suci Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.  Perintah tersebut tidak lain adalah untuk kebaikan manusia. Di antara perkara yang dituntut dalam Islam ialah berlaku baik dengan jiran tetangga kita.

Jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita.  Adalah tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat itu tidak akan dapat terbentuk tanpa adanya lingkungan mereka yang hidup berjiran, yang sering disebut di negara kita dengan kejiranan kampong.  Konsep kejiranan amat penting kerana tidak ada seorang pun yang dapat hidup bersendirian bahkan saling memerlukan, saling bantu sesama lain, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Maa-idah, ayat 2 :-

Tafsirnya :
Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dalam hubungan ini agama Islam telah memerintahkan kita supaya menjaga hubungan yang baik dengan jiran sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya : 
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya.
(Riwayat Al-Imam Muslim).

Dari hadith tersebut dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa amalan menghormati jiran amatlah dituntut sehingga amalan berbuat demikian dikaitkan dengan keimanan kita terhadap Allah Subhanahu Wataala, ini membuktikan betapa pentingnya tuntutan tersebut dan bukannya perkara remeh dan diambil indah tak indah.

Sebagai seorang muslim, kita mempunyai tanggungjawab dan amanah yang semestinya kita laksanakan dalam kita hidup berjiran.  Di antara hak-hak jiran yang perlu kita laksanakan dan jaga dengan sempurna ialah membina hubungan yang baik lagi mesra dengan mereka, sentiasa bermanis muka seperti memberi salam dan bertanya khabar, mengamalkan sikap hormat-menghormati, tolong-menolong, sefahaman dan sentiasa mengelakkan perselisihan faham yang membawa kepada perpecahan. Kita juga hendaklah memberi bantuan jika mereka berada dalam kesusahan dan menyenangkan hati mereka ketika mereka berada dalam kedukaan dan berbaik sangka dengan mereka demi untuk menggelakkan fitnah.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Bagi menjaga silaturrahim yang baik dengan jiran kita, janganlah sekali-kali menyakiti hati mereka baik dari segi perbuatan, percakapan mahu pun dari raut wajah kita. Sesungguhnya perbuatan tidak menghormati jiran seperti tidak menjaga kebersihan samada di tempat sendiri atau pun membuang sampah di kawasan jiran tetangga atau kita tidak memberi laluan kepada mereka, membuat bising dan sebagainya, begitu juga bila bercakap dengan bahasa yang kasar, kesat atau memalukan seperti menghina, memfitnah, mengadu domba atau saling tuduh-menuduh, semua perkara tersebut mengundang pergaduhan dan boleh mencetuskan pertelingkahan dan berbalahan. Hatta dengan memperlihatkan raut wajah yang menampakkan kemarahan, kebencian atau iri hati, juga boleh mengguris perasaan yang mendatangkan ketegangan dalam hidup berjiran. Kita hendaklah sentiasa berbuat baik dengan jiran kita kerana menyakiti hati atau perasaan jiran itu balasannya ialah neraka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
-

Maksudnya : 
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:  Tidak akan masuk syurga jika tetangganya tidak merasa aman dari gangguan. 
(Riwayat Al-Imam Muslim).

Sebagai jiran yang prihatin, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk membina hubungan yang baik dengan jiran tetangga kita. Kerana itu janganlah kita mengamalkan sikap camah mata. Dan bersikaplah dengan sikap pemedulian terhadap jiran kita serta bantulah mereka yang berada dalam kesusahan baik dengan harta benda mahu pun tenaga. Jika jiran sibuk dengan majlis kenduri-kendara, hulurkanlah bantuan biar pun dengan menolong membersihkan kawasan mereka. Dengan amalan sedemikian akan lebih mengeratkan lagi hubungan kejiranan serta dapat mencerminkan kehidupan yang harmoni dan bersatu padu.

Dalam kita hidup berjiran, kita perlulah juga menjaga pandangan mata kita, sebagai contoh, jika jiran kita dari golongan yang kurang berkemampuan, janganlah memandangnya dengan pandangan sombong, ria dan menghina.  Dan jika mereka dari golongan yang lebih berkemampuan dan berada, janganlah kita merasa iri hati, dengki dan tidak puas hati. Sesungguhnya segala nikmat dan rezeki yang kita miliki di dunia ini hanyalah pinjaman dan semua itu adalah milik Allah Subhanahu Wataala.  Janganlah kita tidak bersyukur sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ibrahim, ayat 7 :-

Tafsirnya :  
Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu :  Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan kami sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab ku amatlah keras.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Ingatlah bahawa hubungan yang baik dengan jiran tetangga merupakan antara nikmat yang amat besar dan sangat berharga bagi umat manusia. Kerana itulah kita dituntut untuk menjaganya dengan sebaik-baiknya.  Mudah- mudahan kita akan dapat hidup dalam keadaan tenteram, harmoni dan bersatu padu. Seterusnya terbentuklah sebuah masyarakat yang teguh dan dapat menyokong kemajuan dan kestabilan sesebuah negara.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa’, ayat 32 :-

Tafsirnya :
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.  Dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||