Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

22 Rejab 1424/19 September 2003

SAMBUTAN HARI GURU DAN ISRAK MIKRAJ

 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sebagaimana yang kita sama-sama maklum, beberapa hari lagi kita akan merayakan sambutan hari guru dan sambutan Israk dan Mikraj Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab kira-kira setahun sebelum hijrah Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke Madinatul Munawwarah  adalah merupakan peristiwa penting yang tetap menjadi ingatan dan sentiasa terpahat dalam hati sanubari umat Islam.

Akan tetapi sejauh manakah kita dapat menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut ? Inilah persoalan yang patut timbul dan kita tanya pada diri kita, kerana dengan hanya memperingati peristiwa tersebut, setentunya belumlah mencukupi sedangkan dalam peristiwa tersebut terdapat banyak pengajaran dan contoh tauladan yang boleh diikuti, boleh menyelamatkan diri kita dari hanyut dibawa harus kehidupan yang penuh dengan dugaan.

Inilah tujuannya Allah Subhanahu Wataala memperlihatkan kejadian-kejadian aneh yang berlaku pada peristiwa Israk dan Mikraj itu sebagai tanda kebesaran Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’, ayat 1 :-

Tafsirnya :  
Maha suci Allah yang menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haram (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin) yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan padanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar lagi maha mengetahui.

Ahli Jumaat sekalian,
Dalam peristiwa bersejarah tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah diperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu Wataala supaya kita umat Islam mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya demi meningkatkan ilmu dan keimanan. Ilmu dan Iman memang tidak dapat dipisahkan daripada diri seorang muslim. Bila kita bercakap tentang ilmu setentunya kita akan merasakan yang diri kira sebagai makhluk Allah, begitu serba kekurangan kerana ilmu Allah amat banyak dan tidak akan berkesudahan.  Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Kahfi, ayat 109 :-

Tafsirnya :
Katakanlah wahai Muhammad :  Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah- kalimah Tuhanku sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhan ku, walau pun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.

Dalam usaha menuntut ilmu pengetahuan, kita tidak dapat lari daripada memerlukan tenaga pengajar iaitu guru, kerana guru memainkan peranan yang amat penting. Merekalah orang yang benar-benar berkebolehan dan berkeahlian dalam bidang pengajaran dan pendidikan mengikut bidang masing-masing, baik untuk di dunia mahu pun di akhirat.  Bersempena dengan sambutan Hari Guru yang akan kita raikan bersama tidak lama lagi, adalah tepat pada masanya bagi kita mengimbas kembali peranan seorang guru itu.

Di dalam Islam, guru mempunyai tempat dan kedudukan yang sangat  tinggi dan mulia.  Mereka juga perlu dihormati dan dikenang kerana dengan bergurulah kita menjadi pandai dan berilmu, tanpa guru kita akan jahil dan hidup dalam kegelapan, kerana itu guru yang benar-benar berjaya ialah guru yang bukan saja dapat memberi dan mencurahkan ilmunya sehingga seseorang itu berilmu, bahkan juga menjadikan seseorang itu beramal dengannya. Bila keadaan sedemikian terjadi, maka wujudlah generasi yang benar-benar berjaya dan menjadi asset negara yang akan membawa kemajuan dan kemakmuran serta kesejahteraan negara, bangsa dan agama. Inilah yang dihasratkan oleh Tema Sambutan Hari Guru pada Tahun ini iaitu “Guru Ilmuan Penjana kemajuan”.

Di samping itu, ibu bapa dan keluarga juga patut berdaya maju dan memantapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan sebagai pembimbing anak-anak mereka dan tidak beranggapan bahawa apabila anak-anak mereka telah memasuki alam persekolahan, maka mereka akan terlepas dari tanggungjawab membimbing mereka.  Anggapan sedemikian perlulah dihindarkan dan diperbetulkan kerana ibu bapa lebih besar pengaruhnya terhadap anak-anak khususnya dari segi tingkah laku, akhlak dan moral. Sementara bagi para pelajar pula, ilmu pengetahuan itu merupakan wadah untuk memaju dan meningkatkan diri sebagai sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara di masa hadapan.

Wahai kaum muslimin,
Sesungguhnya kemajuan yang boleh dibanggakan ialah kemajuan yang dicapai dengan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala dan dilakukan dengan berpandukan kepada ajaran Agama Islam.  Oleh yang demikan, dalam usaha mendidik dan mengasuh anak bangsa kita agar menjadi generasi yang baik dan berguna bagi bangsa, negara dan agama, maka contoh tauladan yang paling baik diikuti bagi mencapai hasrat tersebut ialah dengan menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai ikutan sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Ahzab, ayat 21:-

Tafsirnya :
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.

Di negara kita pada ketika ini, Kerajaan Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan berbagai bidang pelajaran dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat tinggi. Bermacam-macam kemudahan telah disediakan supaya segenap lapisan masyarakat di negara ini menikmati secukupnya peluang pendidikan. Oleh itu marilah kita sama-sama meningkatkan ilmu demi kemajuan.

Dari peristiwa Israk dan Mikraj dan sempena sambutan Hari Guru yang akan kita raikan itu nanti, dapatlah kita mengambil iktibar bahawa ilmu itu sangat berguna  dan penting dalam kehidupan kita sehari-hari untuk mencapai kemajuan bangsa dan negara di masa hadapan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Mujaadilah ayat 11 :-

Tafsirnya :
Nescaya Allah akan meningkatkan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat, dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||