Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

30 Safar 1424/02 Mei 2003

DERMA BANTUAN KEMANUSIAAN 
RAKYAT AWAM IRAQ

 
Muslimin mukminin yang dirahmati Allah, 
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan apa jua perintahnya dan menjauhi apa jua larangannya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hujuraat, ayat 10 :-

Tafsirnya :
Bahawasanya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ayat tersebut menerangkan kepada kita bahawa orang yang beriman adalah bersaudara dengan mukmin yang lain. Persaudaraan yang diikat oleh tali akidah dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala  serta rukun Iman  yang lain. Bukan ikatan yang meliputi batas keturunan, pangkat, darjat, bangsa dan suku bangsa, warna kulit dan kedudukan.

Demikianlah persaudaraan sejagat yang tidak mengenal batas negeri dan negara. Tidak mengenal perbezaan bahasa, pertuturan dan adat budaya. Semua berpadu dalam kepercayaan dan pegangan rukun Islam dan rukun Iman.

Di atas dasar persaudaraan itu maka kewajipan seseorang saudara terhadap saudaranya adalah tidak sanggup dan tidak senang jika melihat saudaranya ditimpa kemudharatan, malah ia wajib menolak dari segara kemudaratan itu. Seandainya mereka menderita sakit, maka penderitaan itu turut sama dirasai, turut berdukacita dengan apa yang dialami mereka.

Perkara tersebut jelas digambarkan dalam maksud hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Seorang muslim adalah bersaudara bagi muslim yang lain ia tidak menzaliminya dan menyusahkannya.  Barangsiapa yang memenuhi  hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi hajatnya.  Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan kepada seseorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesusahannya pada hari kiamat dan siapa yang menutup keburukan seorang muslim, nescaya Allah Subhanahu Wataala akan menutup keburukannya pada hari kiamat.. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Imam Muslim).

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,
Dalam Islam, kerjasama, tolong-menolong dan bantu-membantu dalam kebaikan dan ketakwaan adalah merupakan ajaran Islam yang sangat-sangat dituntut untuk kita melaksanakannya. Sifat tolong-menolong dan bantu-membantu ini boleh menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi maka akan terbinalah  kehidupan yang aman-damai, sejahtera dan harmoni serta padu di kalangan umat Islam.

Demikianlah cantik dan indahnya ajaran Islam itu, apabila konsep persaudaraan seperti yang diajarkan itu kita amalkan, insya-Allah kita akan beroleh bahagia dan sejahtera.  Perpaduan umat Islam akan kukuh dan kuat dan akan digeruni oleh musuh-musuhnya.

Agama Islam memandang berat tentang kehidupan yang aman dan kasih-mengasihi. Justeru itu galakan bersedekah merupakan latihan jiwa atau rohani agar diri seseorang muslim itu mempunyai perasaan halus dan sentiasa mengucapkan syukur atas nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala .

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,
Kita telah mendengar dan menyaksikan sendiri melalui media masa mengenai dengan keadaan negara Iraq dan rakyatnya. Banyak kemusnahan telah terjadi, bangunan- bangunan banyak yang hancur, ekonomi lumpuh, banyak manusia yang tidak berdosa terkorban, banyak kerugian dan kemusnahan terpaksa ditanggung oleh negara yang diserang.

Selaku umut Islam yang mempunyai ikatan persaudaraan yang bersandarkan keimanan dan keagamaan maka kita hendaklah peka dengan apa yang dialami oleh saudara kita di negara tersebut. Walau pun berlainan negara, kita juga sepatutnya menghulurkan bantuan dan pertolongan untuk membangunkan semula negara mereka.

Rakyat Awam Iraq memerlukan bantuan dan pertolongan, mereka juga memerlukan ubat, makanan dan tempat tinggal, kita hendaklah memberikan sokongan yang berupa sokongan moral dan material kepada mereka.

Atas dasar tanggungjawab dan demi belas kasihan kita terhadap mereka, maka marilah kita menghulurkan derma atau sedekah walau pun kecil atau sedikit, sumbangan yang diberikan jika disertai dengan keikhlasan setentunya lebih bermakna dan besar ganjaran di sisi Allah Subhanahu Wataala. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah, ayat 261:

Tafsirnya :
Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.  Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi siapa yang dikehendakinya, dan Allah maha luas rahmat kurnianya lagi meliputi alam pengetahuannya.

Begitu juga hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari :-

Maksudnya :
Dari Adi Ibnu Hatim Radiallahu-Anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : 
Jauhkanlah dirimu daripada api neraka walau pun hanya dengan separuh biji tamar.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah, 
Dalam hubungan ini Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan satu Jawatankuasa Bantuan Kemanusiaan kepada Rakyat Awam Iraq yang antara lain bertujuan sebagai satu usaha atas rasa tanggungjawab dan perikemanusiaan untuk memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka semata-mata bagi meringankan bebanan kehidupan dan kesengsaraan yang sedang mereka alami.

Bertepatan dengan itu juga Urusetia Bantuan Kemanusiaan Rakyat Awam Iraq telah menempatkan tabung-tabung di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat dan tempat lain yang bersesuaian di seluruh negara semata-mata bagi memberi bantuan kepada mereka.

Marilah kita hulurkan sedekah atau apa jua bentuk pertolongan samada banyak atau sedikit agar kita mendapat naungan dan rahmat Allah Subhanahu Wataala serta menyelamatkan diri dan negara kita dari ditimpa apa jua kecelakaan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hadiid, ayat 11:-

Tafsirnya : 
Siapakah orang yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik ikhlas supaya Allah melipat gandakan balasannya? Dan selain itu ia akan beroleh pahala yang besar.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||