Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

18 Syawal 1424/12 Disember 2003


KESAN DADAH


Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wataala mengharamkan sesuatu itu ada dengan hikmat yang di luar pengetahuan kita, yang kadang-kadang tidak sampai oleh pemikiran kita. Cuba kita lihat fenomena yang melanda negara-negara di dunia pada masa ini, seperti ancaman dadah yang semakin hebat dan merbahaya bukan sahaja membahayakan manusia tetapi juga membahayakan negara dan dunia.

Walau pun dadah merupakan salah satu bahan yang digunakan dalam bidang perubatan, tetapi ianya tidak boleh digunakan secara bebas dan sewenang-wenangnya tanpa kawalan dan nasihat pakar perubatan, penggunaannya hendaklah mengikut peraturan dan sukatan bagi pesakit yang memerlukannya kerana jika disalahgunakan, ianya akan membawa kemusnahan dan penderitaan kepada manusia.

Perkara ini boleh dibuktikan bila ditanya dan diselidiki kepada bekas penagih yang telah insaf dan sedar serta menyesali perbuatan mereka, mereka akan mengatakan bahawa perbuatan itu hanyalah sia-sia dan tiada menguntungkan, sebaliknya merugikan dan mendatangkan kesusahan dan penderitaan hidup yang akhirnya kalau tidak bernasib baik boleh membawa maut.

Oleh itu jika kita mahu hidup senang, bahagia dan gembira, jauhilah dan hindarkan diri daripada dadah dan jangan cuba mendekatinya, jangan mudah dipengaruhi oleh pujukan yang ingin merosakkan diri kita, kerana merasa sekali mahu dua kali dan seterusnya sehingga ketagih dan tidak berupaya meninggalkannya dan sanggup hidup tidak bermaruah.

Wahai kaum muslimin,
Para ulama telah bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak, kerana arak boleh menggangu dan menghilang-kan fikiran, akan tetapi kesan dadah adalah lebih buruk lagi daripada arak yang patut dijauhi oleh setiap muslim dan muslimah. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Maa-idah ayat 90 – 91:

Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang, oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil.

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : 

Maksudnya :
Daripada Ibni Umar Radiallahu-Anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : semua yang memabukkan itu adalah termasuk dalam erti kata arak dan semua yang memabukkan itu adalah haram.
  (Riwayat Al-Imam Muslim).

Wahai kaum muslimin,
Orang yang menyalahgunakan dadah itu boleh melupakan dirinya, agamanya dan dunianya. Ia akan tenggelam dalam khayalan, bahkan juga memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan tenaga berfikir dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf serta boleh mengganggu kesihatan mental, fizikal dan semangat jiwa.

Bagi penagih yang sudah berkeluarga, dadah boleh meruntuhkan kebahagiaan rumahtangga, yang boleh menyebabkan berlakunya perceraian dan memporak-perandakan kebahagiaan keluarga.  Rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan hancur di mana anak-anak yang dikasihi akan turut menderita. Mereka akan disingkirkan dan disisihkan oleh keluarga dan orang yang dikasihi.

Dadah juga boleh menghabiskan wang dan harta kerana kehilangan kerja dan tidak berpeluang dalam pekerjaan dan pekerjaan yang akhirnya sanggup membunuh dan mengheretnya ketali gantung.

Bila melihat betapa besarnya bahaya dadah itu sehingga boleh menggelapkan hidup seseorang, maka penyakit seumpama ini tidak boleh dibiarkan dan hendaklah dicari puncanya untuk dihapuskan, tetapi adakah tugas ini hanya boleh dijalankan oleh satu pihak sahaja?  Setentunya tugas ini memerlukan kerjasama semua pihak, jika tidak kerja tidak akan berjaya dan akan menemui kegagalan.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Di sini elok juga diketahui sebab-sebab yang boleh mendorong kepada penyalahgunaan dadah sebagai panduan dan perhatian bersama, antaranya:

  • Ingin tahu, mencuba dan merasa.

  • Dipengaruhi dan diperbodoh-bodohkan oleh rakan-rakan yang tidak ingin melihat rakan bahagia dan berjaya.

  • Inginkan keseronokan.

  • Terpedaya dan menganggap dadah boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti kekusutan fikiran, tekanan jiwa, masalah rumahtangga dan bermacam-macam lagi.

Di samping itu kita juga perlu mengetahui tanda-tanda orang yang terlibat dengan dadah supaya dapat membantu kita mengenal pasti dan seterusnya untuk mengatasinya antaranya:

  • Selalu ponteng sekolah, tidak hadir bekerja, mutu kerja menurun dan hasil kerja merosot.

  • Kebersihan dan kesihatan diri tidak terurus.

  • Tidak bermaya, selalu menguap dan mengantuk, mudah marah dan meradang tanpa sebab.

  • Lari dari tanggungjawab, keluarga terbiar.

  • Sembunyi-sembunyi melakukan sesuatu.

  • Hilang selera makan.

  • Menjauhkan diri dari keluarga dan kawan rapat dan meninggalkan kegemaran sebelumnya.

  • Meminta wang berlebihan atau mengambil wang tanpa izin.

Dalam perkara ini, jika ibu bapa atau penjaga yang mendapati tanda-tanda tersebut ada pada anak-anak mereka, maka eloklah disiasat dan ditangani dari awal-awal lagi sebelum merebak lebih jauh dan bahaya. Jika tidak berdaya, maka rundinglah pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab mengenainya. Jangan dibiar-kan, kerana setiap penyakit ada ubatnya.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya :
Dari Jabir Radiallahu-Anhu, daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam baginda bersabda : Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wajalla.
(Riwayat Al-Imam Muslim).

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dadah adalah merupakan kuman-kuman penyakit sosial dan masyarakat, menjadi penghalang kepada kemajuan dan pembangunan negara, oleh itu Islam melarang penyalah-gunaannya, jangan sampai akhirnya mendatangkan kerosakan, kemusnahan dan huru-hara kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.

Akhirnya marilah kita meningkatkan  kesedaran dan kefahaman kita terhadap bahaya penyalahgunaan dadah, dan berusaha mengawal dan mencegah berlakunya kegiatan buruk ini, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala melindungi anak-anak kita, keluarga kita, saudara mara kita, negara dan agama kita, Amin Ya Rabbal-‘Aalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Asy-Syuuraa, ayat 30 :

Tafsirnya :
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan atau bala’ bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa, dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||