MENGENALI
KRITERIA-KRITERIA
AJARAN SESAT
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu
Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala
suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi
insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Umat
Islam pada masa ini sering diancam dengan berbagai-bagai bentuk ancaman
baik akidah, akhlak mahupun pemikiran. Di antara ancaman itu ialah ancaman
dari perbuatan jenayah, keganasan, penyalahgunaan dadah, perpecahan,
keruntuhan akhlak dan moral dan yang paling berbahaya sekali ialah ujudnya
ajaran-ajaran sesat yang telah melanda sebahagian masyarakat Islam.
Ajaran
sesat merupakan racun terhadap keselamatan yang boleh menggugat
keharmonian, kesejahteraan dan perpaduan umat Islam dan boleh mengancam
keamanan dan kestabilan negara kerana sebahagian dari ajaran sesat itu
boleh menimbulkan permusuhan dan kekacauan dan boleh berlaku pertumpahan
darah di antara sesama Islam.
Untuk
memelihara akidah kita supaya betul dan berlandaskan pegangan Ahli Sunnah
Wal-Jemaah, dan tidak terpesong dan mudah terpengaruh dengan ajaran sesat,
kita perlulah mengetahui secara jelas apakah dia ajaran sesat itu?. Ajaran
sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam
atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan yang dibawa itu
berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan
amalan itu sebaliknya bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan
Al-Quran dan As-Sunnah, serta bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah
Wal-Jemaah.
Di
Negara Brunei Darussalam ini juga, tidak terkecuali dari didatangi dan
dipengaruhi oleh ajaran-ajaran sesat yang mana terdapat sebilangan kecil
penduduk yang telah terpengaruh dengan dakyah mereka disebabkan kurang
arif terhadap agama dan pegangan yang sebenar iaitu Ahli Sunnah Wal-Jemaah.
Antara ajaran-ajaran sesat yang telah sampai ke negara ini dan
telah diharamkan oleh kerajaan ialah fahaman Bahai, ajaran Qadiyani,
ajaran Al-Aqram, ajaran tarikat Abdul Razak, ajaran Sayuni, ajaran Silat
Lintau, pergerakan al-Ma’uunah dan lain-lain
yang mana ajaran-ajaran sesat tersebut mengandungi amalan-amalan
yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jemaah.
Di
antara faktor berlakunya pengaruh dan penyebaran tersebut disebabkan ianya
diajarkan secara sulit dan senyap kepada orang yang jahil pengetahuan
tentang agama Islam sehingga tidak mengetahui ajaran itu sama ada betul
atau salah tetapi tidak kurang juga ada orang yang dijahilkan sehingga
lupa mana betul mana salah kerana dijanjikan kelebihan yang luar biasa.
Ahli
Jumaat sekalian,
Oleh itu bagi mengelakkan berlakunya perkara ini ke atas diri kita maka
kita patutlah mengenali kriteria-kriteria ajaran sesat itu untuk dijadikan
garis panduan dalam menentukan sesuatu ajaran itu adakah salah atau betul,
di antaranya :-
Pertama
: Mempercayai adanya kitab lain
yang menyaingi atau memansuhkan kitab suci Al-Quran, dan mempercayai
adanya kiblat lain selain daripada kaabah dan seumpamanya.
Kedua
: Mempertikaikan kebenaran Al-Quran
dan Hadith.
Ketiga
: Mendakwa dirinya sendiri (ketua
kumpulan) atau orang lain sebagai nabi terakhir, Nabi Isa Alaihissalam,
Imam Al-Mahadi Al-Muntazar atau lain-lain istilah yang seumpamanya.
Keempat
: Kepercayaan kepada penyatuan
beberapa agama terbesar di dunia sebagai agama yang sepatutnya menjadi
anutan kepada umat manusia.
Kelima
: Dapat mempastikan dirinya atau
gurunya ahli syurga, boleh menebus dosa, memiliki keistimewaan yang tidak
dimiliki oleh orang lain umpamanya boleh berkahwin lebih daripada empat.
Keenam
: Mengadakan bid’ah atau
pendapat baru yang bertentangan dengan akidah dan syariat yang berasaskan
kepada dalil qat’ie dan tidak boleh dipertikaikan.
Ketujuh
: Mentafsir dan menghuraikan Al-Quran
atau Al-Hadith mengikut sesuka hati.
Dari
kriteria-kriteria ajaran sesat tersebut boleh dijelaskan saperti berikut
:-
Dari
kriteria tersebut terdapat sesetengah kumpulan yang telah memansuhkan atau
mengubah Al-Quran dan Al-Hadith umpamanya Al-Bahaiiyah iaitu satu kumpulan
atau mazhab yang mendakwa nabi baru dengan kitabnya yang suci iaitu
“Al-Bayan” memansuhkan segala kitab samawiyah saperti Zabur, Taurat,
Injil dan Al-Quran.
Perbuatan
sedemikian adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jemaah kerana
memansuhkan atau mengubah ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadith sama ada maksud
atau makna dan lafaznya hukumnya adalah kufur. Begitu juga perbuatan
mengaku diri menjadi nabi, mendustakan Al-Quran, Al-Hadith dan Ijma’
adalah kufur.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Maa-idah ayat 48 :-
Tafsirnya
:
Dan kami turunkan kepadamu wahai Muhammad kitab Al-Quran dan membawa
kebenaran untuk mengsahkan benarnya kita-kitab suci yang telah diturunkan
sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.
Maka jalankanlah hukum di antara mereka ahli kitab itu dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Dan janganlah engkau mengikut
kehendak hawa nafsu mereka dengan menyeleweng dari apa yang telah datang
kepadamu dari kebenaran.
Begitu
juga ada sesetengah kumpulan yang mempercayai adanya kiblat lain selain
dari kaabah, ini juga suatu yang bertentangan dengan ajaran Islam dan
pegangan Ahli Sunnah Wal-Jemaah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala
dalam surah Al-Baqarah ayat 149 :-
Tafsirnya
:
Dan dari mana sahaja engkau keluar untuk mengerjakan sembahyang maka
hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil-haram (kaabah) dan sesungguhnya
perintah berkiblat ke kaabah itu adalah benar dari tuhanmu. Dan ingatlah
Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
Wahai
kaum muslimin,
Terdapat beberapa ajaran di dalam aliran-aliran yang sesat dan menyeleweng
bukan sahaja mempertikaikan kebenaran Al-Quran, malahan menafikan
kebenaran (perintah) isi Al-Quran. Begitulah
juga yang dilakukan oleh aliran ingkar Hadith, mereka mempertikaikan
kebenaran hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan menyatakan
bahawa Rasul tidak bertanggung-jawab memberikan keterangan yang akan
menimbulkan pengertian hukum baru saperti yang dikenal dengan sebutan As-Sunnah
atau Hadith.
Menurut
dakwaan mereka, Hadith disusun berdasarkan cerita dari mulut ke mulut dari
orang-orang yang lebih tua yang dipandang mengerti agama. Dengan demikian
mereka menganggap hadith adalah cerita tentang diri nabi yang tidak dapat
diyakini kebenarannya.
Kepercayaan
sedemikian adalah salah dan menyeleweng berdasarkan firman Allah Subhanahu
Wataala dalam surah Al-Israa’, ayat 88 :
Tafsirnya
:
Katakanlah wahai Muhammad : Sesungguhnya
jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan
mendatangkan sebanding dengan
Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang
sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.
Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
Maksudnya
:
Dari ibni Abbas Radiallahu-Anhuma, sabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam : Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu untuk kamu
berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu kitab
Allah dan Sunnah Nabinya.
Adapun
sesetengah ketua kumpulan atau fahaman atau ajaran mengaku atau mendakwa
dirinya sebagai nabi, rasul, Nabi Isa Alaihissalam dan Imam Al-Mahadi.
Para ulama-ulama sepakat mengatakan bahawa tiada nabi selepas Nabi
Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Oleh itu maka dakwaan ini jelas
kepada kita bahawa perbuatan itu bertentangan dengan ajaran agama Islam
berdasarkan firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Ahzab, ayat 40 :
Tafsirnya
:
Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi
bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah
Rasulullah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan ingatlah Allah adalah maha
mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Hadith
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu
dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam baginda bersabda :
Dahulunya bani Israil dipimpin oleh para nabi, apabila mati
seseorang nabi akan diganti pula dengan seseorang nabi, sesungguhnya tidak
ada nabi selepasku, dan akan terangkat selepasku beberapa khalifah bahkan
akan bertambah banyak. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Kaum
muslimin sekalian,
Oleh itu kita perlulah berhati-hati dengan aliran-aliran sedemikian yang
ingin menyesatkan dengan bertopengkan Islam, mudah-mudahan dengan
mengenali kriteria-kriteria ajaran sesat tersebut, sekurang-kurangnya akan
dapat membuka minda dan membantu kita agar berwaspada terhadap apa jua
bentuk amalan khususnya dari orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak
diketahui latar belakangnya yang ingin memporakperandakan dan mengadu
domba umat Islam dan untuk mengaut keuntungan demi kepentingan mereka
sendiri.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali ‘Imran, ayat 83 :
Tafsirnya
:
Patutkah sesudah mengakui dan menerima perjanjian itu, mereka mencari
lain dari agama Allah? Pada
hal kepadanya tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi,
sama ada dengan sukarela atau pun terpaksa dan kepadanyalah mereka
dikembalikan.