Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

15 Zulhijjah1424/06 Februari 2004


ADAB ORANG YANG BALIK DARI MENUNAIKAN IBADAT HAJI DAN ORANG YANG MENYAMBUT KEDATANGAN MEREKA

 

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Alhamdulillah, kini jemaah haji telah pun selesai mengerjakan ibadah haji, kita berdoa mudah-mudahan para jemaah haji beroleh haji yang mabrur dan amalan mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wataala dan seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat, Insya-Allah.

Dalam pada itu kaum keluarga dan sanak saudara jemaah haji yang berada di tanah air pula setentunya bersiap sedia menunggu kepulangan mereka ke tanah air dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Dalam suasana kita sibuk membuat persediaan menyambut ketibaan Dhuyufur-Rahman (Tetamu Allah) ini perlulah diingat dan berhati-hati supaya cara sambutan yang diadakan itu hendaklah bersesuaian dengan hukum agama kita, apatah lagi sambutan ini sebagai tanda menzahirkan tanda syukur kepada Allah Subhanahu Wataala di atas kepulangan mereka dari tanah suci Mekah, bukan dengan membazir dan berlebih-lebihan berbelanja apatah lagi dengan melakukan amalan yang langsung tidak terdapat dalam amalan agama Islam saperti menghamburi orang yang balik haji itu dengan beras kuning, dengan wang syiling dan sebagainya. Sehingga orang-orang yang datang meraikan ketibaan mereka itu berebut-rebut dan bercampur di antara lelaki dan perempuan tanpa memperdulikan mahram atau bukan mahram demi untuk mendapatkan wang syiling dan sebagainya dengan kepercayaan untuk memperolehi berkat.

Sebagaimana kelaziman orang-orang kita Brunei, ada pula yang mendirikan pintu gerbang yang mengandungi perkataan “Semoga Beroleh Haji Yang Mabrur” dan ada pula dengan perkataan “Selamat Pulang Ke Tanah Air”. Perbuatan sedemikian jika dibuat semata-mata untuk memuliakan dan menghormati kedatangan orang-orang haji itu serta menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala di atas dhif-dhif Allah itu tidaklah menjadi salah. Tetapi janganlah itu dianggap suatu dari amalan agama apatah lagi jika dibuat secara membazir kerana pembaziran itu amalan syaitan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’, ayat 27 :

Tafsirnya :
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam terdapat adab-adab yang kita digalakkan melakukannya bagi menyambut kepulangan orang-orang haji, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengajarkan supaya orang-orang haji itu sendiri apabila ia hendak sampai ke rumah sunat baginya untuk singgah ke masjid terlebih dahulu dan melakukan sembahyang sunat dua raka’at, dan apabila sampai ke rumahnya pula dia bersembahyang lagi dua raka’at dan berdoa serta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala di atas selamatnya dia kembali kepangkuan kaum keluarganya.

Manakala adab bagi orang-orang yang menyambut kedatangan orang-orang haji pula di antaranya :-

Pertama :  Kita disunatkan untuk bersalaman dan berjabat tangan serta berpelukan, tetapi hendaklah di antara lelaki dengan lelaki sahaja dan perempuan dengan perempuan sahaja. Bukan sebaliknya sebagaimana yang pernah didapati ada setengahnya tidak menghiraukan antara lelaki dan perempuan dalam perkara ini. Walaupun yang berpelukan itu di antara keduanya ada hubungan mahram akan tetapi adalah tidak manis ianya berpelukan di khalayak ramai. Kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan fitnah, tetapi memadailah dengan bersalaman atau berjabat tangan sahaja.

Kedua :  Seeloknya bagi mereka yang menyambut ketibaan orang-orang haji itu meminta kepada orang-orang haji berkenaan berdoa untuk dirinya sebagaimana hadith dari Ahmad ibni Hanbal dari Ibni Umar Radiallahu-Anhuma :-

Maksudnya :
Apabila engkau bertemu orang haji (yang baru balik haji) maka bersalamlah dengannya dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sabelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan Allah Taala (doanya adalah dimakbulkan).

Ketiga : Sunat bagi orang yang menyambut jemaah haji itu ketika bersalaman dan berjabat tangan berkata :-

Maksudnya :
Semoga Allah menerima ibadat haji engkau dan mengampun-kan dosa engkau serta mengganti (mengurniakan kembali perbelanjaan engkau)
.

Keempat : Sunat bagi sanak saudara jemaah haji itu mengadakan walimah (kenduri) secara ala kadar mengikut kemampuan sebagai tanda syukur bukan kerana menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.

Ahli Jumaat sekalian,
Demikianlah wahai kaum muslimin di antara beberapa amalan dan adab bagi orang yang balik dari menunaikan ibadat haji serta orang yang menyambut kedatangan mereka, maka ikutlah panduan tersebut dan jangan melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam dan tidak ada diajarkan dalam Islam dengan semata-mata mengikut kebiasaan dan adat resam. Jangan sampai kita melakukan perkara-perkara yang dianggap bid’ah saiyiah atau bid’ah dhalalah, yang boleh menyebabkan kita masuk neraka, Na’uuzu Billahi Min Zalik.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali ‘Imran, ayat 31 :-

Tafsirnya :
Katakanlah wahai Muhammad, jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||