Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

22 Zulhijjah 1424/13 Februari 2004


KEPIMPINAN RAJA DALAM AGAMA

 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melaksanakan segala apa jua perintahnya dan menjauhi segala apa jua larangannya disetiap masa dan tempat, suasana dan keadaan, kerana takwa itu tidak terbatas kepada masa dan tempat mahupun suasana dan keadaan yang tertentu sahaja. Oleh yang demikian, di mana sahaja kita berada, samada di masjid, di pejabat, di rumah atau di dalam situasi keadaan apa sahaja kita harungi, sama ada ketika susah, senang, siang dan malam atau sama ada kita selaku yang memimpin, yang dipimpin, pegawai kerajaan, peniaga, peladang, nelayan dan sebagainya, sifat takwa hendaklah bersemadi di dalam jiwa kita, kerana sifat takwa itu merupakan titik tolak yang menjadi penjana dan pengerak segala tindakan yang betul dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wataala.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Salah satu acara yang dirancang bagi sambutan hari kebangsaan pada tahun ini ialah pameran kepimpinan raja. Acara seumpama ini adalah julung-julung kalinya diadakan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan. Ia dijangka akan mempamerkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepimpinan raja dalam berbagai bidang seperti bidang agama, keselamatan, pendidikan, pembangunan, sosial, ekonomi, perhubungan dan lain-lain. Daripada pameran itu nanti dapatlah diperolehi gambaran mengenai dengan kepimpinan baginda dari segi wawasan, kebijaksanaan dan matlamat hala tuju ke arah Brunei Darussalam yang makmur lagi aman serta komited dengan ilmu.

Dengan ini, kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana telah menjadikan Negara Brunei Darussalam berada di bawah kepimpinan seorang pemimpin yang berpandangan jauh, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Di samping selaku raja, baginda juga adalah ketua agama yang sentiasa menunaikan amanah Allah Subhanahu Wataala dengan menerapkan ajaran-ajaran Islam di dalam kepimpinan baginda. Kita merasa bertuah kerana dengan kedudukan tersebut, bukan sahaja agama Islam di negara ini terjamin dan terpelihara, malahan juga menjadi punca terpancarnya rahmat dan berkat kepada negara. Semoga Negara Brunei Darussalam akan terus terpimpin di bawah kepimpinan yang bertunjangkan takwa kepada Allah Subhanahu Wataala. Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam surah Al-A’raaf ayat 96 :-

Tafsirnya :
Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.

Di antara usaha baginda dalam menerapkan ajaran Islam di dalam kepimpinan baginda ialah keprihatinan baginda yang serius terhadap kedudukan Al-Quran. Dalam hal ini, kerajaan baginda mengatur berbagai langkah jitu ke arah pengamalan, pemeliharaan dan pembelajaraan Al-Quran di negara ini demi mengangkat mertabat Al-Quran.  Oleh itu, hasil yang kita nampak pada masa ini terbitnya mushaf Brunei Darussalam, tertubuhnya institusi-institusi pengajian Al-Quran, galakan membaca Al-Quran bagi pegawai-pegawai kerajaan sebelum memulakan tugas dan lain-lain lagi.

Perkara ini selaras dengan tuntutan Islam, di mana Islam menuntut supaya memelihara dan mengangkat mertabat Al-Quran itu, Al-Quran adalah kitab Allah yang diturunkan kepada manusia sebagai petunjuk, cahaya dan rahmat bagi seluruh alam.  Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah ayat 185 :-

Tafsirnya :
Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Manakala di dalam hal kebajikan pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, merupakan seorang raja yang amat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Keprihatinan baginda itu tercurah kepada segenap lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi terhadap golongan yang lemah sama ada lemah kerana tidak mempunyai harta kekayaan saperti fakir miskin, lemah kerana tidak mempunyai perlindungan saperti anak-anak yatim, lemah kerana tidak mempunyai kemampuan kerana faktor usia atau fizikal seperti orang-orang tua, golongan istimewa, atau lemah kerana ditimpa musibah seperti mangsa-mangsa kebakaran dan bermacam-macam lagi.

Usaha baginda dalam membela dan melindungi golongan yang lemah ini disalurkan melalui bebagai-bagai bentuk, sama ada melalui kementerian-kementerian atau jabatan-jabatan kerajaan, atau pun secara langsung daripada baginda secara peribadi, seperti melalui Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Usaha sedemikian memanglah tepat dan sejajar dengan ajaran agama Islam.  Islam sentiasa berdiri di sisi orang yang lemah, sentiasa membela serta menjamin hak-hak dan kesejahteraan mereka. Terdapat banyak dalil syara’ yang menganjurkan supaya memberi pembelaan dan perhatian terhadap golongan tersebut, di antaranya :-

Maksudnya :
Suatu umat tidak akan diberi rahmat selagi orang yang lemah di dalamnya tidak diberikan haknya tanpa menyakitinya yang boleh meresahkannya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Di antara usaha baginda lagi dalam menerapkan ajaran Islam dalam kepimpinan baginda ialah penubuhan bank dan institusi kewangan Islam.  Penubuhan bank dan institusi kewangan Islam yang dititahkan oleh baginda adalah bertujuan bagi menyahut seruan agama untuk melepaskan orang-orang Islam daripada riba. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah ayat 275 :-

Tafsirnya :
Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam  juga menjelaskan :

Maksudnya :
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat orang yang memakan atau mengambil riba, orang yang memberi atau membayar riba, orang yang menjadi penulis riba dan orang-orang yang menjadi saksi riba.  Baginda bersabda : Mereka adalah sama.

Dengan penubuhan bank dan institusi kewangan Islam itu, bukan sahaja mendatangkan pahala dan keberkatan, malahan juga telah turut memberikan “imej baik” negara kita di mata dunia, lebih-lebih lagi di kalangan negara-negara Islam. Dan yang lebih utama mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wataala.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam usaha baginda membenteras perkara-perkara haram, baginda dengan tegasnya telah mengharamkan arak daripada masuk dan diedarkan di negara ini. Tindakan tersebut adalah tepat dengan ajaran agama Islam yang mengharamkan orang-orang Islam meminumnya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahu-Anhu berkata :

Maksudnya :
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat di dalam perkara berhubung arak itu seramai sepuluh orang iaitu orang yang memerah (membuat) arak, orang yang meminta diperahkan (dibuatkan) arak, orang yang meminum arak, orang yang membawa arak, orang yang meminta dibawakan arak kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual arak, orang yang memakan hasil arak, orang yang membelikan arak, orang yang meminta dibelikan arak baginya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan keyakinan dan ketaatan baginda terhadap peraturan dan undang-undang Allah Subhanahu Wataala telah memperkenankan penubuhan mahkamah syar’iah sehingga ketahap yang lebih tinggi bagi menangani bukan sahaja pentadbiran masalah-masalah keluarga, malahan juga bagi melaksanakan undang-undang jenayah Islam (kanun jinaie Islam) yang bersesuaian dengan kehendak Islam.  Inilah bukti keyakinan baginda terhadap hukum Allah Subhanahu Wataala.  Kerana peraturan dan undang-undang Allah itu adalah lebih sesuai dan sempurna daripada undang-undang dan peraturan lain. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala didalam surah Al-Maa-idah ayat 49 :-

Tafsirnya :
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan Allah kepadamu.

Kita percaya dan yakin dari usaha baginda itu menunjukkan adanya kepimpinan yang bijaksana, berwawasan dan terarah yang bertunjangkan prinsip-prinsip Islam.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita selaku rakyat mentaati dan mendukung kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerapkan ajaran-ajaran Islam di dalam pentadbiran dan pemerintahan baginda.  Ini adalah selaras dengan firman Allah Subhanahu Wataala di dalam surah An-Nisaa ayat 59 :-

Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Ibnu Umar Radiallahu-Anhuma pula meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya :
Patuh dan taat itu adalah hak bagi pemerintah selagi tidak diperintahkan seseorang itu berbuat maksiat, maka apabila diperintahkan seseorang itu berbuat maksiat, maka tidak ada kewajipan mematuhi mahupun mentaati.
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari, Muslim, At-Termizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad)

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa, ayat 59 :-

Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.  Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (Al-Quran) dan sunah rasulnya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||