Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

10 Zulhijjah1424/02 Februari 2004


KHUTBAH AIDIL ADHA “YANG PERTAMA”


Saudara-saudara kaum muslimin yang berbahagia,
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah memanjangkan umur kita sehingga kita masih berpeluang sama-sama merayakan hari raya haji atau hari raya korban pada tahun ini. Dengan tibanya hari ini bererti jemaah haji yang sedang menunaikan fardhu haji telah pun melaksanakan sebahagian besar daripada perkara-perkara ibadah haji. Hari raya ini dinamakan hari raya haji kerana saat ini semua umat Islam yang berada di tanah suci sedang mengerjakan ibadah haji dan dinamakan hari raya korban, kerana pada hari ini kaum muslimin disunatkan melakukan ibadat korban iaitu menyembelih binatang seperti unta, lembu, kerbau atau kambing untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.

Amalan menyembelih korban adalah sebagai tanda memperingati peristiwa ketabahan hati Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam, yang sanggup menyembelih anak kesayangannya, iaitu Nabi Allah Ismail Alaihissalam, demi ketaatan dan melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wataala.

Keimanan Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam kepada Allah Subhanahu Wataala, mengatasi segala-galanya sehingga sanggup mengorbankan kasih sayang dan rasa cinta terhadap anaknya sendiri, begitu juga keimanan Nabi Allah Ismail Alaihissalam kepada Allah Subhanahu Wataala, sehingga rela berkorban nyawa, kerana menyahut seruan Ilahi yang diperintahkan ke atas ayahnya.

Saudara-saudara kaum muslimin yang berbahagia,
Dari peristiwa yang menyayat hati ini, kita dapatlah mengambil beberapa kesimpulan. Di antaranya ialah bakti dan taat seorang anak terhadap ayah. Begitulah pengorbanan seorang anak yang salih yang tidak mahu ayahnya melanggar perintah Allah Subhanahu Wataala dan mendapat kemurkaannya dikemudian hari.

Dengan berkat kesabaran dan taat menurut perintah Allah itu, Allah Subhanahu Wataala maha pengasih dan maha penyayang, akhirnya menukarkan peristiwa sedih kepada gembira dengan menggantikan tempat Nabi Allah Ismail Alaihissalam dengan seekor kambing untuk disembelih sebagai korban. Inilah di antara contoh yang dituntut dan diajarkan oleh agama kita yang semestinya dihayati dan ada pada jiwa umat Islam.

Apa yang mendukacitakan akhir-akhir ini terdapat segelintir anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka, mereka tidak boleh ditegur bahkan melawan dan membantah dan tidak menerima nasihat. Inikah yang dikatakan anak? Jauh sekali untuk menjadi anak yang salih sedangkah Allah Subhanahu Wataala telah mengingatkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Israa’, ayat 23 :

Tafsirnya :
Dan tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendak-lah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ah.. dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun.

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Jika kita renung dan amat-amati kisah ketaatan Nabi Ismail Alaihissalam ini, tidak dapat diragukan ianya adalah berpunca dari didikan yang teratur dan sempurna. Benarlah kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika kita mahu anak itu menjadi insan yang berakhlak mulia, berilmu dan beragama.  Sebagai contoh dalam perkara sembahyang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda :

Maksudnya :
Dari Abdul Malik bin Ar-Rabi’ dari ayahnya,  dari datuknya Radiallahu-Anhum berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, suruhlah anak-anak kamu untuk bersembahyang jika sampai umur 7 tahun. Dan jika sampai umur 10 tahun maka pukullah mereka jika masih tidak bersembahyang.

Dari hadith tersebut, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa mendidik anak-anak itu hendaklah dari sejak kecil lagi dengan tujuan supaya mereka taat perintah Allah Subhanahu Wataala, kerana perintah Allah Subhanahu Wataala suatu perkara yang wajib dituruti dan ditaati. Tiada ada alasan yang mengatakan masih kanak-kanak, kami masih muda dan sebagainya. Dalam hal ini ibu bapa mesti tegas dan memainkan peranaan penting dalam usaha mendidik anak-anak mereka dengan melatih mereka melakukan ibadat seperti sembahyang, puasa, bersedekah, berakhlak mulia dan sebagainya. Inilah cara jika mahu anak menjadi baik dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan ibu bapa mereka sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya :
Apabila seorang meninggal dunia maka terputuslah semua pahala amalnya kecuali tiga macam amalan : Sedekah Jariah, Ilmu yang memberikan manfaat dan anak yang salih yang selalu mendoakan baik untuk orang tuanya.

Memanglah diakui bahawa tanggungjawab ibu bapa itu adalah amat berat kerana anak-anak itu adalah amanah daripada Allah Subhanahu Wataala yang wajib ditunaikan kerana ibu bapalah yang dapat mencorakkan anak-anak mereka sama ada menjadi anak yang baik dan berguna atau sebaliknya. Sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya :
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci) maka ibubapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi
.

Anak-anak juga mempunyai tanggungjawab untuk mentaati dan mengasihi serta memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada kedua ibu bapa dan seterusnya menjadi anak yang salih.  Akhirnya sama-samalah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala supaya mengurniakan anak yang taat pada perintah Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Tahriim, ayat 6 :

Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya, manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

 

 KHUTBAH AIDIL ADHA “YANG KEDUA”


Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam telah mengaturkan bermacam-macam cara bagi manusia melakukan ibadah kepada Allah Subhanahu Wataala di antaranya dengan cara perbuatan lisan (qauli) saperti berdoa, berzikir, menyeru berbuat kebaikan dan kebajikan dan mencegah berbuat perkara maksiat dan kejahatan, dan ada pula ibadat dengan menggunakan harta seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah dan sebagainya, dan ada pula ibadat yang terpaksa dilaksanakan dengan menggabungkan jasad dan harta seperti menunaikan ibadat haji dan bejihad di jalan Allah Subhanahu Wataala. Ibadat-ibadat tersebut diperintahkan Allah Subhanahu Wataala bukan sahaja semata-mata untuk taat kepada Allah Subhanahu Wataala tetapi disebaliknya penuh dengan rahsia dan hikmah yang wajib diterokai bagi menjalani kehidupan yang sempurna.

Sekarang apa yang perlu bagi kita sebagai umat Islam ialah merenung dan bertanya kepada diri kita sejauh manakah ketaatan dan pengorbanan yang kita lakukan terhadap Allah Subhanahu Wataala. Untuk berbuat taat dan berkorban bukanlah suatu kerja yang mudah dan ringan tetapi ianya memerlukan kesabaran, ketahanan dan ketabahan jiwa dan kekuatan diri melawan hawa nafsu, jika hawa nafsu dapat dikawal maka akan mudahlah kita membentuk diri kita untuk berbuat kebaikan dan beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala. Sebab itulah dalam Islam pengorbanan yang dianggap paling besar dan bermakna ialah pengorbanan berjuang melawan hawa nafsu.

Pengorbanan berjuang melawan hawa nafsu, itulah yang selalunya manusia kalah, bahkan tunduk kepadanya. Buktinya sebagaimana yang kita dengar daripada media massa berlakunya kisah-kisah jenayah yang melanggar hukum-hukum agama dan negara seperti kes-kes kecurian, khalwat, menyeludup, mendera kanak-kanak, membuang anak, meminum arak, main judi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Inilah dia rupa kehidupan jika terlalu mengikut hawa nafsu, berbuat sesuka hati tanpa sempadan.  Dan sudah setentunya semua perkara itu tidak diingini berlaku di negara kita kerana ia boleh membawa perpecahaan kepada masyarakat, mengganggu kestabilan negara serta huru hara.

Muslimin yang rahmati Allah,
Sememangnya pengorbanan berjuang melawan hawa nafsu itu amat berat tetapi bukanlah satu perkara yang mustahil boleh dilakukan jika kita benar-benar orang mukmin dan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wataala.

Cuba kita rujuk kepada sejarah para nabi dan rasul, pada sahabat dan ulama di zaman silam, kita akan mendapati bahawa mereka sanggup dan bersedia berkorban apa jua baik harta mahupun jiwa raga mereka, bahkan mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka demi keimanan dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wataala dengan harapan mendapat Mardhatillah Allah dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Pengorbanan para nabi dan rasul serta para sahabat bukanlah pengorbanan untuk nama dan pangkat tetapi pengorbanan yang tulen, jujur dan benar-benar taat kepada Allah Subhanahu Wataala bagi menegakkan syiar agama Islam di muka bumi ini, inilah pengorbanan yang mencatat sejarah dalam sejarah keagungan Islam yang sepatutnya menjadi teladan dan ikutan dalam usaha membina masyarakat, bangsa dan negara, seterusnya umat Islam yang teragung.

Kehidupan dunia ini memerlukan perjuangan dan setiap perjuangan itu berkehendakkan kepada pengorbanan baik kepada rumahtangga, ibu bapa, anak-anak, keluarga, masyarakat, negara dan agama sama ada menggunakan harta, wang ringgit, tenaga, fikiran, masa bahkan juga perasaan. Sebagai contoh kita di Negara Brunei Darussalam telah mempunyai kesedaran untuk melakukan pengorbanan, sanggup berkorban demi melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wataala saperti menunaikan fardhu haji, melakukan ibadah korban, berwakaf dan sebagainya. Dan ada juga yang sanggup mengorbankan masa mereka bertugas sehingga melebihi waktu yang ditetapkan dan sanggup bertugas secara sukarela. Jika semua ini dapat dilakukan setentunya kecemerlangan dan kemajuan serta kebahagiaan akan dapat dicapai dan dinikmati.

Sebagai umat Islam yang mengaku umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sepatutnyalah mencontohi sifat-sifat nabi dan para sahabat yang sanggup berkorban tanpa mengira untung dan rugi, waktu dan masa, di mana jua tempat berada, di rumah atau di pejabat, yang penting pekerjaan sempurna, berkualiti dan cemerlang. Dan pengorbanan yang dicurahkan dengan berlandaskan agama semata-mata untuk mendapat Mardhatillah Allah. Oleh itu tanamkanlah pada diri kita sifat ingin berkorban tanpa merasa takut dan rugi dalam menegakkan kebenaran demi agama Islam. Insya-Allah, Allah akan membalas dan mengurniakan kita dengan ganjaran pahala di akhirat nanti.

Akhirnya marilah kita sama-sama bertekad dan berazam melakukan apa jua jenis pengorbanan baik besar atau pun kecil, tetapi apa yang penting hendaklah dengan niat yang suci dan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala jua.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hujarat, ayat, 15 :

Tafsirnya :
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasulnya, kemudian mereka terus percaya dengan tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||