Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

23 Zulkaedah 1424/16 Januari 2004


IBADAT KORBAN


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Masa itu berlalu begitu cepat di mana Hari Raya Aidil Adha tahun 1423 Hijriah dirasakan baru saja berlalu, kini tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha tahun 1424 Hijriah, Hari Raya Haji dikenali juga dengan nama Hari Raya Korban. Pada hari tersebut, umat Islam yang berkemampuan dan berhajat untuk melakukan ibadat korban akan menyembelih binatang korban sebagai tanda syukur dan cinta terhadap Allah Subhanahu Wataala kerana agama Islam telah mensyariatkan ibadat korban itu sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala.

Ibadat korban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabat baginda melakukan ibadat korban. Ini memandangkan ibadat korban itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihan-kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan masyarakat. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang mampu seharusnyalah mengambil iktibar terhadap galakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada sahabat-sahabat baginda untuk berbuat demikian.

Wahai kaum muslimin,
Korban dari segi bahasa bererti dekat dan dari segi istilah syara’ pula korban bererti mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala dengan jalan menyembelih binatang dengan niat yang tertentu dan dalam waktu yang tertentu pula. Ibadat korban dilakukan pada Hari Raya Adha atau pada hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12, dan 13 Zulhijjah.  Menurut mazhab Al-Imam As-Syafie, hukum ibadat korban ialah sunat muakkadah dan binatang-binatang yang hendak dikorbankan itu hendaklah terdiri daripada unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dengan syarat binatang yang hendak dikorbankan itu hendaklah selamat daripada ‘aib yakni kecacatan mengikut hukum syara’.

Ibadat korban terbahagi kepada dua : korban nazar dan korban sunat.  Menurut hukum syara’ daging korban nazar wajib disedekahkan keseluruhannya. Sementara daging korban sunat dilakukan saperti berikut :-

Pertama :  Kesemua daging korban tersebut disedekahkan kepada fakir dan miskin dan bagi orang yang berkorban bolehlah mengambil sedikit sekadar beberapa suap untuk mengambil berkat dari korban tersebut.

Kedua :  Daging korban tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu satu pertiga disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada umat Islam dan satu pertiga lagi untuk orang yang berkorban.

Ahli jemaah yang berbahagia,
Sesungguhnya amalan ibadat korban itu mengandungi banyak hikmat dan fadilat, antaranya:-

Pertama : Supaya kita sentiasa ingat terhadap kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wataala supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban dan Allah menggantikannya dengan seekor kibasy.

Kedua :  Memupuk semangat prihatin dan pemedulian terhadap masyarakat sesama Islam khususnya golongan yang tidak berkemampuan iaitu fakir dan miskin dengan memberikan daging korban tersebut kepada mereka.

Ketiga :  sebagai tanda syukur kepada Allah Subhanahu Wataala terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakannya kepada kita.

Keempat :  Menanamkan nilai-nilai murni yang digalakkan oleh Islam ke dalam jiwa seperti sifat belas kasihan, sikap penyayang, bekerjasama, suka menolong, bersedekah dan sebagainya.

Ahli Jumaat yang berbahagia,
Keutamaan ibadat korban banyak diceritakan dalam hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di antaranya ialah sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya:
Dari Aisyah Radiallahu-Anha bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :  Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dari menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban itu) datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kukunya, dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala sabelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana kita di Negara Brunei Darussalam telah sedar dan peka akan kelebihan ibadat korban di mana setiap kali kedatangan Hari Raya Adha, amalan korban diadakan di sana sini seperti di masjid-masjid, di sektor-sektor awam dan swasta dan tidak kurang juga yang mengadakan ibadat korban secara persendirian di rumah masing-masing.  Dengan adanya amalan ibadat korban sedemikian jelas membuktikan wujudnya suasana kerjasama dan bantu-membantu di antara semua pihak. Di samping kita mengharapkan ibadat korban kita diterima oleh Allah Subhanahu Wataala maka dalam keghairahan kita melakukan amalan berkorban itu perlu juga diingat supaya anggota-anggota yang tidak berguna dan tidak diperlukan saperti tulang, perut dan sebagainya hendaklah disempurnakan dengan cara menanamnya. Dan tempat majlis korban diadakan jika terdapat sisa-sisa dan darah binatang korban yang masih ada, hendaklah dibersihkan bagi mengelakkan bau busuk dan didatangi oleh binatang-binatang.

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga setiap amal kebajikan yang kita lakukan termasuklah amalan korban kita akan diterima dan mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah Subhanahu Wataala jua, Amin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Haj, ayat 37 :

Tafsirnya :
Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahnya kepada kamu.  Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||