Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

05 Jamadilahkir 1425/23 Julai 2004

ISLAM SANGAT MENGAMBIL PERHATIAN TENTANG KESIHATAN DAN KEBERSIHAN


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Ahli Jumaat yang berbahagia,
Kesihatan adalah faktor yang amat penting dan merupakan rahmat Allah Subhanahu Wataala yang diharapkan oleh hamba-hambanya kerana kesihatan punca kebahagiaan dan kesenangan. Jika rohani dan jasmani sakit, harta dan pangkat tiada berguna. Kehilangan kesihatan lebih berbahaya daripada kehilangan harta dan pangkat. Umat Islam sangat beruntung kerana agama Islam telah memberikan tuntunan dan panduan dengan mewajibkan pelaksanaan kebersihan sebagaimana dalam istilah syara’ yang disebut At-Thaharah. Menurut ilmu kesihatan, untuk menjaga diri dan menjauhkan daripada penyakit, kebersihan hendaklah diikhtiarkan dengan secukupnya. Sebagaimana yang diajarkan oleh agama Islam bahawa kebersihan itu bukan hanya pada badan tetapi merangkumi;

-         Kebersihan dan kesucian rumah dan perkarangannya,

-         Kebersihan dan kesucian badan

-         Kebersihan dan kesucian pakaian

-         Kebersihan dan kesucian makanan

-         Kebersihan dan kesucian roh dan hati


Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya setiap yang hidup memerlukan kepada makanan, termasuklah manusia. Jika tidak makan, maka keseluruhan anggota akan lemah dan tidak berupaya dan berdaya untuk membuat sesuatu termasuklah untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala. Tetapi ini bukanlah alasan untuk boleh makan tanpa kawalan, berlebihan dan menurut kehendak nafsu kerana makan yang  berlebihan boleh memudarat kesihatan dan boleh menyebabkan hati menjadi keras, boleh menyebabkan malas untuk beribadat dan tidak merasa kemanisan beribadat. Inilah di antara perkara yang menakutkan para ulama Salafus-Soleh. Dan inilah juga hikmatnya kenapa ditegah dari makan terlalu kenyang. Perkara ini dijelaskan dalam hadith baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Miqdam bin  Makdiikarib berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada seorang anak Adam yang memenuhi sesuatu bekas yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam itu makan beberapa suap makanan untuk menguatkan tubuhnya.  Kalau mesti juga tidak dapat dielakkan, maka isilah perut sekadar satu pertiga untuk makan, satu pertiga untuk minum dan satu pertiga untuk bernafas. 
(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi:-

Maksudnya:
Dari ‘Athiyah bin ‘Amir Al-Juhanni ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Bahawasanya kebanyakan manusia yang kenyang makan di dunia akan merasa lama berlapar di hari akhirat. 
(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Selain dari itu, akibatnya dari makan tanpa kawalan iaitu makan dengan waktu yang tidak teratur, ditambah lagi dengan pengambilan makanan yang mengandungi kadar lemak dan kolestrol yang tinggi serta kurang bersenam, akan memudahkan seseorang individu itu menghadapi masalah berat badan yang berlebihan. Ini sudah setentunya tidak baik untuk kesihatan tubuh badan kerana orang yang menghadapi masalah tersebut mempunyai risiko yang amat tinggi ditimpa penyakit yang berbahaya seperti penyakit jantung koronari, penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam usaha menjaga kesihatan ini, kita perlu peka dan mengambil langkah-langkah selamat dan sentiasa berjaga dan berikhtiar yang bersungguh-sungguh seperti berubat sewaktu sakit, menjaga-jaga kesihatan sebelum sakit dengan mengikut nasihat pakar permakanan seperti menjaga waktu makan, kualiti dan kuantiti makanan, mengurangkan makanan yang berminyak dan berlemak, mengurangkan garam dan gula dalam makanan, membanyakkan meminum air serta membanyakkan makan buah-buahan yang segar. Di samping itu juga jangan lupa supaya makanan yang dimakan adalah makanan yang baik dan halal, ini difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah, ayat 172:-

Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik, yang halal, yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukur kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah.

Pengertian halal itu mencakupi di dalamnya:-

Pertama: Halal dalam pilihan jenisnya.

Kedua: Halal dalam cara mendapatkannya.

Ketiga: Halal dalam menyediakan dan menyajikan makanan tersebut.

Kesemua ini sesuai dengan kaedah-kaedah yang ditetap kan oleh agama Islam.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagaimana kelazimannya mengikut pengetahuan kita baik disedari ataupun tidak, adalah tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sebilangan orang kita, semakin usia meningkat maka semakin kuranglah melibatkan diri dengan aktiviti jasmani atau fizikal yang lebih dikenali sebagai senaman atau riadah. Yang sebenarnya aktiviti tersebut amat baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengawal berat badan dan mengurangkan stress.

Islam sangat mengambil perhatian tentang kesihatan dan kebersihan kerana hal ini merupakan kekuatan umat Islam, kerana tubuh yang sihat sangat berpengaruh, bukan saja dalam berfikir yang benar tetapi mempunyai rasa optimis dalam hidup dan bergaul dengan orang lain. Oleh itu insaflah dan sedarlah betapa besarnya harga kesihatan bagi diri kita dan akan menyesallah siapa yang mengabaikannya kerana salah satu kebahagiaan yang paling besar adalah kesihatan jasmani dan rohani.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al A'raaf, ayat 31:-

Tafsirnya:
Wahai anak-anak Adam pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat atau mengerjakan sembahyang, dan makanlah serta minumlah dan janganlah pula kamu melampau-lampau sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||