Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

07 Jamadilawal 1425/25 Jun 2004

KEUTAMAAN ZIKIR


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa, serta penuh dengan keyakinan dan keikhlasan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Di dalam Al-Quran Allah Subhanahu Wataala berfirman bahawa Allah Subhanahu Wataala sentiasa mengingati hamba-hambanya sebagaimana firmannya dalam surah Al-Baqarah, ayat 152:-

Tafsirnya:
Oleh itu, ingatlah kamu kepadaku nescaya aku ingat pula kepadamu, dan bersyukurlah kepadaku dan janganlah kamu mengingkari nikmatku.

Salah satu jalan untuk mengingati Allah Subhanahu Wataala itu ialah dengan berzikir, kerana itulah umat Islam digalakkan memperbanyakkan berzikir kepada Allah Subhanahu Wataala jika mahu hampir kepadanya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Zikir adalah amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dan Rasulnya. Ianya merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam keadaan khusuk dan tawaduk. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-A’raaf, ayat 205:-

Tafsirnya:
Dan sebutlah serta ingatlah akan tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut untuk melanggar perintahnya, dan dengan tidak pula
menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang.  Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

Wahai kaum muslimin,
Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah seperti membaca tasbih “Subhanallah” bertakbir “Allahu Akbar” membaca hauqalah “Laa Haula Walaa Quwata Illa Billah”, membaca hasbalah “Hasbiyallah” membaca Basmallah “Bismillahirrahmanirrahim”, membaca Al-Quran Al-Karim dan membaca doa-doa yang maktsur iaitu doa yang diterima dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-

Maksudnya:
Dari Jabir bin Abdullah, ia berkata:  Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:  Zikir yang paling mulia ialah La Ilaha Illallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)

Ketahuilah wahai kaum muslimin bahawa amalan berzikir itu sangat banyak fadilatnya. Antaranya, ia boleh menjauhkan diri kita dari bersikap lalai dan lupa kepada Allah Subhanahu Wataala, boleh meluruskan fikiran dan hati untuk terus mematuhi perintahnya dan menjauhi larangannya, memberi ketenangan batin atau ketenteraman jiwa yakni sakinah. Zikir juga boleh menyebabkan pengamalnya mendapat keampunan dari Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al Ahzab, ayat 35:-

Tafsirnya:
Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Disamping itu, zikir La Ilaha Illallah mempunyai banyak fadilat dan kelebihan antaranya ialah:-

Pertama:  Pengamalnya akan mendapat syafaat dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu, ia berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: “Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucapkan kalimah La Ilaha Illallah dengan hati yang ikhlas”. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Kedua:  Mendapat jaminan masuk syurga.
Dari Zaid bin Arqam Radiallahu-Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkan La Ilaha Illallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.” Lalu ditanyakan kepada baginda: “Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram”.
  (Riwayat Al-Imam At-Thabrani)

Ketiga:  Tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka.
Dari Umar Radiallahu-Anhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya neraka jahanam. Kalimah itu ialah “La Ilaha Illallah”.
  (Riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Keempat:  Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.
Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Demi yang diriku ditangannya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada di bawahnya diletakkan disebelah dacing dan kalimah La Ilaha Illallah disebelah yang lain, maka dacing kalimah (La Ilaha Illallah) itulah yang lebih berat”.
(Riwayat Al-Imam At-Thabrani)

Kelima:  Merupakan anak kunci syurga.
Muaz bin Jabal Radiallahu-Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Anak-anak kunci syurga ialah mengakui kalimah La Ilaha Illallah
(Riwayat Al-Imam Ahmad)

Wahai kaum muslimin,
Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir, kerana lalai dan lupa Allah Subhanahu Wataala itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat.  Amin Yaa Rabbal ‘Aalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffat, ayat 143 – 144:-

Tafsirnya:
Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih. Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||