SEMPENA
HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
(
TEMA : MASJID WADAH KEPIMPINAN RAJA )
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu
Wataala dengan sebenar-benar takwa, serta penuh dengan keyakinan dan
keikhlasan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta
selamat di dunia dan di akhirat.
Sidang
Jumaat sekalian,
Sesebuah negara sememangnya perlu kepada ketua atau pemimpin bagi memimpin
negara dan rakyatnya untuk kesempurnaan pentadbiran supaya menjadi lebih
teratur dan berjaya dalam segenap bidang. Bagi negara kita Brunei
Darussalam, kita amat bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
mengurniakan seorang raja dan pemimpin yang bertanggungjawab, pemedulian
dan kasih terhadap rakyatnya. Ini jelas dapat dilihat dari semenjak
baginda menaiki tahta pada tahun 1967, di mana kemajuan-kemajuan telah
banyak dicapai dan dinikmati sehingga menjadikan Negara Brunei Darussalam
seiring dengan negara-negara lain di dunia ini dalam berbagai-bagai bidang,
baik dalam bidang agama, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan
lain-lain lagi.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Kita harus berbangga dan bersyukur kerana negara kita telah mencapai
kemerdekaan dan bebas dari campur tangan kuasa asing di mana negara serta
kehidupan rakyat aman makmur dan sejahtera dan saling bersefahaman antara
puak-puak yang berada di negara ini. Inilah tanda kepimpinan yang
diberkati oleh Allah Subhanahu Wataala dan tepat sebagaimana firman Allah
Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa, ayat 58:-
Tafsirnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah
kepada ahlinya yang berhak menerimanya. Dan apabila kamu menjalankan hukum
di antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya
Allah dengan suruhannya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada
kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.
Maka
dengan kepimpinan dan usaha serta kegigihan baginda itulah yang membawa
Negara Brunei Darussalam dikenali dan dihormati di mata dunia.
Kepimpinan baginda disertai pula dengan keperibadian yang mulia
dengan sifat penyayang dan pemedulian terhadap kebajikan dan maslahat
rakyat baginda, di mana baginda sanggup turun padang menemui rakyat dan
melihat sendiri perkembangan dan kemajuan projek-projek kerajaan yang
telah diusahakan dan sedang diusahakan.
Sidang
Jumaat sekalian,
Dalam hal ini kita selaku rakyat yang bernaung dan berlindung di bawah
pemerintahan baginda, sudah sepatutnya melahirkan ketaatan dan kesetiaan
yang tidak berbelah bahagi serta memberikan sokongan yang padu ke arah
usaha baginda yang murni itu, bukan sebaliknya menjadi manusia yang tidak
tahu bersyukur dan berterima kasih, lebih malang lagi jika mengkhianatinya.
Allah
Subhanahu Wataala berfirman dalam surah An-Nisaa ayat 59:-
Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu
kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisihan dalam
sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah
(Al-Quran) dan Sunnah Rasulnya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah
dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok
pula kesudahannya.
Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
baginda bersabda: Barangsiapa taat kepadaku, maka sesungguhnya ia telah
taat kepada Allah dan barangsiapa menderhakaiku, sesungguhnya ia telah
menderhaka kepada Allah. Barangsiapa taat kepada raja atau pemimpin, maka
sesungguhnya ia telah mentaatiku dan barangsiapa menderhaka kepada raja
atau pemimpin maka sesungguhnya ia telah menderhaka kepadaku. Sesungguhnya
imam (ketua) itu tidak lain melainkan perisai, di mana orang-orang
berperang dari belakangnya dan
berlindung dengannya. Maka jika ia menyuruh bertakwa kepada Allah dan
berlaku adil, maka ia mendapat ganjaran dari yang demikian itu dan jika ia
berkata selain itu, maka ia mendapat dosa dari perkataannya itu. (Riwayat
Al-Imam Al-Bukhari).
Wahai
kaum muslimin,
Kita sebagai rakyat, setentunyalah menjadi kewajipan kita untuk mentaati
dan setia kepada pemimpin yang berpegang dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah
sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-
Maksudnya:
Dari Ibnu Umar Radiallahu-Anhuma, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam, mendengar dan taat itu adalah hak iaitu kewajipan yang mesti
ditaati selagi mana ia tidak disuruh untuk melakukan maksiat, maka jika ia
disuruh untuk melakukan maksiat, maka janganlah kamu mendengar dan
mentaatinya. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Ingatlah,
sesebuah negara tidak akan maju jika tidak ada kerjasama dan persefahaman
yang erat dari semua pihak. Apatah lagi tanpa adanya kejujuran dan sifat
amanah, kerana sifat-sifat itulah faktor utama yang boleh menggerak ke
arah kemajuan dan kejayaan. Dan dengan faktor inilah juga perpaduan,
kemakmuran dan kestabilan negara dapat dinikmati.
Wahai
kaum muslimin,
Seperti yang kita semua maklum, bahawa pada 15 Julai 2004 ini, genaplah
usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam ke 58 tahun. Maka kita selaku rakyat amat bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
telah melanjutkan usia baginda sehingga seterusnya baginda dapat memimpin
negara dan rakyat Brunei Darussalam.
Dan
bagi memeriahkan lagi sambutan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berbagai-bagai acara telah
diatur dan dirancang. Dan pada tahun 2004 ini, satu rancangan berbentuk
majlis ilmu akan diadakan di negara ini iaitu “Seminar Masjid Wadah
Kepimpinan Raja” yang akan diadakan pada 19 hingga 21 Julai, 2004. Di
samping seminar tersebut, satu pameran yang membawa tema yang sama juga
akan diadakan mulai 19 Julai 2004 dan akan berakhir pada 25 Julai 2004.
Dan
sebagai tanda syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala dan tanda taat
kepada raja yang dikasihi, marilah kita hadir ke masjid-masjid,
surau-surau dan balai-balai ibadat bagi sama-sama membaca tahlil dan doa
kesyukuran pada petang hari Rabu, 27 Jamadilawal 1425 Hijrah bersamaan
dengan 14 Julai 2004 yang akan datang.
Mudah-mudahan Agama, Raja dan Negara akan selamat dan kita mendapat
berkat dan pahala daripada Allah Subhanahu Wataala. Amin Ya Rabbal-'Aalamin.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali 'Imran, ayat 27:-
Tafsirnya:
Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi
Auliya-Auliya (pemerintah) dengan meninggalkan orang-orang mukmin.
Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan
Allah kecuali kerana memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari
mereka. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap
kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan
kepada Allah jualah tempat kembali.